Satu-satunya Masalah Di Malaysia Ini ialah... (Utusan Online 6.10.2010)
SAYA amat tertarik membaca tulisan Syed Akbar Ali dalam blognya OutSyed The Box bertajuk The One & Only Problem In Malaysia atau Satu-satunya Masalah di Malaysia Ini.
Topiknya lari sama sekali dari politik. Ia berkaitan dengan realiti hidup seharian di Malaysia. Ia berkaitan dengan sikap dan etika kerja. Ia berkaitan dengan bagaimana anda, sama ada kakitangan kerajaan, pelajar, mahasiswa, peniaga, orang makan gaji melayan orang lain atau berusaha untuk memperbaiki diri sendiri.
Kononnya, orang Melayu itu bersopan-santun, beragama, berilmu? Jika itulah amalannya maka tiadalah masalah yang akan berlaku di kalangan orang kita sekarang atau dalam sistem jabatan kerajaan.
Seperti biasa tulisan Syed Akbar banyak mengondem sikap orang Melayu, namun seperti beliau mempunyai nawaitu yang baik dan murni. Walaupun pedas didengar tapi itulah hakikatnya, yang semua orang Melayu harus menerimanya --- untuk kebaikan mereka.
Syed Akbar yang juga penulis buku Malaysia and The Club of Doom (Malaysia dan Kelab Kemusnahan), menyimpulkan orang Melayu masih gagal bersaing sepenuhnya. Kita harus mencari jalan segera bagi membolehkan mereka bersaing, katanya.
Modal, pendidikan universiti, projek, kontrak, peluang niaga dan lain-lain terlalu banyak. Namun apa yang kita banyak tiada ialah etika kerja dan sikap. Itu sahaja bahagian yang kita hilang.
Beliau dalam entri bertarikh 18 September itu memberikan banyak contoh-contoh peribadi beliau dan dari rakan-rakan mengenai soal sikap dan etika kerja ini.
Satu petikan dalam pra-kata blog itu, Syed Akbar menulis: ''Para lulusan universiti kita langsung tidak boleh menulis ayat yang betul - dalam semua bahasa. Dan tolong lupakanlah pasal kemahiran Inggeris mereka. Jika kerajaan dan GLC tidak mengambil mereka bekerja, maka banyaklah lulusan bumiputera ini tidak akan bekerja. Mereka akan menganggur.
''Perkara yang sama tidak berlaku kepada lulusan bukan-bumiputera kita. Bukan bumiputera yang lulus dari UKM atau UM boleh terus mendapat kerja sehingga ke luar negara di Hong Kong, Australia, UK, New Zealand, Singapura dan di mana-mana. Mereka baca bukan teks yang sama, diajar oleh pensyarah yang sama dan makan pun makanan yang sama di kampus. Tapi apa yang membezakan mereka?''
Itu ialah soal sikap yang tidak mahu berubah. Sikap sambil lewa, yang tidak mahu mengambil peluang tiga, empat, lima tahun di menara gading untuk memperbaiki diri dan kemahiran diri. Tahu-tahu dah keluar --- adalah ijazah, tapi penampilan diri dan keyakinan diri, macam mana?
Begitu juga dengan soal etika kerja. Ia lebih rumit lagi kerana ia membabitkan kepada soal sistem. Jika etika kerja tidak sempurna ia bukan membabitkan satu jabatan itu sahaja, tapi keseluruhan sistem negara akan dinilai.
Tuesday, October 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment