Emas punca seludup e-waste oleh M Hifzuddin Ikhsan - B. Harian Online - 25.10.10
Barang terpakai dari India, China jadi sasaran pembeli
KUCHING: Kandungan emas dalam sisa buangan peralatan elektrik dan elektronik menjadi punca pembeli barang terpakai di negara ini menyeludup barangan terpakai dari India dan China sejak 2005. Difahamkan, bagi setiap satu tan sisa buangan peralatan elektrik, dianggarkan ada 225 gram emas, terutamanya perkakasan sistem pemprosesan utama komputer. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, berkata sebelum teknologi kitar semula barangan elektrik dan elektronik dikenali sebagai ‘e-waste’ diketahui, masalah penyeludupan tidak pernah berlaku kerana orang ramai menganggapnya sebagai bahan buangan biasa.
“Akibat perkembangan teknologi elektrik dan elektronik, industri memerlukan bahan itu dalam jumlah banyak menyebabkan ia perlu dikitar semula akibat peningkatan kos pengeluaran bahan mentah seperti emas dan tembaga.
“Disebabkan itu ada pembeli barangan terpakai yang mengetahui kewujudan bahan mentah bernilai dalam peralatan elektrik dan elektronik, mereka sanggup menyeludup barangan buangan walaupun ia tidak dibenarkan mengikut undang-undang negara ini. Kesedaran sisa e-waste di negara ini masih rendah dengan Malaysia mengitar semula 143,000 tan bahan itu pada 2009, termasuk menghantar bateri litium terpakai ke Belgium untuk dilupuskan kerana ketiadaan teknologi itu di negara ini. “Bahan e-waste mempunyai toksin mengakibatkan kerosakan alam sekitar teruk jika tidak diuruskan dengan cekap,” katanya.
Sunday, October 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment