Monday, September 20, 2010

Program Transformasi Ekonomi

12 bidang ekonomi utama jentera pertumbuhan
Oleh Azran Jaffar dan Mona Ahmad - Utusan online (21.9.2010)

SEBAGAI usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020, kerajaan melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang akan mengangkat pendapatan negara kasar (GNI) per kapita daripada kira-kira AS$6,700 (kira-kira RM23,700) pada tahun 2009 kepada lebih AS$15,000 (kira-kira RM48,000) pada 2020.

Melalui pertumbuhan GNI sebanyak enam peratus setahun itu membolehkan negara mencapai sasaran Wawasan 2020. ETP dibangunkan melalui pendekatan baru dengan memberikan fokus kepada jentera pertumbuhan iaitu 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu minyak, gas dan tenaga; minyak sawit; perkhidmatan kewangan; pelancongan; perkhidmatan perniagaan; elektronik dan elektrikal; borong dan runcit; pendidikan; kesihatan; kandungan komunikasi dan prasarana; pertanian serta Greater Kuala Lumpur.
Kejayaan pelaksanaan ETP akan menyaksikan ekonomi negara melalui perubahan signifikan menyamai negara membangun lain dan untuk itu kerajaan akan terus menghala ke arah ekonomi berasaskan perkhidmatan dengan pertumbuhan sektor perkhidmatan daripada 58 peratus kepada 65 peratus bagi tempoh itu.

Lebih 3.3 juta peluang pekerjaan baru pula akan dihasilkan menjelang 2020 meliputi kawasan bandar dan luar bandar yang mana menyaksikan peralihan kepada golongan berpendapatan pertengahan dan tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala, berkata apa yang penting, pertumbuhan akan dapat dicapai secara mapan tanpa generasi akan datang menanggung kosnya yang dilakukan melalui inisiatif seperti pembangunan tenaga alternatif dan memelihara alam sekitar bagi mempromosikan eko-pelancongan.
NKEA berkenaan akan memberikan sumbangan ketara terhadap prestasi ekonomi negara dan akan mendapat keutamaan pelaburan awam dan sokongan polisi.

ETP akan diterajui sektor swasta dengan kerajaan berfungsi sebagai fasilitator. Kebanyakan dana pembiayaan datang dari sektor swasta (92 peratus) dengan pelaburan sektor awam digunakan sebagai pemangkin bagi mencetuskan pembabitan sektor swasta.

Keberkesanan mana-mana program transformasi bergantung kepada perinciannya dan ETP adalah lain dari kebiasaan kerana ia memfokus kepada tindakan, kata Idris yang juga Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

Untuk itu sebanyak 131 projek penggerak ekonomi (EPP) dikenal pasti yang menggariskan tindakan bagi membangunkan ekonomi. EPP dan peluang perniagaan dikenal pasti di bawah setiap NKEA dijuruskan kepada berapa banyak ia menyumbang kepada GNI yang dipilih berasaskan ekonomi berkesan dan analisa kewangan.

Setiap perbelanjaan awam diperuntukkan berasaskan memaksimumkan GNI dan ETP direkabentuk untuk menjadi berkesan dan telus dengan unit baru ETP di bawah PEMANDU ditugas memantau dan melaporkan perkembangannya kepada pemimpin negara, komuniti perniagaan dan rakyat.

Malaysia berada pada titik kritikal dalam perkembangan ekonomi kerana berlaku kehilangan momentum pertumbuhan pada dekad lalu dan pertumbuhan tidak boleh dipandang ringan sebaliknya ia mesti dicapai.

Prestasi ekonomi yang agak lembap beberapa tahun lalu menunjukkan jentera pertumbuhan ekonomi negara agak perlahan dan ini disebabkan oleh antaranya pertumbuhan produktiviti buruh yang perlahan yang boleh dibaiki melalui peningkatan ketara dalam pelaburan perniagaan dan memperkukuhkan pelaburan dalam sumber manusia.

Negara juga tidak dapat berterusan menjadi kompetitif seperti negara berpendapatan rendah lain kerana pada masa sama ia tidak meningkatkan nilainya dan setanding dengan negara berpendapatan tinggi yang menjadikan kedudukannya tidak dapat bertahan.

Malaysia mencatatkan defisit setiap tahun sejak 1998 dengan sebanyak 7 peratus daripada KDNK pada 2009 dan dengan komitmen kerajaan untuk defisit sebanyak tiga peratus pada 2015, perubahan dalam arah tuju diperlukan.

Kewujudan syarikat serantau dan global baru yang lebih kompetitif menghakis kekukuhan kedudukan syarikat Malaysia dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan dan pelaburan asing langsung yang rendah diberikan Malaysia sebelum ini adalah petunjuk kepada keadaan ini.

ETP adalah agenda ekonomi kerajaan yang berupa maklum balas kepada cabaran-cabaran ini selain saling melengkapi program sedia ada.