Monday, April 4, 2011

Rakyat Malaysia perlu jadi bangsa pencipta

Berita Harian Online - 5.4.2011

PUTRAJAYA: Rakyat negara ini perlu berubah segera menjadi bangsa pencipta serta penambah nilai dan berhenti menggunakan inovasi ciptaan orang lain terutama bagi sesuatu yang mampu dihasilkan sendiri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya rakyat negara ini keluar dari kepompong zon selesa sebagai bangsa pengguna.Justeru, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan membuat penandaan aras dengan Jepun kerana negara itu terbukti hebat dalam aspek penciptaan baru membabitkan ilmu sains dan matematik.

“Daripada kaedah penandaan aras ini, kerajaan mendapati rakyat negara itu berfikir dalam bahasa ibunda untuk mencipta pelbagai teknologi inovasi baru,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mengambil serius usaha menterjemah bahan pembelajaran dan pengajaran dalam usaha memantapkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) menjelang pelaksanaannya pada 2012.

"Rakyat Malaysia kini rata-ratanya mampu bertutur dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris, namun kita juga harus menerima realiti bahawa masih ada lagi antara kita ini yang tidak mempunyai keupayaan sama," katanya. Penterjemahan buku sains dan matematik penting pada ketika dunia sedang menjulang ilmu sains dan matematik untuk setiap inovasi penyelesaian masalah kehidupan selaras dengan cabaran keenam Wawasan 2020 untuk mewujudkan masyarakat saintifik, progresif, inovatif dan mampu memandang jauh ke depan.

Artikel ini telah diedit bagi tujuan rujukan dan pengetahuan masyarakat & warga ILP Labuan

Serap 4 elemen Lautan Biru: PM

Penjawat awam disaran cari rumusan kreatif, tak berfikir konvensional atasi masalah - Berita Harian Online - 5.4.2011
Oleh Magendran Rajagopal


PUTRAJAYA: Penjawat awam disaran menerapkan empat elemen penting Strategi Lautan Biru iaitu, 'kurangkan, hapuskan, wujudkan dan menambah peluang' ketika melaksanakan tugas supaya pencapaian dan keberhasilan sektor pentadbiran awam terus meningkat.
Kakitangan awam tidak sepatutnya hanya memerhatikan perancangan strategik negara selaku anggota pentadbiran saja, sebaliknya mesti berpaksikan kepada tafsiran objektif mengenai kehendak dan jangkaan rakyat terhadap kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita anggap prinsip ini sebagai ‘empat suku atau quadrant’. Kalau nak dipercepatkan sistem penyampaian, kita kena masuk suku ‘kurangkan’, seperti dilakukan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Sidek Hassan).

“Suku ‘hapuskan’ pula diguna pakai apabila ada ketirisan atau kerugian...

“Menambah peluang pula bermakna kita memberi nilai tambah dalam pengurusan dan pentadbiran bagi meneroka peluang baru.

Strategi Lautan Biru turut menyokong agenda utama kerajaan melalui pelbagai pendekatan baru yang dapat dilihat daripada dua aspek, iaitu mencari rumusan kreatif dan tidak lagi berfikir secara konvensional bagi menyelesaikan masalah.
Katanya, kerja tambahan tidak seharusnya bermakna perlu ada penambahan bajet atau jumlah kakitangan, sebaliknya strategi harus menjadi pedoman bagi mengurangkan tenaga kerja dengan menghapuskan apa yang tidak perlu, sekali gus mewujudkan peluang baru dan menambah bidang baru untuk diceburi.

Satu daripada tonggak utama pihak pentadbiran adalah berlandaskan kepada dasar bahawa kerajaan adalah untuk semua rakyat Malaysia dan penjawat awam mesti adil kepada segenap lapisan masyarakat.

Najib juga berkata, penjawat awam perlu mengenal pasti bidang yang diberi keutamaan oleh kerajaan dan menyesuaikannya dengan apa yang hendak dilakukan berdasarkan penilaian objektif terhadap persekitaran ekonomi dalaman, serantau serta global supaya strategi ekonomi negara pada masa depan menepati senario dalam dan luar negara.

Penilaian dari luar negara seperti Pengasas Bersama Kumpulan Transparency International (TI), Michael Hershman, mengesahkan pencapaian negara adalah hakikat, bukan sengaja diada-adakan.

“Pada penghujung 2009, kita mulakan proses perancangan strategik. Lantaran itu lahirlah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan disusuli dengan analisis mendalam kedudukan ekonomi negara dalam konteks hala tuju baru.

“Maka tercetuslah Model Baru Ekonomi (MBE) dengan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan 131 mengenai projek permulaan (EPP). Di samping itu, kita sudah kenal pasti apakah kekangan struktur yang boleh menjadi hambatan kepada kita memacu ke hadapan lebih pantas lagi,” katanya.

Nota: Artikel ini diedit bagi tujuan rujukan kesedaran masyarakat dan warga ILP Labuan