Tuesday, October 26, 2010

Kos sara hidup akan meningkat

Peningkatan kos hidup tidak dapat dielak

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Rakyat perlu sedar bahawa peningkatan kos hidup tidak dapat dielakkan apabila Malaysia mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada masa depan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu akan berlaku kerana kerajaan tidak dapat berterusan memberi subsidi bagi membolehkan harga barangan dan perkhidmatan terus rendah.

"Saya menyokong dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Cuma saya bimbang rakyat mungkin menjangkakan peningkatan pendapatan ini akan dicapai tanpa disertai kos hidup lebih tinggi.

"Oleh itu adalah lebih baik rakyat diberi amaran awal- awal lagi tentang hakikat ini," katanya dalam entri terbaru bertajuk Ekonomi Berpendapatan Tinggi dalam blog http://chedet.co.cc di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat juga harus mengubah persepsi yang menyangka peningkatan pendapatan akan menyebabkan mereka dapat membeli barangan dan perkhidmatan dalam jumlah lebih banyak.

"Amerika Syarikat (AS) misalnya sekarang ini mempunyai pendapatan per kapita lima kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia tetapi ini bukan bermakna rakyatnya mempunyai kuasa beli lima kali ganda lebih besar daripada kita.

"Dalam kes tertentu, kuasa beli mereka sebenarnya adalah sama dengan rakyat Malaysia. Misalnya, berdasarkan Indeks Hamburger McDonald baru-baru ini, nilai seringgit adalah sama dengan satu dolar AS dalam membeli produk berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak tidak harus mengharapkan kerajaan memberi subsidi dengan menggunakan wang hasil minyak bagi mengurangkan kos hidup.

"Keuntungan daripada penjualan minyak yang dicari gali dalam negara adalah tidak mencukupi kerana kita hanya menjual satu perempat daripada yang dikeluarkan dan selebihnya digunakan sendiri," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir yakin kesan buruk daripada peningkatan kos hidup boleh dikurangkan jika kerajaan dapat memastikan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan adalah lebih rendah berbanding peningkatan pendapatan.

Sementara itu, beliau berkata, peningkatan pendapatan memang memberikan kesan positif dalam meningkatkan kuasa beli rakyat untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang diimport atau ketika berbelanja di luar negara.

Sunday, October 24, 2010

Bahan e-waste jadi perniagaan

Emas punca seludup e-waste oleh M Hifzuddin Ikhsan - B. Harian Online - 25.10.10

Barang terpakai dari India, China jadi sasaran pembeli

KUCHING: Kandungan emas dalam sisa buangan peralatan elektrik dan elektronik menjadi punca pembeli barang terpakai di negara ini menyeludup barangan terpakai dari India dan China sejak 2005. Difahamkan, bagi setiap satu tan sisa buangan peralatan elektrik, dianggarkan ada 225 gram emas, terutamanya perkakasan sistem pemprosesan utama komputer. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, berkata sebelum teknologi kitar semula barangan elektrik dan elektronik dikenali sebagai ‘e-waste’ diketahui, masalah penyeludupan tidak pernah berlaku kerana orang ramai menganggapnya sebagai bahan buangan biasa.

“Akibat perkembangan teknologi elektrik dan elektronik, industri memerlukan bahan itu dalam jumlah banyak menyebabkan ia perlu dikitar semula akibat peningkatan kos pengeluaran bahan mentah seperti emas dan tembaga.

“Disebabkan itu ada pembeli barangan terpakai yang mengetahui kewujudan bahan mentah bernilai dalam peralatan elektrik dan elektronik, mereka sanggup menyeludup barangan buangan walaupun ia tidak dibenarkan mengikut undang-undang negara ini. Kesedaran sisa e-waste di negara ini masih rendah dengan Malaysia mengitar semula 143,000 tan bahan itu pada 2009, termasuk menghantar bateri litium terpakai ke Belgium untuk dilupuskan kerana ketiadaan teknologi itu di negara ini. “Bahan e-waste mempunyai toksin mengakibatkan kerosakan alam sekitar teruk jika tidak diuruskan dengan cekap,” katanya.

Wednesday, October 13, 2010

Panggil perantau pulang ke Malaysia (Utusan Online - 14.10.2010)
Oleh WAHID HASHIM

Kekurangan tenaga berkemahiran tinggi serta profesional di Malaysia memang agak kritikal. Cuba anda bayangkan 80 peratus tenaga di pasaran kerja Malaysia - atau modal insan kita - hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ternyatalah - terang lagi bersuluh - jangan kita terasa hati bahawa pekerja Indonesia yang berkolek datang ke Malaysia lebih mahir daripada tenaga kerja bertali leher kita yang sebenarnya hanya lepasan SPM. Hal ini kerana Indonesia lebih maju daripada Malaysia dari segi pendidikan vokasionalnya.

Kalau mengikut Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Guna Tenaga Negara, sekarang peratus tenaga berkemahiran tinggi dan profesional cuma 27 peratus, dan cuba hendak dinaikkan kepada 37 peratus pada 2008.

Bagi beliau, isu ini sangat kritikal dan bakal menentukan jaya atau gagalnya Wawasan 2020. Pendekatan memanggil pulang rakyat Malaysia merupakan pendekatan ad hoc untuk mengisi keperluan itu, selain rancangan jangka panjang beliau - sebagai Menteri Pelajaran - untuk melakukan transformasi mengarusperdanakan pendidikan vokasional.

Bagi bidang pendidikan vokasional, beliau nampaknya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan berbanding model lima tahunnya.

''Bila saya arah laksanakan, silalah laksanakan dengan bersungguh-sungguh," katanya dengan nada yang kecewa ketika bersarapan pagi di Shangri-La Hotel dengan wartawan Malaysia, merujuk kepada bajet untuk program penambahbaikan vokasional yang sangat sedikit berbanding usaha untuk mengarusperdanakan pendidikan vokasional.

Tegas beliau: ''Saya tegaskan kita hendak bilangan pelajar di seluruh negara yang akan memasuki aliran vokasional menjadi 20 peratus berbanding sekarang."

Timbalan Perdana Menteri mahu penglibatan pihak swasta dalam membangunkan vokasional dan beliau mengumumkan akan membantu - termasuk bantuan dalam bentuk pembiayaan wang ringgit bagi yang mahu terlibat sama.

Beliau berkata, pendidikan vokasional ialah senjata utama di beberapa negara maju, sambil memberi contoh paling popular, iaitu di Perancis apabila 60 peratus pelajarnya berada dalam aliran vokasional.

Malaysia yang mensasarkan permainan global kelas pertama - apabila mahu menjadi negara maju pada 2020 - kini berhadapan dengan satu permainan minda melimpah keluar (brain drain) dan minda mengalir masuk (brain gain). Malaysia yang mensasarkan permainan global kelas pertama - apabila mahu menjadi negara maju pada 2020 - kini berhadapan dengan satu permainan minda melimpah keluar (brain drain) dan minda mengalir masuk (brain gain).

Muhyiddin menambah, komitmen kerajaan dalam masa 10 tahun ini adalah untuk mencipta lebih banyak peluang ekonomi, pada masa yang sama meningkatkan pendapatan ekonomi kepada setiap rakyat Malaysia yang bekerja. Cabaran seterusnya melibatkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang merupakan bidang ekonomi pengkhususan. Dua belas NKEA ini sememangnya bidang kepakaran negara kita yang akan memacu ekonomi negara pada kadar pertumbuhan enam sehingga tujuh peratus setiap tahun. Bidang ini akan menghasilkan beberapa trilion ringgit, yang akan menggerakkan RMK-10.
Memperkasakan pendidikan vokasional

Oleh MOHD. RIZAL AZMAN RIFIN

ISU pendidikan sejak kebelakangan ini sering menjadi paparan media dan antara yang terbaru diperkatakan ialah soal transformasi dalam pendidikan vokasional.

Atas hakikat penting mengarusperdanakan pendidikan vokasional, maka kena pada masanyalah satu transformasi jitu mesti diambil bagi mengangkat martabat pendidikan vokasional sebagai aliran pendidikan yang menjadi pilihan pelajar.

Kemajuan pesat dalam sektor industri yang sedang rancak berjalan sekarang sudah pasti akan mengalami gangguan sekiranya tenaga mahir tidak dapat disediakan. Justeru, langkah transformasi itu mesti digerakkan dengan lebih tersusun dan memerlukan perancangan yang rapi.

Soal mengapakah penyertaan pelajar masih rendah dalam bidang vokasional itu dapat diatasi sekiranya segala informasi selengkapnya dapat diberikan lebih awal kepada para pelajar. Selain itu, pihak Kementerian Pelajaran melalui sekolah seharusnya membetulkan persepsi negatif terhadap pelajar bidang vokasional.

Kerana selama ini, umum menganggap para pelajar vokasional itu tergolong dalam kalangan yang lemah. Jika halangan persepsi sebegini dapat di atasi, tidak mustahil, pendidikan vokasional menjadi rebutan pelajar sebagaimana yang telah berjaya dilaksanakan di negara-negara Eropah. Di sana, penyertaan pelajar dalam bidang vokasional sudah mencapai 50 peratus.

Dengan ura-ura untuk menjadikan bidang vokasional sebagai mata pelajaran di sekolah rendah lagi, diharapkan ia akan menjadi faktor pemangkin kepada tumbuhnya minat mendapat generasi muda kepada pendidikan vokasional itu.

Tetapi, satu hal seharusnya difikirkan oleh kerajaan ialah transformasi pendidikan aliran vokasional biarlah dilaksanakan dalam kerangka yang menepati kehendak pasaran kerja di bidang industri. Oleh itu, subbidang mata pelajaran hendaklah menjuruskan kepada keperluan semasa dan anggaran masa depan.

Dalam merencanakan perkara ini, peranan sektor swasta (industri) seharusnya dibawa bersama dalam transformasi tersebut. Contoh peranan yang boleh dimainkan oleh sektor industri dalam merancakkan pendidikan vokasional ialah menjemput tenaga pakar industri sebagai tenaga pengajar jemputan di sekolah-sekolah vokasional. Dengan kaedah seperti itu, pendedahan awal dan maklumat secara langsung dapat disalurkan kepada pelajar.

Selain itu, para lepasan pendidikan vokasional juga hendaklah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan cadangan menaikkan taraf politeknik sebagai universiti baru-baru ini, maka dirasakan ruang boleh disediakan untuk pelajar aliran vokasional itu menyambung pendidikan mereka.

Jadi, kita berharap kesungguhan kerajaan dalam menyemarakkan pendidikan vokasional akan memberi ruang dan peluang yang lebih besar kepada para pelajar.

Rancangan penstrukturan semula sistem pendidikan vokasional pasti ditunggu-tunggu oleh semua pihak kerana semua ingin melihat bidang ini menjadi teras utama dalam sistem pendidikan negara.

Kita juga berharap kerajaan melalui Bajet 2011 akan menyalurkan peruntukan yang lebih besar agar segala perancangan dan agenda mengarusperdanakan pendidikan vokasional tidak terbantut.

Tuesday, October 5, 2010

Sikap & Permasalahan Etnik Bumiputera

Satu-satunya Masalah Di Malaysia Ini ialah... (Utusan Online 6.10.2010)

SAYA amat tertarik membaca tulisan Syed Akbar Ali dalam blognya OutSyed The Box bertajuk The One & Only Problem In Malaysia atau Satu-satunya Masalah di Malaysia Ini.

Topiknya lari sama sekali dari politik. Ia berkaitan dengan realiti hidup seharian di Malaysia. Ia berkaitan dengan sikap dan etika kerja. Ia berkaitan dengan bagaimana anda, sama ada kakitangan kerajaan, pelajar, mahasiswa, peniaga, orang makan gaji melayan orang lain atau berusaha untuk memperbaiki diri sendiri.

Kononnya, orang Melayu itu bersopan-santun, beragama, berilmu? Jika itulah amalannya maka tiadalah masalah yang akan berlaku di kalangan orang kita sekarang atau dalam sistem jabatan kerajaan.

Seperti biasa tulisan Syed Akbar banyak mengondem sikap orang Melayu, namun seperti beliau mempunyai nawaitu yang baik dan murni. Walaupun pedas didengar tapi itulah hakikatnya, yang semua orang Melayu harus menerimanya --- untuk kebaikan mereka.

Syed Akbar yang juga penulis buku Malaysia and The Club of Doom (Malaysia dan Kelab Kemusnahan), menyimpulkan orang Melayu masih gagal bersaing sepenuhnya. Kita harus mencari jalan segera bagi membolehkan mereka bersaing, katanya.

Modal, pendidikan universiti, projek, kontrak, peluang niaga dan lain-lain terlalu banyak. Namun apa yang kita banyak tiada ialah etika kerja dan sikap. Itu sahaja bahagian yang kita hilang.

Beliau dalam entri bertarikh 18 September itu memberikan banyak contoh-contoh peribadi beliau dan dari rakan-rakan mengenai soal sikap dan etika kerja ini.

Satu petikan dalam pra-kata blog itu, Syed Akbar menulis: ''Para lulusan universiti kita langsung tidak boleh menulis ayat yang betul - dalam semua bahasa. Dan tolong lupakanlah pasal kemahiran Inggeris mereka. Jika kerajaan dan GLC tidak mengambil mereka bekerja, maka banyaklah lulusan bumiputera ini tidak akan bekerja. Mereka akan menganggur.

''Perkara yang sama tidak berlaku kepada lulusan bukan-bumiputera kita. Bukan bumiputera yang lulus dari UKM atau UM boleh terus mendapat kerja sehingga ke luar negara di Hong Kong, Australia, UK, New Zealand, Singapura dan di mana-mana. Mereka baca bukan teks yang sama, diajar oleh pensyarah yang sama dan makan pun makanan yang sama di kampus. Tapi apa yang membezakan mereka?''

Itu ialah soal sikap yang tidak mahu berubah. Sikap sambil lewa, yang tidak mahu mengambil peluang tiga, empat, lima tahun di menara gading untuk memperbaiki diri dan kemahiran diri. Tahu-tahu dah keluar --- adalah ijazah, tapi penampilan diri dan keyakinan diri, macam mana?

Begitu juga dengan soal etika kerja. Ia lebih rumit lagi kerana ia membabitkan kepada soal sistem. Jika etika kerja tidak sempurna ia bukan membabitkan satu jabatan itu sahaja, tapi keseluruhan sistem negara akan dinilai.