Wednesday, October 13, 2010

Panggil perantau pulang ke Malaysia (Utusan Online - 14.10.2010)
Oleh WAHID HASHIM

Kekurangan tenaga berkemahiran tinggi serta profesional di Malaysia memang agak kritikal. Cuba anda bayangkan 80 peratus tenaga di pasaran kerja Malaysia - atau modal insan kita - hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ternyatalah - terang lagi bersuluh - jangan kita terasa hati bahawa pekerja Indonesia yang berkolek datang ke Malaysia lebih mahir daripada tenaga kerja bertali leher kita yang sebenarnya hanya lepasan SPM. Hal ini kerana Indonesia lebih maju daripada Malaysia dari segi pendidikan vokasionalnya.

Kalau mengikut Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Guna Tenaga Negara, sekarang peratus tenaga berkemahiran tinggi dan profesional cuma 27 peratus, dan cuba hendak dinaikkan kepada 37 peratus pada 2008.

Bagi beliau, isu ini sangat kritikal dan bakal menentukan jaya atau gagalnya Wawasan 2020. Pendekatan memanggil pulang rakyat Malaysia merupakan pendekatan ad hoc untuk mengisi keperluan itu, selain rancangan jangka panjang beliau - sebagai Menteri Pelajaran - untuk melakukan transformasi mengarusperdanakan pendidikan vokasional.

Bagi bidang pendidikan vokasional, beliau nampaknya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan berbanding model lima tahunnya.

''Bila saya arah laksanakan, silalah laksanakan dengan bersungguh-sungguh," katanya dengan nada yang kecewa ketika bersarapan pagi di Shangri-La Hotel dengan wartawan Malaysia, merujuk kepada bajet untuk program penambahbaikan vokasional yang sangat sedikit berbanding usaha untuk mengarusperdanakan pendidikan vokasional.

Tegas beliau: ''Saya tegaskan kita hendak bilangan pelajar di seluruh negara yang akan memasuki aliran vokasional menjadi 20 peratus berbanding sekarang."

Timbalan Perdana Menteri mahu penglibatan pihak swasta dalam membangunkan vokasional dan beliau mengumumkan akan membantu - termasuk bantuan dalam bentuk pembiayaan wang ringgit bagi yang mahu terlibat sama.

Beliau berkata, pendidikan vokasional ialah senjata utama di beberapa negara maju, sambil memberi contoh paling popular, iaitu di Perancis apabila 60 peratus pelajarnya berada dalam aliran vokasional.

Malaysia yang mensasarkan permainan global kelas pertama - apabila mahu menjadi negara maju pada 2020 - kini berhadapan dengan satu permainan minda melimpah keluar (brain drain) dan minda mengalir masuk (brain gain). Malaysia yang mensasarkan permainan global kelas pertama - apabila mahu menjadi negara maju pada 2020 - kini berhadapan dengan satu permainan minda melimpah keluar (brain drain) dan minda mengalir masuk (brain gain).

Muhyiddin menambah, komitmen kerajaan dalam masa 10 tahun ini adalah untuk mencipta lebih banyak peluang ekonomi, pada masa yang sama meningkatkan pendapatan ekonomi kepada setiap rakyat Malaysia yang bekerja. Cabaran seterusnya melibatkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang merupakan bidang ekonomi pengkhususan. Dua belas NKEA ini sememangnya bidang kepakaran negara kita yang akan memacu ekonomi negara pada kadar pertumbuhan enam sehingga tujuh peratus setiap tahun. Bidang ini akan menghasilkan beberapa trilion ringgit, yang akan menggerakkan RMK-10.

No comments:

Post a Comment