Sunday, August 21, 2011

Graduan Melayu, bumiputera terima gaji permulaan terkecil

Utusan Online - 19.8.2011

SHAH ALAM 19 Ogos - Para graduan Melayu dan bumiputera merupakan golongan terbesar yang menerima gaji permulaan terkecil sebaik sahaja memasuki pasaran kerja iaitu antara RM501 sehingga RM2,000 ke atas berbanding kumpulan etnik lain.

Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mat Noor Nawi berkata, berdasarkan statistik 2009, sebanyak 24 peratus daripada golongan itu menerima gaji antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001-RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (24 peratus) dan hanya 19 peratus menerima gaji RM2,000 ke atas.

Berbeza dengan 70 peratus graduan berketurunan Cina yang mendapat gaji permulaan antara RM1,501 hingga RM2,00 ke atas; RM1,001-RM1,500 (21 peratus) dan lapan peratus daripada mereka menerima antara RM501 hingga RM1,000.

Bagi graduan berketurunan India pula katanya, sebanyak 14 peratus menerima gaji permulaan antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001 hingga RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (28 peratus) dan sebanyak 27 peratus daripada mereka menerima gaji melebihi RM2,000.

Sementara penyertaan bumiputera sebagai (ahli) lembaga pengarah di syarikat-syarikat besar adalah tinggi tetapi BUKAN sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Mat Noor memetik pelbagai dari kajian dan laporan bebas oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi Bloomberg, Bursa Malaysia dan penyiasatan pendapatan isi rumah 2009.

Bagi kategori pendapatan purata bulanan isi rumah mengikut aktiviti dan kumpulan etnik, masyarakat Melayu dan bumiputera yang bekerja sebagai majikan hanya memperoleh RM7,078 berbanding RM7,271 (India) dan RM8,559 yang diperolehi para majikan berketurunan Cina.

Untuk kategori pekerja sektor awam pula, kumpulan bumiputera memperoleh pendapatan bulanan purata sebanyak RM4,925; RM5,109 (India) dan RM6,288 bagi masyarakat Cina.

Bagi yang bekerja sendiri, masyarakat bumiputera memperoleh RM2,487 diikuti India menerima RM3,717 dan Cina sebanyak RM4,561.

Wednesday, June 15, 2011

Skim gaji lebih munasabah ke arah negara berpendapatan tinggi

Utusan Malaysia - 16.6.2011

PENGUMUMAN Perdana Menteri mengenai pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja berpendapatan rendah sebelum akhir tahun ini, umpama bulan jatuh ke riba bagi golongan itu.

Bukan rahsia lagi yang isu gaji minimum ini telah diperjuangkan oleh kesatuan sekerja awam dan swasta di negara ini sejak sekian lama umpama pungguk merindukan bulan.

Beberapa siri rundingan, dialog dan pertemuan telah diatur di antara pihak kesatuan, wakil kerajaan dan majikan termasuk swasta untuk mencari titik persefahaman namun kerap kali tidak mencapai kata putus.

Antara alasan yang pernah diberikan majikan khususnya pihak industri yang banyak menggaji pekerja asing untuk menolaknya; sebaik sahaja dilaksanakan, tidak akan ada pengecualian maksudnya ia meliputi semua termasuk warga asing.

Tetapi wajarkah alasan itu menjadi kekangan untuk melaksanakan skim gaji 'yang munasabah dan berpatutan' untuk pekerja di negara ini?

Perlukah kita mengorbankan kebajikan pekerja tempatan semata-mata kerana enggan membayar jumlah gaji yang sepadan kepada pekerja asing?

Difahamkan ada kalangan pekerja yang pendapatan asasnya RM600 sebulan. Malah ada pengawal keselamatan yang dibayar serendah RM500 sebulan.

Bayangkan apa yang dapat dibeli dengan wang sebanyak itu, lagi-lagi jika tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur?

Dengan gaji sekecil itu, golongan pekerja ini terpaksa berkira-kira untuk membayar sewa rumah, duit minyak baik kereta atau motor, tol dan belanja dapur yang tentu sahaja besar bagi yang berkeluarga.

Itu belum dikira belanja sekolah anak, yuran termasuk duit beli ubat apabila sakit pening.

Cadangan gaji minimum sekitar RM900 sebulan yang diperjuangkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), rasanya cukup munasabah dan tidak membebankan kerajaan.

Walaupun kadarnya hanya akan diputuskan selepas Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuhkan, kita menaruh kepercayaan ia suatu jumlah yang melegakan.

Perkembangan terbaru ini mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar mendengar keluhan rakyat bahkan membuktikan gagasan 'Rakyat Didahulukan' bukan sekadar slogan.

Ribuan maklum balas berhubung syor gaji minimum yang diterima Perdana Menteri dalam blog beliau www.1malaysia.com juga jelas tidak dibakulsampahkan.

Dalam perjalanan Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, nasib golongan pekerja ini nampaknya tidak diabaikan sebaliknya mereka dibawa sama untuk mencapai matlamat tersebut.

Kita percaya dengan pelaksanaan gaji minimum itu kelak, golongan pekerja yang mendapat manfaat daripadanya akan membalas budi dengan meningkatkan produktiviti masing-masing.

Kita mengandaikan dengan peningkatan pendapatan itu, mereka tidak perlu lagi bersusah payah membuat kerja sambilan sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pekerjaan hakiki.

Dengan itu, barulah gagasan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' menjadi slogan yang lengkap!

Artikel ini telah diedit bagi tujuan pendidikan dan makluman warga ILP Labuan sahaja

Tuesday, May 10, 2011

Jaga tenaga mahir tempatan

TERDAPAT rakan-rakan penulis yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka apabila kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif bagi menarik cerdik pandai Malaysia pulang ke tanah air. Antaranya seorang rakan penulis yang bekerja sebagai akauntan di sebuah bank yang terkemuka di negara kita.

Beliau berasakan kerajaan terlalu memberi perhatian kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara sedangkan terdapat begitu ramai tenaga mahir tempatan bekerja di negara kita.

Bagi menarik minat rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, kerajaan hanya mengenakan cukai pendapatan 15 peratus untuk tempoh lima tahun sedangkan tenaga mahir tempatan dikehendaki membayar 26 peratus daripada pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut beliau, ramai rakan-rakannya sudah ber ura-ura untuk berhijrah ke luar negara termasuklah ketuanya seyang hanya menunggu masa untuk bekerja di Australia. Melihat fenomena ini, dikhuatiri hasrat kerajaan mengumpul sejumlah tenaga mahir rakyat Malaysia untuk bekerja di negara sendiri akan terbantut.

Banyak isu yang perlu dikaji bagi membolehkan Malaysia dipenuhi oleh tenaga mahir. Bagi negara-negara maju, peratusan pekerja mahir berbanding keseluruhan pekerja adalah dalam lingkungan 80 peratus. Jumlah ini amatlah tinggi berbanding negara kita yang mana peratusan pekerja mahir amatlah kecil sekali.

Talent Corporation sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan menarik pekerja mahir Malaysia yang bekerja di luar negara agar pulang bekerja di Malaysia seharusnya menyenaraikan apakah yang dikatakan sebagai pekerja mahir.

Bagi penulis tidak semua yang bekerja di luar negara berkemahiran tinggi. Kecualilah kemahiran dan kepakaran mereka tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pekerja mahir di Malaysia.

Ciri-ciri apakah yang akan digunakan oleh Talent Corporation agar dapat membawa pulang tenaga mahir yang benar-benar hebat dari luar negara?Jika tidak, lebih baik dana yang disediakan digunakan untuk memberi latihan kepada para pekerja mahir yang bekerja di Malaysia.

Sektor manakah yang sememangnya memerlukan pekerja berkemahiran tinggi? Ini juga perlu dikaji secara teliti agar sektor yang benar-benar memerlukan pekerja mahir mendapat bantuan yang sewajarnya selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Justeru, masalah brain drain ini memerlukan mekanisme terbaik agar hasrat negara meramaikan tenaga mahir yang bekerja di negara sendiri tercapai. Janganlah sampai terlalu memberi perhatian tenaga mahir yang bekerja di luar negara sehinggakan menyebabkan tenaga mahir sedia ada dalam negara dipinggirkan dan mereka yang berasakan diri terpinggir dan tidak dihargai merajuk membawa diri untuk bekerja di luar negara.

Artikel ini telah diedit bagi tujuan bacaan umum staff ILP Labuan.

Monday, April 4, 2011

Rakyat Malaysia perlu jadi bangsa pencipta

Berita Harian Online - 5.4.2011

PUTRAJAYA: Rakyat negara ini perlu berubah segera menjadi bangsa pencipta serta penambah nilai dan berhenti menggunakan inovasi ciptaan orang lain terutama bagi sesuatu yang mampu dihasilkan sendiri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya rakyat negara ini keluar dari kepompong zon selesa sebagai bangsa pengguna.Justeru, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan membuat penandaan aras dengan Jepun kerana negara itu terbukti hebat dalam aspek penciptaan baru membabitkan ilmu sains dan matematik.

“Daripada kaedah penandaan aras ini, kerajaan mendapati rakyat negara itu berfikir dalam bahasa ibunda untuk mencipta pelbagai teknologi inovasi baru,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mengambil serius usaha menterjemah bahan pembelajaran dan pengajaran dalam usaha memantapkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) menjelang pelaksanaannya pada 2012.

"Rakyat Malaysia kini rata-ratanya mampu bertutur dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris, namun kita juga harus menerima realiti bahawa masih ada lagi antara kita ini yang tidak mempunyai keupayaan sama," katanya. Penterjemahan buku sains dan matematik penting pada ketika dunia sedang menjulang ilmu sains dan matematik untuk setiap inovasi penyelesaian masalah kehidupan selaras dengan cabaran keenam Wawasan 2020 untuk mewujudkan masyarakat saintifik, progresif, inovatif dan mampu memandang jauh ke depan.

Artikel ini telah diedit bagi tujuan rujukan dan pengetahuan masyarakat & warga ILP Labuan

Serap 4 elemen Lautan Biru: PM

Penjawat awam disaran cari rumusan kreatif, tak berfikir konvensional atasi masalah - Berita Harian Online - 5.4.2011
Oleh Magendran Rajagopal


PUTRAJAYA: Penjawat awam disaran menerapkan empat elemen penting Strategi Lautan Biru iaitu, 'kurangkan, hapuskan, wujudkan dan menambah peluang' ketika melaksanakan tugas supaya pencapaian dan keberhasilan sektor pentadbiran awam terus meningkat.
Kakitangan awam tidak sepatutnya hanya memerhatikan perancangan strategik negara selaku anggota pentadbiran saja, sebaliknya mesti berpaksikan kepada tafsiran objektif mengenai kehendak dan jangkaan rakyat terhadap kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita anggap prinsip ini sebagai ‘empat suku atau quadrant’. Kalau nak dipercepatkan sistem penyampaian, kita kena masuk suku ‘kurangkan’, seperti dilakukan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Sidek Hassan).

“Suku ‘hapuskan’ pula diguna pakai apabila ada ketirisan atau kerugian...

“Menambah peluang pula bermakna kita memberi nilai tambah dalam pengurusan dan pentadbiran bagi meneroka peluang baru.

Strategi Lautan Biru turut menyokong agenda utama kerajaan melalui pelbagai pendekatan baru yang dapat dilihat daripada dua aspek, iaitu mencari rumusan kreatif dan tidak lagi berfikir secara konvensional bagi menyelesaikan masalah.
Katanya, kerja tambahan tidak seharusnya bermakna perlu ada penambahan bajet atau jumlah kakitangan, sebaliknya strategi harus menjadi pedoman bagi mengurangkan tenaga kerja dengan menghapuskan apa yang tidak perlu, sekali gus mewujudkan peluang baru dan menambah bidang baru untuk diceburi.

Satu daripada tonggak utama pihak pentadbiran adalah berlandaskan kepada dasar bahawa kerajaan adalah untuk semua rakyat Malaysia dan penjawat awam mesti adil kepada segenap lapisan masyarakat.

Najib juga berkata, penjawat awam perlu mengenal pasti bidang yang diberi keutamaan oleh kerajaan dan menyesuaikannya dengan apa yang hendak dilakukan berdasarkan penilaian objektif terhadap persekitaran ekonomi dalaman, serantau serta global supaya strategi ekonomi negara pada masa depan menepati senario dalam dan luar negara.

Penilaian dari luar negara seperti Pengasas Bersama Kumpulan Transparency International (TI), Michael Hershman, mengesahkan pencapaian negara adalah hakikat, bukan sengaja diada-adakan.

“Pada penghujung 2009, kita mulakan proses perancangan strategik. Lantaran itu lahirlah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan disusuli dengan analisis mendalam kedudukan ekonomi negara dalam konteks hala tuju baru.

“Maka tercetuslah Model Baru Ekonomi (MBE) dengan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan 131 mengenai projek permulaan (EPP). Di samping itu, kita sudah kenal pasti apakah kekangan struktur yang boleh menjadi hambatan kepada kita memacu ke hadapan lebih pantas lagi,” katanya.

Nota: Artikel ini diedit bagi tujuan rujukan kesedaran masyarakat dan warga ILP Labuan

Thursday, March 24, 2011

Ganjaran bukti kerajaan ikhlas hargai komitmen tinggi penjawat awam

Minda Pengarang Berita Harian - 24.3.2011

PENJAWAT awam adalah nadi kepada pentadbiran sesebuah kerajaan. Kakitangan awam pada setiap peringkat adalah pelaksana kepada pelbagai dasar yang dirangka kerajaan dan kepada mereka terletak keupayaan, keberkesanan dan kecekapan sesebuah sistem pemerintahan. Kejayaan atau kegagalan juga terletak kepada sejauh mana peringkat tertinggi penjawat awam memutuskan sesuatu dasar dan dapat pula dilaksanakan dengan jayanya pada peringkat pertengahan dan bawahan.
Penjawat awam membentuk satu kumpulan tenaga kerja yang besar dan di Malaysia saja, ia meliputi kira-kira 1.3 juta kakitangan. Oleh itu, bagi memastikan penjawat awam sentiasa cekap, pelbagai latihan dan kursus diberikan dari semasa ke semasa. Pada masa sama, kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan, ganjaran dan insentif tertentu kepada penjawat awam bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin. Antaranya ganjaran persaraan, skim perubatan dan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pinjaman perumahan serta pelbagai elaun dan insentif lain.
Ini semua bagi merangsang semangat, keupayaan dan kebijaksanaan penjawat awam dalam membantu kerajaan mengurus dan mentadbir negara. Justeru, kita melihat pengumuman kerajaan untuk menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari tahun lalu adalah wajar dan tepat pada masa. Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus.

Kita juga percaya ketika penangguhan itu dibuat, ramai juga yang kecewa kerana tidak dapat menikmati wang persaraan mereka sepenuhnya berikutan keputusan itu. Apapun kita yakin keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti kedudukan kewangan negara dan pada masa sama kerajaan turut mengambil kira komitmen penjawat awam yang berjaya membantu memulihkan negara daripada kesan krisis ekonomi dunia. Kita percaya kerajaan akan mengumumkan banyak lagi berita gembira buat penjawat awam bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin, begitu juga dengan keluarga mereka yang turut memberi sumbangan secara tidak langsung terhadap kejayaan negara.
Berikutan itu, kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil skim KWSP yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma. Apapun, kita amat berharap penjawat awam sentiasa berusaha meningkatkan komitmen mereka untuk membantu kerajaan ketika senang mahupun susah.
Kita tidak mahu penjawat awam hanya dilihat pandai ‘meminta-minta’ seperti kenaikan gaji atau bonus dengan mengemukakan pelbagai alasan tetapi gagal menunjukkan pencapaian membanggakan. Kita juga tidak mahu penjawat awam terus kekal dengan cara kerja dan pemikiran lama. Kita mahu penjawat sanggup berubah sejajar Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang mahu meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan. Kita percaya jika mereka menunjukkan prestasi memberangsangkan sudah pasti akan ada ganjarannya.
Kita yakin kerajaan sedia mendengar masalah dihadapi penjawat awam dan sentiasa mencari jalan memperbaikinya terutama melaksana kaedah terbaik menilai prestasi mereka.

Artikel ini diedit bagi tujuan pembelajaran dan rujukan kakitangan ILP Labuan sahaja

Friday, March 18, 2011

Graduan tunggu kerjaya idaman

Sikap memilih, tuntut gaji, lokasi punca lepasan IPT sukar dapat pekerjaan

Berita Harian - 19.3.2011

KUALA LUMPUR: Sikap terlalu memilih pekerjaan, selain menjadikan alasan remeh seperti jarak pejabat jauh dan gaji tidak setimpal menjadi punca ramai graduan institusi pengajian tinggi (IPT) sukar mendapatkan pekerjaan.

Malah, ada golongan pencari kerja mendakwa, segelintir majikan mengamalkan sikap pilih kasih lalu menolak calon yang tidak memenuhi kriteria atau kemahuan mereka sebagai alasan tidak ditawarkan pekerjaan.