Wednesday, September 19, 2012

Bajet pantau kewangan peribadi

Oleh ROHAMI SHAFIE - Utusan Online 20.9.2012
SETIAP tahun pada September atau Oktober, ramai yang tertunggu-tunggu apakah intipati bajet tahunan negara. Semua golongan menaruh harapan yang tinggi agar mereka juga memperoleh manfaat daripada pengumuman Bajet 2013 nanti. Bajet secara amnya merupakan satu mekanisme untuk mengawal dan memantau kewangan. Bajet digunakan bagi memastikan kewangan seseorang sentiasa pada tahap mapan.
Mapan di sini bermaksud perbelanjaan tidak melebihi pendapatan. Apabila perbelanjaan melebihi pendapatan seseorang, maka individu tersebut akan mengalami kekurangan wang. Dalam bahasa ekonomi ia dikenali sebagai defisit. Baik individu mahupun negara, seboleh-bolehnya elakkan defisit kewangan. Defisit yang tinggi akan menyebabkan hutang meningkat. Sebab itulah, perkara paling penting dalam melaksanakan bajet yang telah disediakan adalah dengan memastikan kewangan individu tidak mengalami defisit.
Bajet sebaik-baiknya digunakan untuk memantau aliran tunai individu. Aliran tunai yang positif menandakan seseorang itu telah mengurus kewangan peribadi secara berhemah, aliran tunai yang negatif pula telah terperangkap dengan perbelanjaan yang keterlaluan mengatasi pendapatannya. Bagi yang mengalami aliran tunai yang negatif, tindakan pembetulan mestilah segera dibuat seperti mengurangkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya dan hanya menumpu pada perbelanjaan keperluan harian dan bukannya perbelanjaan barangan kehendak. Ramai yang tersungkur sebaik sahaja berakhirnya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Mereka ini terpaksa mengekang perbelanjaan harian hanya kerana terlibat dengan perbelanjaan besar semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kalau dikira dalam konteks pengurusan kewangan, mereka ini boleh dikatakan tidak mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah. Seseorang yang mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah tidak akan mengalami masalah kewangan pada setiap masa. Bajet cukup penting dalam mengawal kewangan seseorang. Apa yang penting ia dilaksanakan sebagaimana yang dibelanjawankan. Jangan sesekali berbelanja di luar daripada apa yang dibelanjawankan. Pembaziran antara perkara yang wajib dielakkan. Pada dasarnya kerajaan berusaha untuk mengurangkan kadar defisit pada tahap terendah iaitu pada kadar tiga peratus menjelang 2015. Kerajaan turut sentiasa menyasarkan agar peratusan hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak melebihi 55 peratus.Lebih tinggi peratusan kadar hutang berbanding KDNK, lebih tinggi kemungkinan sesebuah negara mengalami tekanan kewangan. Bagi individu, defisit yang tinggi akan menyebabkan individu tersebut terpaksa berhutang dengan pelbagai pihak. Jika berhutang dengan sanak saudara mahupun bank tidak mengapalah, yang menjadi masalahnya berhutang dengan ah long yang mana kadar faedah yang dikenakan amatlah tinggi.
Sekiranya terlibat dengan ah long, seseorang itu bukan sahaja akan dikejar oleh ah long tetapi juga berkemungkinan besar kehilangan orang tersayang dan rakan-rakan baik yang cuba melarikan diri daripadanya. Berbelanja sewenang-wenangnya mengikut nafsu akan menyusahkan ramai pihak.
Penangan berhutang akibat tidak mahir mengurus kewangan peribadi akhirnya bukan sahaja menyusahkan diri sendiri tetapi orang lain. Konsep asas dalam pengurusan kewangan peribadi adalah berbelanja mengikut kemampuan. Memang mudah untuk diucap tetapi tidak mudah untuk mengamalkannya.
Hutang rumah merupakan perbelanjaan terbesar seseorang. Justeru, seseorang wajib merancang sebelum membeli rumah dengan mengambil kira faktor kemampuan membayar balik pinjaman rumah selain memastikan faktor-faktor lain seperti lokasi rumah tersebut. Pembelian rumah buat pertama kali adalah untuk menetap di situ dan bukannya bertujuan untuk membuat pelaburan. Ketika harga rumah yang semakin meningkat tinggi, faktor kos tidak boleh dikesampingkan. Beli rumah yang selesa tetapi masih dalam lingkungan kemampuan kewangan. Pembelian kereta juga perlu diambil kira. Amalan menukar kereta boleh menyebabkan kewangan peribadi seseorang berada dalam keadaan tenat. Sedangkan kereta hanya digunakan untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju. Ambil kira juga bayaran ansuran bulanan kereta sahaja kerana kos memiliki kereta termasuklah kos petrol, belanja penyelenggaraan, cukai jalan, insurans malahan kos parkir juga perlu diambil kira. Kesemua ini perlu dimasukkan dalam bajet individu bagi mengelak individu tersebut terjerumus ke dalam lembah kemuflisan.
Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran staff dan pelajar ILP Labuan

Wednesday, September 12, 2012

Pengamalan dasar luar melalui RazakSat2

Oleh Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM - Utusan Online 13.9.2012
PENGAMALAN dasar luar Malaysia semenjak 55 tahun yang lepas amat bergantung kepada keadaan geopolitik semasa sama ada dalam negeri atau luar negara. Apa yang nyata adalah setiap dasar yang dibentuk paling penting mengambil kira hak Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka.

Asas arah tuju dasar luar negara juga amat diwarnai oleh kepimpinan tertinggi yakni siapa yang menjawat jawatan perdana menteri pada ketika itu. Perdana menteri pertama memimpin sebuah negara yang baru mengecapi erti merdeka dan pada masa yang sama berdepan dengan ancaman komunis, kepimpinan dasar luar banyak berkisar kepada masalah yang dihadapi ketika itu.
Kepimpinan perdana menteri seterusnya, kesemuanya mengamalkan pengamalan dasar luar yang agak berbeza mengikut peredaran masa dan kekuatan masing-masing. Dasar luar yang bebas dan tidak dicemari oleh pengaruh asing adalah kaedah terbaik untuk menentukan kepentingan negara sentiasa terjamin. Malaysia perlu mempunyai satu bentuk kekuatan sama ada dalam bidang ekonomi atau ketenteraan untuk menentukan semua pendirian negara dihormati oleh negara lain.
Contohnya, Washington berdaya mengamalkan dasar luar mengikut acuan mereka kerana kekuatan teknologi angkasa lepas yang dimiliki selain Britain dan Perancis ke atas Libya.Sebahagian besar bantuan tersebut banyak berkisar kepada teknologi angkasa lepas yang dimiliki oleh ketiga-tiga negara Barat tersebut. Modus operandi yang serupa juga sedang diamalkan untuk menggulingkan Syria. Malaysia tanpa banyak disedari oleh rakyat juga mempunyai kekuatan tersendiri dalam teknologi angkasa lepas tetapi tidaklah setara apa yang dimiliki oleh kuasa besar yang lain. Namun, kekuatan negara dalam bidang tersebut adalah terbaik bukan sahaja di kalangan negara ASEAN malah merangkumi negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Aset teknologi angkasa lepas paling berharga yang dimiliki oleh Malaysia pada ketika ini ialah satelit remote sensing yang dinamakan RazakSat yang di lancarkan pada 14 Julai 2009 mempunyai kemampuan membezakan objek di bumi sekecil 2.5 meter. Tetapi ciri paling unik satelit RazakSat adalah orbitnya direncanakan khas untuk kawasan khatulistiwa yang memberi maksud bahawa kawasan tersebut mampu dilawati oleh satelit RazakSat di antara 4 hingga 6 kali sehari. Keistimewaan kekerapan lawatan yang begitu tinggi untuk kawasan Khatulistiwa hanya dimiliki oleh satelit RazakSat kerana kebanyakan beribu-ribu satelit remote sensing sedia ada dikhaskan untuk pencerapan kawasan kutub utara atau selatan sahaja.
Kehebatan ciri yang dimiliki oleh satelit RazakSat sepatutnya digunakan secara optimum untuk memperkasakan dasar luar Malaysia. Lebih tepat lagi kedaulatan wilayah Malaysia di Terumbu Ubi, Mantanani, Siput, Peninjau dan Pulau Layang-Layang di gugusan Kepulauan Spratly Laut China Selatan mampu diperkuatkan lagi dengan bantuan satelit RazakSat. China yang menuntut sebahagian besar wilayah maritim Laut China Selatan termasuk kelima-lima pulau milik Malaysia secara senyap-senyap telah menggunakan satelit mereka sebagai sumber maklumat risikan wilayah yang dipertikaikan.
China mempunyai tiga satelit khas untuk memantau kawasan maritim tetapi hanya mempunyai kemampuan yang terhad. Dua minggu lepas Beijing telah mengumumkan akan melancarkan lapan satelit tambahan yang memberi kuasa rangkuman bukan sahaja keseluruhan Laut China Selatan tetapi juga Laut China Timur.
Jika di Laut China Selatan, Beijing mempunyai masalah tuntutan bertindih begitu juga dengan Laut China Timur masalah serupa juga wujud diantara China dan Jepun. Sebab itu China sanggup berbelanja besar melancarkan satelit baru asalkan tuntutan mereka dapat diperkuatkan lagi. Sudah tiba masanya Malaysia mempergunakan segala kekuatan yang dimiliki oleh satelit RazakSat bukan sahaja untuk mempertahankan kedaulatan wilayah Laut China Selatan milik negara tetapi juga mengambil kira kekuatan keseluruhan teknologi angkasa lepas yang dimiliki apabila merencanakan dasar luar Malaysia.
Jangka hayat satelit RazakSat dijangka akan tamat beberapa tahun lagi dan banyak pengajaran yang telah diperolehi dari pembangunan satelit tersebut. Sekali lagi Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB) telah diberi tanggung jawab untuk membangunkan satelit yang bakal dinamakan RazakSat2. Pembangunan RazakSat2 dijangka dilaksanakan seratus peratus oleh pakar jurutera dan saintis dalam negara kerana ATSB umpamanya telah pun memiliki kepakaran yang diperlukan.
Ciri-ciri yang bakal dimiliki oleh satelit RazakSat2 bukan sahaja perlu memenuhi keperluan saintifik tetapi boleh digunakan juga dalam pengamalan dasar luar kerana telah terbukti dasar luar yang disertai dengan kekuatan teknologi angkasa lepas besar kemungkinan akan berjaya dilaksanakan.

Monday, September 10, 2012

Jangan simpan pekerja malas

Oleh YULPISMAN ASLI- Utusan Online 10.9.12
KOTA BHARU 9 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan agensi dan jabatan kerajaan tidak 'menyimpan' penjawat awam yang dikatakan berdepan dengan masalah suka ponteng kerja. Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, dianggarkan terdapat antara 15,000 hingga 18,000 kakitangan awam berdepan masalah tersebut dan mereka sukar dikenakan tindakan berdasarkan peraturan sedia ada. Menurutnya, walaupun jumlah mereka kecil berbanding sejumlah lebih 1.2 juta penjawat awam, tindakan pekerja terbabit yang datang bekerja dan punch card tetapi bersikap 'sekejap ada, sekejap tidak ada' boleh mendatangkan masalah kepada majikan.
Justeru, katanya, tindakan perlu diambil terhadap pekerja terbabit bagi memastikan sektor awam yang kini dalam proses transformasi dan penambahbaikan dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada rakyat. "Kita tidak mahu buang mereka secara drastik kerana nanti teraniaya pula sebab mereka sudah mempunyai keluarga dan ada hutang. Jadi, kalau boleh dipanggil, hantar kursus motivasi. Kalau tidak boleh juga, dicadang suruh dia bersara awal.
"Jika degil dan tidak mahu juga serta melakukan kesalahan yang sama sampai jabatan pun susah, elok dia dikenakan tindakan tatatertib,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan sambutan Aidilfitri di sini hari ini.
Menurut Omar, semua pihak mahu penjawat awam yang efisien kerana hanya dengan itu kehadiran mereka dapat dirasai dan diperlukan lebih-lebih lagi tempoh perkhidmatan telah dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.
"CUEPACS juga tidak mahu dituduh bersubahat dengan orang seperti itu," katanya. Beliau berkata, sikap dan masalah kakitangan tersebut sebenarnya boleh diatasi dengan menghantar mereka berkursus, namun apa yang berlaku ialah pihak majikan kerap bersikap tidak ambil kisah terhadap pekerja terbabit.
Sehubungan itu, katanya, dalam 'roadshow' CUEPACS, pihaknya telah meminta jabatan dan agensi kerajaan supaya jangan menyimpan penjawat awam seperti itu.

* Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran dan maklumat umum kakitangan dan pelajar ILP Labuan sahaja

Friday, September 7, 2012

Lalui hidup tenang dengan 'memerdekakan diri' daripada hutang-piutang

oleh DR. JESSICA ONG HAI LIAW - Utusan Online 6/9/2012

HUTANG adalah perkataan yang paling digeruni apabila kita tidak mampu membayarnya. Bila menerima gaji, waktu itulah yang paling ditunggu dan waktu itu juga duit akan keluar seperti air untuk melunaskan segala hutang pinjaman. Sehingga tidak sempat untuk dipegang lama gaji yang diterima, terus sahaja mengalir seperti aliran air sungai yang deras.
Hal ini membuatkan kita merasa hidup ini seperti menjadi hamba untuk membayar rumah dan kereta . Itu semua adalah senario yang dihadapi semua orang terutama yang bekerja makan gaji. Hutang rumah, kereta, pembiayaan peribadi dan setiap orang ada alasan masing-masing untuk berhutang. Apabila diminta untuk menjadi penjamin saudara mara atau kawan, maka kita akan cuba mengelak. Bukan sebab tidak mahu menolong tetapi menjadi penjamin akhirnya membuatkan kita secara tidak langsung akan terlibat dengan hutang. Malah penjamin selalu menjadi mangsa apabila saudara mara dan kawan yang dijamin tidak mampu membayar, dan dengan mudah boleh menghilangkan diri lalu membuatkan penjamin yang merana.
Sebanyak 25 peratus kes muflis disebabkan beban hutang melibatkan pinjaman kereta, pinjaman peribadi (13 peratus), pinjaman perumahan (12 peratus), pinjaman perniagaan (11 peratus) dan hutang kad kredit (5 peratus). Pengurusan hutang perlu dilakukan secara bijak dan jika kita ada kelemahan itu maka jangan gunakan kad kredit. Mengikut perkiraan awal, memang kita mampu membayar ansuran pinjaman tetapi apabila berlakunya perkara yang tidak dijangka seperti dibuang kerja, hubungan rumah tangga dan lain-lain, masalah akan mula timbul. Akhirnya ia menyebabkan hidup kita menjadi huru-hara, ada yang bercerai-berai, ada sehingga melibatkan Along diikuti dengan jenayah yang mengorbankan nyawa. Fikiran akan berserabut jika kita tidak dapat membayar hutang pada tarikh yang ditetapkan. Bank atau institusi pinjaman akan menelefon tidak henti-henti. Walaupun begitu ada juga bank yang mengambil pendekatan memahami dan memberi masa serta peluang untuk pelanggan membuat cara pembayaran yang efisien.
Perbelanjaan yang berlebihan dengan adanya shopping online yang sangat popular kini merupakan satu sindrom apabila kita dapat membeli belah di hujung jari sahaja. Barangan yang dihantar pula berkualiti maka itulah punca perasaan untuk membeli membuak-buak.
Itu juga punca masalah apabila kad kredit yang digunakan untuk membeli-belah akan menyebabkan kita lupa bajet bulanan. Jadi hilang ingatan sekejap apabila melihat tawaran-tawaran hebat yang boleh didapati dengan harga yang murah dari luar negara. Hutang kad kredit sangat berbahaya tetapi penggunaan kad debit atau charge card lebih selamat jika dibandingkan dengan kad kredit.
Wujudnya andaian bahawa sikap ketagihan menggunakan kad kredit dan berbelanja khususnya kaum wanita dikatakan dapat menghilangkan tekanan. Membeli-belah menjadi terapi untuk melegakan kekusutan dan memberi penghargaan kepada diri sendiri namun terlalu leka boros akan menimbulkan masalah lain pula.
Statistik Harvard Business Review (HBR) menunjukkan mungkin tidak tepat pada beberapa keadaan terutamanya apabila anda adalah seorang yang menggalakkan perbelanjaan bijak dan membuat belanjawan. Kuantiti dalam realiti kes ini, percaya atau tidak majoriti daripada orang (62%) berbelanja atau membeli sesuatu ialah untuk memulihkan mood. Semua keperluan sepatutnya dibeli secara tunai dan jika tidak mampu dia tidak akan membelinya. Katanya, apabila sudah bersara dia inginkan ketenangan dan tidak suka jika bank menelefon setiap bulan.Bercakap tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) pada 2009, seramai 78,000 peminjam disekat keluar negara kerana tidak membayar hutang PTPTN. Soalnya, bukan berapa banyak hutang kepada PTPTN tetapi soal prinsip dan moral; tentunya apabila kita meminjam maka hutang perlu dibayar.
Peraturan asas pengurusan kewangan nampak mudah tetapi hakikatnya sukar. Senang cerita, " besar periuk besarlah keraknya". Tidak kira berapa gaji kita, jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan. Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan besar pada tabungan. Jadualkan perbelanjaan dan lunaskan hutang kad kredit, mencarum dalam pelan persaraan, menabung, melabur dan tingkatkan caruman skim kemudahan untuk pekerja dan kita semak liputan insurans.
Merdeka dari hutang membawa erti tersendiri untuk kita hidup dengan lebih tenang. Janji kita tepati dengan ukur baju di badan sendiri dan ingatkan diri sendiri dengan mengawal diri dan fikir apa yang perlu dan tidak perlu untuk kita dalam berbelanja.
Belanja mengikut kemampuan dan kita tidak perlu rasa rendah diri jika tiada kemampuan. Kita sebenarnya patut bangga kerana walaupun tidak mampu memiliki barangan mewah namun kita tidak berhutang. Bukankah itu lebih bermakna dan lena dibuai mimpi setiap malam? Berhutang ada banyak buruk daripada baiknya. Jika kita berhutang untuk membeli aset seperti rumah dan kereta sebagai jaminan untuk masa depan, itu ada baiknya. apa yang penting adalah menguruskan hutang dengan bijak dan mengawal segalanya dengan baik sebab kitalah penentunya. Beli mengikut kemampuan bukan dengan nafsu.

*Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran bagi Komuniti ILP Labuan.