Thursday, December 23, 2010

Peranan pekerja laksanakan amanah.

Utusan Online - 24/12/2010

BARU-BARU ini, timbul satu kenyataan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang menyatakan bahawa seramai 6,133 penjawat awam yang bermasalah dalam tahun 2009 berbanding seramai 5,344 pada tahun 2008. Peningkatan peratusan sebanyak 14.76 peratus memberi gambaran bahawa tahap integriti dan disiplin pekerja semakin menurun dan merosot.

Adakah kemerosotan ini berpunca daripada diri pekerja itu atau sebaliknya? Sekiranya statistik ini menunjukkan peningkatan lagi pada tahun hadapan, pasti timbul persoalan di manakah peranan pekerja dalam menggalas amanah yang diberikan kepada mereka?

Kita maklum bahawa, Islam sangat menggesa umatnya bekerja. Bekerja mestilah dilakukan dengan niat semata-mata kerana Allah SWT untuk mendapat kebahagiaan hidup berupa rezeki di dunia, di samping tidak melupakan kehidupan di hari akhirat.

Amalan melaksanakan kerja sebagai ibadah perlu dilaksanakan dengan nilai amanah, ketekunan dan kegigihan. Malah nilai-nilai ini sememangnya tidak asing bagi seorang pekerja Muslim. Ini kerana ia telah dilatih dalam kehidupan seharian, khususnya melalui ibadah yang dilaksanakan, seperti solat. Cuba fikirkan jika nilai ini terhakis daripada diri seorang pekerja. Apakah yang akan berlaku jika pekerja kita telah mula menerima budaya seperti tidak berdisiplin, tiada integriti, menyeleweng, rasuah dan sebagainya?

Oleh itu, dalam Islam hendaklah menjadikan kerja sebagai ibadah bagi keberkatan rezeki yang diperoleh, lebih-lebih lagi sebagai persediaan menghadapi kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Firman Allah dalam Surah al-Qasas ayat 77; "Dan tuntutlah harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagian (keperluan dan bekalan) di dunia. Berbuat baiklah kepada hamba-hamba Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu (dengan pemberian yang melimpah-limpah). Janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakkan."

Begitu juga al-Quran menjelaskan bahawa solat berperanan mencegah orang yang melaksanakannya daripada melakukan dosa dan kemungkaran. Isyarat tentang ketekunan dan kecemerlangan yang menjadi penanda aras bagi pelaksanaan sesuatu tugas oleh seseorang Muslim begitu jelas dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW (maksudnya), "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti." Riwayat al-Baihaqi daripada 'Aisyah r.a.

Pemupukan nilai amanah dalam diri seharusnya bermula dalam diri sendiri. Jika ini berlaku barulah amanah terhadap orang lain akan dapat dilaksanakan dengan baik. Sebagai contoh, sebagai pekerja kita menggalas amanah untuk melakukan yang terbaik kepada organisasi yang kita naungi.

Dalam masa yang sama, seorang pekerja atau kakitangan yang beramanah perlu sentiasa berusaha memanfaatkan masa bekerja untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan. Ia akan mengatur perancangan dan persediaan tugasan dengan baik agar tiada waktu yang berlalu dengan sia-sia atau menjauhi sikap menunda-nunda kerja atas alasan peribadi untuk mengelakkan tugasan yang diamanahkan tidak dapat diselesaikan dengan baik dan menurut tempoh yang telah ditentukan.

Begitu juga seorang pekerja berperanan untuk menggalas amanah bagi melaksanakan tugas dengan penuh minat, ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi. Kita diseru agar mengutamakan kepentingan majikan serta organisasi berbanding kepentingan diri, sentiasa berusaha memastikan majikan dan organisasi tempat kita bekerja, mencapai matlamat yang disasarkan dengan jayanya. Seorang pekerja itu tidak boleh berasa selesa dengan pangkat dan kedudukan yang mereka peroleh. Mereka perlu berusaha agar mendapat kedudukan yang lebih baik daripada apa yang dilakukan pada masa ini.

Harus ditekankan di sini bahawa seorang pekerja perlu memainkan peranan yang aktif dan tidak boleh berfikiran asalkan siap kerja untuk hari ini sudah memadai. Mereka perlu memandang jauh ke depan dalam memikirkan apakah nilai tambah yang perlu dilakukan untuk memantapkan kedudukan organisasi pada masa hadapan. Budaya bermalas-malasan serta berfikiran negatif perlu dikikis dalam diri setiap pekerja. Ini kerana dengan bersikap sedemikian seseorang itu akan sentiasa terkebawah dan membantutkan perjalanan organisasi berkenaan.

Begitu juga dengan majikan, sebagai majikan maka kita memiliki amanah untuk memelihara kebajikan pekerja termasuk membayar gaji atau upah bersesuaian dengan kebolehan serta kecekapan mereka, memuliakan dan menghormati mereka, tidak sama sekali menindas serta memerah keringat mereka secara tidak adil dan sentiasa memberikan dorongan serta motivasi supaya mereka mencintai pekerjaan dan bersemangat melaksanakan tugas.

Selain itu, pembentukan persekitaran kerja yang selamat dan sihat perlu diutamakan. Kerana itu, ianya memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak, terutama para majikan yang mempunyai peranan dan amanah yang sangat besar terhadap aspek keselamatan pekerja dan persekitarannya.

Memandangkan tahun Masihi 2010 hanya tinggal lebih kurang seminggu lagi untuk melabuh tirainya, mungkin ada di antara pekerja yang berazam dalam membuat perancangan membuka buku baharu pada tahun hadapan untuk meningkatkan lagi mutu kerja mereka.

Sungguhpun demikian, dalam proses membuka lembaran baharu dan menutup buku lama ini, janganlah kita menutup terus agenda-agenda yang terdapat sepanjang tahun ini. Yang mana perkara baik dan azam yang belum selesai, kita panjangkan kepada buku tahun hadapan menjadi yang lebih baik lagi. Manakala salah laku yang tidak baik, maka kita hentikan setakat itu sahaja dan sentiasa berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan atau perbuatan yang sama.

Dalam membuka lembaran baharu ini, sebagai pekerja Muslim, kita diingatkan supaya berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, terutama dalam melahirkan umat Islam yang beramanah. Ini kerana kesan menghayati dua sumber ini berupaya menghasilkan insan yang benar-benar bertanggungjawab dalam melaksanakan apa jua tugasan yang diberikan.

Monday, December 20, 2010

Kerajaan perlu kurangkan jumlah penjawat awam

Utusan Online - 21.12.2010

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Kerajaan perlu mengurangkan jumlah pengambilan penjawat awam selain mencari jalan meningkatkan produktiviti kerja golongan itu bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.

Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon berkata, berdasarkan jumlah rakyat negara ini yang dianggap masih belum terlalu ramai, kadar penjawat awam di negara ini adalah tinggi berbanding kadar di negara maju.

"Malaysia mempunyai 1.2 juta kakitangan awam sedangkan rakyatnya cuma kira-kira 28 juta. Bandingkan pula dengan Korea Selatan yang mempunyai 48 juta rakyat tetapi hanya mempunyai dua juta penjawat awam.

"Begitu juga dengan Jerman yang hanya mempunyai dua juta kakitangan awam untuk 82 juta rakyatnya dan Jepun dengan hanya 4,449,900 penjawat awam berbanding 126,804,433 rakyat mereka," katanya.

Beliau berkata, jika pengurangan kakitangan dan peningkatan produktiviti dilakukan, ia mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan selain mempercepatkan proses kemajuan negara.

"Di negara-negara maju hari ini, kebanyakan rakyatnya rajin bekerja dan melakukan tugas secara 'pelbagai kerja'. Melalui cara itu, kerajaan boleh menjimatkan perbelanjaan walaupun mungkin terpaksa membayar lebih sedikit kepada seseorang kakitangan awam kerana beban kerjanya bertambah.

"Produktiviti pula berkait rapat dengan sikap rakyat itu sendiri. Jika di negara maju, para eksekutifnya hanya akan pulang pada pukul 10 malam sementara profesor dan mahasiswa universiti pula akan pulang selewat 12 malam. Budaya rajin bekerja ini yang perlu kita bentuk," katanya.

Artikel ini diedit bagi tujuan sebaran umum.

Tenaga mahir: Kita masih ketinggalan

Utusan Online 21.12.2010

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Jumlah tenaga kerja mahir di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara maju di seluruh dunia.

Timbalan Pengarah Seksyen Ekonomi Makro, Jabatan Perdana Menteri, Alaudin Anuar berkata, statistik Jabatan Perangkaan tahun lalu, menunjukkan hanya 28 peratus tenaga kerja tempatan dalam kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi berbanding kelaziman 60 peratus bagi negara maju.

Katanya, tenaga kerja selebihnya pula, hanya memiliki pendidikan asas selama 11 tahun iaitu sehingga ke tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya.

"Disebabkan itu, beberapa rombakan dibuat dalam sistem pendidikan awal seperti memperluaskan program Permata dan mengintegrasikan ke dalam Kementerian Pelajaran selain meningkatkan pendaftaran prasekolah kepada 87 peratus pada 2012 dan 92 peratus pada 2015 sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Program Pembangunan Prestasi Sekolah turut diperkenalkan di samping mewujudkan 100 sekolah berprestasi tinggi pada 2012 untuk meningkatkan piawaian sekolah ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah bertajuk Dasar Model Baru Ekonomi pada Seminar Pendidikan Sempena Konvensyen Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini hari ini.

Tidak ramai individu berkemahiran yang mahu bekerja dengan kerajaan kerana lebih tertarik dengan tawaran gaji lumayan oleh syarikat-syarikat swasta.

"Tidak dinafikan, faedah-faedah tertentu seperti perubatan dan pencen merupakan jaminan dalam perkhidmatan awam tidak cukup untuk menarik lebih ramai kakitangan berkemahiran bersama kita.

"Jururawat-jururawat berkualiti kita contohnya, banyak yang ke luar negara. Doktor juga sekiranya diberi kelonggaran untuk berkhidmat dengan hospital swasta, pasti ramai yang beralih arah," tegas beliau lagi.

Artikel ini diedit bagi tujuan sebaran umum