Oleh Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM - Utusan Online 13.9.2012
PENGAMALAN dasar luar Malaysia semenjak 55 tahun yang lepas amat bergantung kepada keadaan geopolitik semasa sama ada dalam negeri atau luar negara. Apa yang nyata adalah setiap dasar yang dibentuk paling penting mengambil kira hak Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka.
Asas arah tuju dasar luar negara juga amat diwarnai oleh kepimpinan tertinggi yakni siapa yang menjawat jawatan perdana menteri pada ketika itu. Perdana menteri pertama memimpin sebuah negara yang baru mengecapi erti merdeka dan pada masa yang sama berdepan dengan ancaman komunis, kepimpinan dasar luar banyak berkisar kepada masalah yang dihadapi ketika itu.
Kepimpinan perdana menteri seterusnya, kesemuanya mengamalkan pengamalan dasar luar yang agak berbeza mengikut peredaran masa dan kekuatan masing-masing. Dasar luar yang bebas dan tidak dicemari oleh pengaruh asing adalah kaedah terbaik untuk menentukan kepentingan negara sentiasa terjamin. Malaysia perlu mempunyai satu bentuk kekuatan sama ada dalam bidang ekonomi atau ketenteraan untuk menentukan semua pendirian negara dihormati oleh negara lain.
Contohnya, Washington berdaya mengamalkan dasar luar mengikut acuan mereka kerana kekuatan teknologi angkasa lepas yang dimiliki selain Britain dan Perancis ke atas Libya.Sebahagian besar bantuan tersebut banyak berkisar kepada teknologi angkasa lepas yang dimiliki oleh ketiga-tiga negara Barat tersebut. Modus operandi yang serupa juga sedang diamalkan untuk menggulingkan Syria. Malaysia tanpa banyak disedari oleh rakyat juga mempunyai kekuatan tersendiri dalam teknologi angkasa lepas tetapi tidaklah setara apa yang dimiliki oleh kuasa besar yang lain. Namun, kekuatan negara dalam bidang tersebut adalah terbaik bukan sahaja di kalangan negara ASEAN malah merangkumi negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Aset teknologi angkasa lepas paling berharga yang dimiliki oleh Malaysia pada ketika ini ialah satelit remote sensing yang dinamakan RazakSat yang di lancarkan pada 14 Julai 2009 mempunyai kemampuan membezakan objek di bumi sekecil 2.5 meter. Tetapi ciri paling unik satelit RazakSat adalah orbitnya direncanakan khas untuk kawasan khatulistiwa yang memberi maksud bahawa kawasan tersebut mampu dilawati oleh satelit RazakSat di antara 4 hingga 6 kali sehari. Keistimewaan kekerapan lawatan yang begitu tinggi untuk kawasan Khatulistiwa hanya dimiliki oleh satelit RazakSat kerana kebanyakan beribu-ribu satelit remote sensing sedia ada dikhaskan untuk pencerapan kawasan kutub utara atau selatan sahaja.
Kehebatan ciri yang dimiliki oleh satelit RazakSat sepatutnya digunakan secara optimum untuk memperkasakan dasar luar Malaysia. Lebih tepat lagi kedaulatan wilayah Malaysia di Terumbu Ubi, Mantanani, Siput, Peninjau dan Pulau Layang-Layang di gugusan Kepulauan Spratly Laut China Selatan mampu diperkuatkan lagi dengan bantuan satelit RazakSat. China yang menuntut sebahagian besar wilayah maritim Laut China Selatan termasuk kelima-lima pulau milik Malaysia secara senyap-senyap telah menggunakan satelit mereka sebagai sumber maklumat risikan wilayah yang dipertikaikan.
China mempunyai tiga satelit khas untuk memantau kawasan maritim tetapi hanya mempunyai kemampuan yang terhad. Dua minggu lepas Beijing telah mengumumkan akan melancarkan lapan satelit tambahan yang memberi kuasa rangkuman bukan sahaja keseluruhan Laut China Selatan tetapi juga Laut China Timur.
Jika di Laut China Selatan, Beijing mempunyai masalah tuntutan bertindih begitu juga dengan Laut China Timur masalah serupa juga wujud diantara China dan Jepun. Sebab itu China sanggup berbelanja besar melancarkan satelit baru asalkan tuntutan mereka dapat diperkuatkan lagi. Sudah tiba masanya Malaysia mempergunakan segala kekuatan yang dimiliki oleh satelit RazakSat bukan sahaja untuk mempertahankan kedaulatan wilayah Laut China Selatan milik negara tetapi juga mengambil kira kekuatan keseluruhan teknologi angkasa lepas yang dimiliki apabila merencanakan dasar luar Malaysia.
Jangka hayat satelit RazakSat dijangka akan tamat beberapa tahun lagi dan banyak pengajaran yang telah diperolehi dari pembangunan satelit tersebut. Sekali lagi Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB) telah diberi tanggung jawab untuk membangunkan satelit yang bakal dinamakan RazakSat2. Pembangunan RazakSat2 dijangka dilaksanakan seratus peratus oleh pakar jurutera dan saintis dalam negara kerana ATSB umpamanya telah pun memiliki kepakaran yang diperlukan.
Ciri-ciri yang bakal dimiliki oleh satelit RazakSat2 bukan sahaja perlu memenuhi keperluan saintifik tetapi boleh digunakan juga dalam pengamalan dasar luar kerana telah terbukti dasar luar yang disertai dengan kekuatan teknologi angkasa lepas besar kemungkinan akan berjaya dilaksanakan.
Wednesday, September 12, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment