oleh DR. JESSICA ONG HAI LIAW - Utusan Online 6/9/2012
HUTANG adalah perkataan yang paling digeruni
apabila kita tidak mampu membayarnya. Bila menerima gaji, waktu itulah
yang paling ditunggu dan waktu itu juga duit akan keluar seperti air
untuk melunaskan segala hutang pinjaman. Sehingga tidak sempat untuk
dipegang lama gaji yang diterima, terus sahaja mengalir seperti aliran
air sungai yang deras.
Hal ini membuatkan kita merasa hidup ini seperti menjadi hamba untuk
membayar rumah dan kereta . Itu semua adalah senario yang dihadapi semua
orang terutama yang bekerja makan gaji. Hutang rumah, kereta, pembiayaan peribadi dan setiap orang ada alasan
masing-masing untuk berhutang. Apabila diminta untuk menjadi penjamin
saudara mara atau kawan, maka kita akan cuba mengelak. Bukan sebab tidak
mahu menolong tetapi menjadi penjamin akhirnya membuatkan kita secara
tidak langsung akan terlibat dengan hutang. Malah penjamin selalu
menjadi mangsa apabila saudara mara dan kawan yang dijamin tidak mampu
membayar, dan dengan mudah boleh menghilangkan diri lalu membuatkan
penjamin yang merana.
Sebanyak 25 peratus kes muflis
disebabkan beban hutang melibatkan pinjaman kereta, pinjaman peribadi
(13 peratus), pinjaman perumahan (12 peratus), pinjaman perniagaan (11
peratus) dan hutang kad kredit (5 peratus). Pengurusan hutang perlu
dilakukan secara bijak dan jika kita ada kelemahan itu maka jangan
gunakan kad kredit. Mengikut perkiraan awal, memang kita mampu membayar ansuran pinjaman
tetapi apabila berlakunya perkara yang tidak dijangka seperti dibuang
kerja, hubungan rumah tangga dan lain-lain, masalah akan mula timbul.
Akhirnya ia menyebabkan hidup kita menjadi huru-hara, ada yang
bercerai-berai, ada sehingga melibatkan Along diikuti dengan jenayah
yang mengorbankan nyawa. Fikiran akan berserabut jika kita tidak dapat
membayar hutang pada tarikh yang ditetapkan. Bank atau institusi
pinjaman akan menelefon tidak henti-henti. Walaupun begitu ada juga bank
yang mengambil pendekatan memahami dan memberi masa serta peluang untuk
pelanggan membuat cara pembayaran yang efisien.
Perbelanjaan yang berlebihan dengan adanya shopping online
yang sangat popular kini merupakan satu sindrom apabila kita dapat
membeli belah di hujung jari sahaja.
Barangan yang dihantar pula berkualiti maka itulah punca perasaan untuk
membeli membuak-buak.
Itu juga punca masalah apabila kad kredit yang digunakan untuk
membeli-belah akan menyebabkan kita lupa bajet bulanan. Jadi hilang
ingatan sekejap apabila melihat tawaran-tawaran hebat yang boleh
didapati dengan harga yang murah dari luar negara. Hutang kad kredit
sangat berbahaya tetapi penggunaan kad debit atau charge card lebih selamat jika dibandingkan dengan kad kredit.
Wujudnya andaian
bahawa sikap ketagihan menggunakan kad kredit dan berbelanja khususnya
kaum wanita dikatakan dapat menghilangkan tekanan. Membeli-belah menjadi
terapi untuk melegakan kekusutan dan memberi penghargaan kepada diri
sendiri namun terlalu leka boros akan menimbulkan masalah lain pula.
Statistik Harvard Business Review (HBR) menunjukkan mungkin tidak
tepat pada beberapa keadaan terutamanya apabila anda adalah seorang yang
menggalakkan perbelanjaan bijak dan membuat belanjawan. Kuantiti dalam
realiti kes ini, percaya atau tidak majoriti daripada orang (62%)
berbelanja atau membeli sesuatu ialah untuk memulihkan mood. Semua
keperluan sepatutnya dibeli secara tunai dan jika tidak mampu dia tidak akan
membelinya. Katanya, apabila sudah bersara dia inginkan ketenangan dan
tidak suka jika bank menelefon setiap bulan.Bercakap tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) pada
2009, seramai 78,000 peminjam disekat keluar negara kerana tidak
membayar hutang PTPTN. Soalnya, bukan berapa banyak hutang kepada PTPTN
tetapi soal prinsip dan moral; tentunya apabila kita meminjam maka
hutang perlu dibayar.
Peraturan asas pengurusan kewangan nampak mudah tetapi hakikatnya
sukar. Senang cerita, " besar periuk besarlah keraknya". Tidak kira
berapa gaji kita, jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan.
Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan besar pada tabungan.
Jadualkan perbelanjaan dan lunaskan hutang kad kredit, mencarum dalam
pelan persaraan, menabung, melabur dan tingkatkan caruman skim kemudahan
untuk pekerja dan kita semak liputan insurans.
Merdeka dari hutang membawa erti tersendiri untuk kita hidup dengan
lebih tenang. Janji kita tepati dengan ukur baju di badan
sendiri dan ingatkan diri sendiri dengan mengawal diri dan fikir apa
yang perlu dan tidak perlu untuk kita dalam berbelanja.
Belanja mengikut kemampuan dan kita tidak perlu rasa rendah diri jika
tiada kemampuan. Kita sebenarnya patut bangga kerana walaupun tidak
mampu memiliki barangan mewah namun kita tidak berhutang. Bukankah itu
lebih bermakna dan lena dibuai mimpi setiap malam? Berhutang ada banyak buruk daripada baiknya. Jika kita berhutang
untuk membeli aset seperti rumah dan kereta sebagai jaminan untuk masa
depan, itu ada baiknya. apa yang penting adalah menguruskan hutang
dengan bijak dan mengawal segalanya dengan baik sebab kitalah
penentunya. Beli mengikut kemampuan bukan dengan nafsu.
*Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran bagi Komuniti ILP Labuan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment