SETIAP tahun pada September atau Oktober, ramai yang tertunggu-tunggu apakah intipati bajet tahunan negara. Semua golongan menaruh harapan yang tinggi agar mereka juga memperoleh manfaat daripada pengumuman Bajet 2013 nanti. Bajet secara amnya merupakan satu mekanisme untuk mengawal dan memantau kewangan. Bajet digunakan bagi memastikan kewangan seseorang sentiasa pada tahap mapan.
Mapan di sini bermaksud perbelanjaan tidak melebihi pendapatan. Apabila perbelanjaan melebihi pendapatan seseorang, maka individu tersebut akan mengalami kekurangan wang. Dalam bahasa ekonomi ia dikenali sebagai defisit. Baik individu mahupun negara, seboleh-bolehnya elakkan defisit kewangan. Defisit yang tinggi akan menyebabkan hutang meningkat. Sebab itulah, perkara paling penting dalam melaksanakan bajet yang telah disediakan adalah dengan memastikan kewangan individu tidak mengalami defisit.
Bajet sebaik-baiknya digunakan untuk memantau aliran tunai individu. Aliran tunai yang positif menandakan seseorang itu telah mengurus kewangan peribadi secara berhemah, aliran tunai yang negatif pula telah terperangkap dengan perbelanjaan yang keterlaluan mengatasi pendapatannya. Bagi yang mengalami aliran tunai yang negatif, tindakan pembetulan mestilah segera dibuat seperti mengurangkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya dan hanya menumpu pada perbelanjaan keperluan harian dan bukannya perbelanjaan barangan kehendak. Ramai yang tersungkur sebaik sahaja berakhirnya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Mereka ini terpaksa mengekang perbelanjaan harian hanya kerana terlibat dengan perbelanjaan besar semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kalau dikira dalam konteks pengurusan kewangan, mereka ini boleh dikatakan tidak mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah. Seseorang yang mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah tidak akan mengalami masalah kewangan pada setiap masa. Bajet cukup penting dalam mengawal kewangan seseorang. Apa yang penting ia dilaksanakan sebagaimana yang dibelanjawankan. Jangan sesekali berbelanja di luar daripada apa yang dibelanjawankan. Pembaziran antara perkara yang wajib dielakkan. Pada dasarnya kerajaan berusaha untuk mengurangkan kadar defisit pada tahap terendah iaitu pada kadar tiga peratus menjelang 2015. Kerajaan turut sentiasa menyasarkan agar peratusan hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak melebihi 55 peratus.Lebih tinggi peratusan kadar hutang berbanding KDNK, lebih tinggi kemungkinan sesebuah negara mengalami tekanan kewangan. Bagi individu, defisit yang tinggi akan menyebabkan individu tersebut terpaksa berhutang dengan pelbagai pihak. Jika berhutang dengan sanak saudara mahupun bank tidak mengapalah, yang menjadi masalahnya berhutang dengan ah long yang mana kadar faedah yang dikenakan amatlah tinggi.
Sekiranya terlibat dengan ah long, seseorang itu bukan sahaja akan dikejar oleh ah long tetapi juga berkemungkinan besar kehilangan orang tersayang dan rakan-rakan baik yang cuba melarikan diri daripadanya. Berbelanja sewenang-wenangnya mengikut nafsu akan menyusahkan ramai pihak.
Penangan berhutang akibat tidak mahir mengurus kewangan peribadi akhirnya bukan sahaja menyusahkan diri sendiri tetapi orang lain. Konsep asas dalam pengurusan kewangan peribadi adalah berbelanja mengikut kemampuan. Memang mudah untuk diucap tetapi tidak mudah untuk mengamalkannya.
Hutang rumah merupakan perbelanjaan terbesar seseorang. Justeru, seseorang wajib merancang sebelum membeli rumah dengan mengambil kira faktor kemampuan membayar balik pinjaman rumah selain memastikan faktor-faktor lain seperti lokasi rumah tersebut. Pembelian rumah buat pertama kali adalah untuk menetap di situ dan bukannya bertujuan untuk membuat pelaburan. Ketika harga rumah yang semakin meningkat tinggi, faktor kos tidak boleh dikesampingkan. Beli rumah yang selesa tetapi masih dalam lingkungan kemampuan kewangan. Pembelian kereta juga perlu diambil kira. Amalan menukar kereta boleh menyebabkan kewangan peribadi seseorang berada dalam keadaan tenat. Sedangkan kereta hanya digunakan untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju. Ambil kira juga bayaran ansuran bulanan kereta sahaja kerana kos memiliki kereta termasuklah kos petrol, belanja penyelenggaraan, cukai jalan, insurans malahan kos parkir juga perlu diambil kira. Kesemua ini perlu dimasukkan dalam bajet individu bagi mengelak individu tersebut terjerumus ke dalam lembah kemuflisan.
Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran staff dan pelajar ILP Labuan
No comments:
Post a Comment