Monday, November 12, 2012

Membedah 'sakit hati', serangan lisan

oleh DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR- Yg Dipertua YADIM
Utusan Online - 9.11.2012
PATRICIA Evans yang menulis buku The Abusive Relationships (1978) memberikan gambaran: "Jika engkau tidak sukakan seseorang, cara orang itu mengangkat sendok pun akan membuatkan engkau tersinggung. Jika engkau sukakan seseorang, piring yang dicampakkan ke pangkuan, engkau tetap senyum dan tertawa."
Suasana sedemikian juga boleh berlaku dalam organisasi yang melibatkan kumpulan manusia. Manusia berorganisasi kerana percaya dengan melakukan kerja bersama-sama dalam kumpulan yang lebih besar, hasilnya akan mewujudkan kekuatan yang lebih besar. Persoalan utama dalam menjayakan sesebuah matlamat yang ditetapkan, akan membentuk budaya organisasi. Budaya organisasi ini lama kelamaan memerlukan perubahan kerana manusia menjadi mudah bosan jika kebiasaan bekerjanya tidak berubah, dan sebahagian besarnya pula melihat perubahan itu sebagai masalah yang boleh mengganggu keselesaan. Apabila dua situasi tersebut muncul, ia akan menyebabkan berlakunya konflik dalam organisasi. Kumpulan pekerja akan terbahagi kepada sekurang-kurangnya tiga pihak - pihak yang menyokong kepada perubahan, pihak yang menentang perubahan dan pihak yang menjadi pemerhati. Pihak yang menentang perubahan akan mengeluarkan protes kerana melihat pengurusan atasan sedang berusaha menentang mereka. Atas kehendak itulah, pihak yang menentang mencari sebab dan fakta untuk menjatuhkan mereka yang memimpin organisasi dengan pelbagai tuduhan, seperti mengkhianati matlamat asal, salah guna kuasa, tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan membina kekuatan menerusi kaedah kronisme. Semasa sesebuah organisasi itu dibentuk, ia mempunyai kekuatan semangat dan kesepaduan matlamat yang tinggi. Tetapi, apabila sebahagian besar mereka yang berada dalam organisasi itu merasakan 'sudah biasa' dan berpengalaman melaksanakan peranan tersebut, ia bertukar menjadi sesuatu yang remeh, kurang penting dan hampir dilupakan. Organisasi tersebut terus menjadi lemah dan penuh dengan liabiliti, orang yang berada di dalamnya semakin ramai yang curi tulang dan jadi 'kayu mati.'
Mereka inilah kemudian akan bangkit menentang perubahan dan keputusan yang dibuat oleh ketua sehingga berlaku tuduh menuduh. Seorang ketua yang membuat sesuatu keputusan dianggap bercanggah dan keterlaluan, maka kumpulan tersebut bersepakat untuk melancarkan konflik.
Pergeseran pendapat telah membawa kepada percubaan mencantas kepimpinan kerana golongan yang menentang itulah merasakan dirinya paling bijaksana dan mampu mempertahankan matlamat asal. Ketua yang memimpin pula sudah lama berfikir, organisasi yang dipimpinnya memerlukan perubahan, kerana business not as usual dan jika kekal dengan kaedah 'menunggu pelanggan', ia tidak lagi mampu meneruskan kedinamikannya.
Mereka yang menentang keputusan untuk berubah ini sebenarnya mengalami konflik kepentingan kerana bercita-cita besar, mengambil alih organisasi tersebut setelah merasakan kebolehan diri sudah mencukupi untuk memimpin. Ia turut dibayangi oleh perasaan dan nafsu.
Syeikh Yahya ibn Hamzah al-Yamani (668-749H) dalam Kitab Tashfiyat al-Qulub min Darab al-Awzar wa al-Dzunub, tidak semua manusia mengetahui aib diri sendiri. Bagi memahami aib diri, manusia perlu mengenali ciri-ciri husn al-khuluq, iaitu sempadan antara iman dan kemunafikan. Mereka yang beriman tidak ragu-ragu dalam melaksanakan tanggungjawabnya, kecualilah dalam perkara-perkara yang dikenali sebagai kemungkaran.
Islam meletakkan sempadan moral yang jelas, bahawa setiap manusia yang paling baik kedudukannya ialah mereka yang sentiasa menjaga akhlaknya. Rasullullah SAW memberikan gambaran bahawa seorang mukmin itu ialah mereka "digembirakan dengan kebaikannya dan disedihkan dengan keburukannya." Maksudnya, mewujudkan suasana atau persekitaran yang harmoni menjadi tanggungjawab setiap mukmin manakala mencipta permusuhan atau konflik ia adalah suatu tindakan yang tidak beretika. Konflik dalam organisasi terjadi kerana ada segelintir pekerja yang melakukan keburukan berusaha menutupinya dengan cara mengalihkan pandangan umum kepada kesalahan yang dilakukan oleh ketua. Mereka itulah sebenarnya tidak mengetahui bahagian yang tercela dengan jelas, tetapi lebih nampak keburukan orang lain walaupun apa yang dikatakan itu hanyalah bayangan dan bukan kesahihan. Tujuannya adalah jelas, untuk menjatuhkan pemimpin yang diberikan kuasa memimpin organisasi tersebut. Tentunya, sebaik sahaja diberikan tanggungjawab memimpin, seorang ketua akan mengenali lebih dekat siapakah sebenarnya pekerja yang boleh diharapkan, dan siapa pula pekerja yang menjadi pembodek, penghasut ataupun bercita-cita besar.
Seorang ketua yang berkesan akan berusaha menyusun atur kedudukan. Perubahan sedemikian dianggap oleh kumpulan pembodek sebagai satu malapetaka, kerana kedudukannya tidak mendatangkan manfaat atau hasil yang memuaskan dalam kemajuan organisasi. Orang inilah sebenarnya merupakan golongan munafik dan sifat kemunafikan yang ada digunakan untuk menghasut orang lain bagi memperkuatkan azamnya menyingkirkan ketua yang sedang melaksanakan agenda perubahan.
Golongan yang cuba melakukan adu-domba atau penghasut itu sebenarnya merupakan mereka yang terpesona dengan kelebihan material sehingga merasakan diri sendirilah yang paling layak. Mereka sebenarnya tidak sedar, Allah SWT pernah mengingatkan bahawa: Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan senda gurau dan main-main..."Surah al-Ankabut: 64.
Golongan ini memang wujud di mana-mana, sama ada dalam pertubuhan politik ataupun organisasi yang berkhidmat untuk rakyat. Dalam pertubuhan politik, golongan inilah berusaha menonjolkan diri dengan begitu hebat sehingga menampakkan dirinya sahaja yang paling layak dan sepatutnya diberikan peluang untuk menjadi pemimpin. Jika dalam organisasi, golongan inilah yang menjadi penentang utama jika cita-citanya terhalang, agenda sulitnya berjaya dihidu.
Bila merasakan kedudukan tercabar, golongan inilah sebenarnya sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menghancurkan organisasi yang sekian lama memberikan mereka kesempatan untuk membina harapan, mempraktikkan gaya kepimpinan dan pengurusan dan peluang berinteraksi dengan lebih luas. Mereka tidak melihat secara jujur dan ikhlas, kedudukan dalam organisasi itu sebenarnya sebuah pengiktirafan dan amanah. Ia sanggup pula mengkhianati pengiktirafan dan amanah, kerana hatinya belum merasa puas kalau tidak berada di puncak.Orang seperti inilah yang selama-lamanya akan menjadi 'bom jangka' yang boleh menghancurkan sesebuah organisasi. Orang seperti inilah yang sanggup membakar kelambu kerana marahkan seekor pepijat. Bagi mereka, pepijatlah yang akan merosakkan organisasi, walhal perosak sebenar ialah mereka yang bersikap buruk, tidak bijaksana dalam menjaga soal hati dan perasaan. Bertindak berdasarkan 'kata hati' dan kata hati yang sudah dirasuk oleh bisikan syaitan.
Kerosakan jemaah atau sesebuah organisasi adalah berpunca daripada tahap kebersihan hati mereka yang menganggotainya, kalau hatinya kotor, maka organisasi itu akan berhadapan dengan suasana berkonflik dan bermusuhan. Apabila hati berada dalam kesakitan, maka tindak balas akan menjadi lebih besar sehingga organisasi itu boleh runtuh. Dalam keadaan hati panas membara, yang menang jadi arang manakala yang kalah jadi abu. Kedua-duanya sebenarnya telah hancur, tidak lagi boleh kekal seperti asalnya, kayu berguna dalam membina bangunan. Arang hanya sesuai menjadi 'bahan bakar', setelah bertukar menjadi arang, warnanya akan tetap hitam selama-lamanya. Organisasi itu terus dilihat jijik dan menjengkelkan, proses pemulihannya memakan kos yang besar, masa pemulihan yang panjang dan yang lebih memeritkan ialah mendapat kepercayaan semula daripada khalayak. Tepatlah seperti digambarkan, ketika semuanya boleh ketawa, semuanya kelihatan cantik dan menawan. Apabila terjadinya sengketa, perkara yang baik sekalipun sudah bertukar menjadi buruk, manusia tidak lagi rasional membuat keputusan kerana terbelenggu oleh 'kata hati'.

Nota: artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran dan penagajaran untuk ILP Labuan sahaja.

Thursday, November 1, 2012

Perkukuh perkhidmatan awam melalui konsep "Agenda Pilihan"

Berita Harian - 1.11.2011
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan awam negara boleh ditingkatkan dengan memperkukuhkan konsep 'agenda pilihan' rakyat, iaitu menyediakan perkhidmatan berlandaskan kehendak dan permintaan pelanggan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam era modernisasi penyampaian perkhidmatan awam, isu mengenai keanjalan dalam memberikan perkhidmatan dan memberikan pilihan kepada pelanggan atau rakyat adalah prasyarat utama dalam menghayati pilihan dan aspirasi mereka.
"Kita tidak menyangkal bahawa satu lagi cara untuk memperkasakan perkhidmatan awam ialah dengan memasukkan elemen pilihan ke dalam perkhidmatan awam," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perkhidmatan Awam ke-17 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), di sini, hari ini.
Persidangan dua hari bertajuk "Masa Depan Perkhidmatan Awam: Peluang dan Cabaran" itu dihadiri 350 penjawat awam, termasuk 20 dari luar negara antaranya Singapura, Tanzania, India dan Filipina. - BERNAMA

1.4 juta kakitangan awam dijangka terima kenaikan sehingga 5 peratus.

Ayer Keroh: Kira-kira 1.4 juta kakitangan perkhidmatan awam dijangka menerima kenaikan gaji tahunan sehingga lima peratus mulai tahun depan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata skim gaji kakitangan awam yang masih dalam kajian itu bakal merentasi semua peringkat.
Kita perlu berhati-hati melihat skim perkhidmatan awam ini supaya tiada siapa yang tertinggal. Kita mahu formula menang-menang untuk semua," Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara Katanya, laporan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang akan menamatkan penilaian pada 31 Disember ini akan turut diambil kira.
“Proses penilaian semula skim gaji itu sudah bermula, namun penelitian secara mendalam hanya akan dilakukan tahun depan,” katanya.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan masing-masing membawa pulang wang tunai RM300,000, trofi dan sijil penghargaan.  
Mengulas lanjut, Ali berkata, antara fokus utama dalam kajian itu adalah melihat semula skim kenaikan gaji tahunan bagi kakitangan yang sudah mencapai tahap gaji terakhir mengikut kategori masing-masing. “Kita akan melihat semula perkara itu termasuk mungkin menetapkan tempoh lebih panjang supaya gaji kakitangan akan terus naik. “Jika mereka mencapai tempoh untuk kenaikan pangkat, ia akan lompat kepada gred lain dan kenaikkannya juga akan diteruskan lagi,” katanya. Ali berkata, kerajaan berharap akan dapat mewujudkan formula skim gaji menang-menang bagi setiap kakitangan khususnya penjawat pelaksana yang meliputi 80 peratus daripada keseluruhan sektor itu. “Kita perlu berhati-hati melihat skim perkhidmatan awam ini supaya tiada siapa yang tertinggal. Kita mahu formula menang-menang untuk semua kerana memahami kos sara hidup semakin meningkat,” katanya. “CUEPACS menyambut baik cadangan KSN itu, tetapi masih berharap kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa cadangan CUEPACS sebelum ini, khususnya berkaitan tangga gaji golongan itu mengikut tempoh kerja mereka,” katanya.

Nota: artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran dan penyampaian maklumat bagi ILP Labuan sahaja

Thursday, October 18, 2012

Pembantu rumah asing lari, majikan yang banyak tanggung akibatnya.

  Oleh DR. JESSICA ONG HAI LIAW - Utusan online 16/10/2012  LARI lagi, itulah perkataan yang sering diungkapkan oleh majikan di Malaysia yang sudah bosan dan lali dengan perkara itu. Lari sehelai sepinggang pun menyebabkan majikan rugi dengan wang pendahuluan dan apatah lagi ada pembantu rumah asing turut membawa lari barang yang bernilai ribuan ringgit.
Manakan tidak majikan menjadi fobia, jika tiada jaminan oleh agen dan jika ada jaminan sekalipun bagaimana mahu memastikan mereka tidak lari. Jika dikunci pintu rumah dikatakan majikan kejam. Apabila diberi kunci rumah, lari pula. Entah mana silapnya, majikan sering dipersalahkan jika pembantu rumah mereka lari.
Ada cakap-cakap yang mengatakan jika mereka lari, apabila memohon bekerja kali kedua maka gaji mereka akan lebih tinggi sebab sudah dikira majikan kedua.
Memang benar pembantu rumah perlu diberi layanan baik tetapi bagaimana jika majikan yang baik dipijak kepala dan pembantu rumah hendak samakan tarafnya dengan majikan manakala kalau ditegur dan tegas sikit dikatakan majikan garang.
Tuduhan ke atas majikan sahaja sememangnya tidak adil. Majikan memberi gaji sehingga RM700 sebulan dengan menanggung tempat tinggal dan segala keperluan tetapi masih dikatakan kurang baik.
Mudahnya pembantu rumah asing lari, walaupun pasport dan permit dipegang majikan tetapi mereka tetap berani lari . Alasan hendak mencari kebebasan.
Kesibukan kita pada hari ini memang memerlukan pembantu rumah jika suami isteri bekerja. Tahun 2012, pembantu rumah asing Indonesia sukar dicari, dari Kemboja dibekukan dan yang mudah dicari kini ialah pembantu rumah dari Filipina. Pembantu rumah dari Filipina memang mahal tetapi kurang kes lari manakala dari negara Indonesia memang statistik kes larinya paling tinggi.
Segelintir pembantu rumah asing cenderung untuk mencari teman dan ada pula yang ingin memiliki telefon bimbit sendiri. Mereka mahu ada peraturan sendiri di rumah. Walaupun majikan mementingkan kebersihan menyuruh mereka memotong rambut pendek, mereka membantah dan mendakwa mereka mengalami penderaan emosi. Bukankah niat sebenar mereka untuk mencari rezeki di sini dan kenapa mereka tidak pernah bersyukur apabila diberi segalanya sehingga ada yang makan semeja dengan majikan. Apabila ditunaikan segala permintaan maka akhirnya mereka lupa diri dan mula dipengaruhi kawan-kawan dan terjebak dengan perkara-perkara negatif.
Majikan mengeluh kerana sibuk dengan kerja di pejabat mengharapkan pembantu rumah dapat meringankan tugas di rumah tetapi akhirnya mengundang banyak masalah seperti lari. Duit pendahuluan hangus, kena repot polis dan prosedur memohon pembantu rumah lagi.
Sesetengah pembantu rumah asing pula menyatakan mereka mendapat majikan yang garang dan tidak pernah bertegur sapa dengan muka masam mencuka. Majikan bukannya tegas sepanjang masa namun mereka perlu meletakkan jurang supaya pembantu rumah menghormati mereka. Jika mereka mengalami masalah, maka majikan akan prihatin tetapi janganlah pula pembantu rumah berbohong sehingga berani menjunjung al-Quran tetapi akhirnya semua terbongkar dan hanya dusta belaka.
Kisah pembantu rumah asing ada facebook, kisah lari kerana cinta dan kebebasan, lari kerana tidak mahu pulang setelah kontrak tamat dan banyak lagi alasan sudah terlalu biasa kita dengar. Ada juga beberapa majikan memberi peringatan supaya jangan membenarkan pembantu rumah pulang jika ingin menyambung kontrak lagi kerana selepas pulang ke kampung mereka akan berubah kerana terpengaruh.
Selepas pulang untuk tahun ketiga mereka akan mula demand, maklumlah dah ada pengalaman. Jika demand gaji, kita faham tetapi ada yang demand hendak buat dua kerja dan duduk di luar. Kalau benar mahu mencari rezeki yang halal maka buatlah kerja dengan sebaiknya dan bersyukur dengan nikmati yang diberi. Janganlah lari daripada tanggungjawab dan berbuat dosa pula.

Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran di ILP Labuan sahaja

Wednesday, October 10, 2012

Majikan jangan memperlekeh isu jaga anak

BUKAN satu perkara luar biasa di negara ini apabila wanita berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik, alih-alih terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga anak-anak di rumah. Bukan saranan baharu kita dengar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mengharapkan lebih 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan wanita yang bergelar ibu menyertai pasaran kerja.
Keciciran kaum wanita berpendidikan tinggi ini daripada pasaran pekerjaan sememangnya amat dirasai. Kerajaan telah berbelanja besar untuk pendidikan sehingga 68 peratus pelajar di universiti ialah wanita, tapi hanya 48 peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini sudah tentunya memberikan kerugian besar kepada negara.
Kajian (LPPKN) mendapati masalah penjagaan anak-anak adalah punca utama wanita di negara ini menamatkan kerjaya mereka lebih awal. Ini berlaku terutamanya di kalangan wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 71 peratus yang mana di peringkat umur sebegini adalah kemuncak kerjaya bagi wanita dan pada masa sama anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu.
Kemudahan taska akan membuka ruang kepada wanita yang berpendidikan tinggi untuk terus berkerjaya, malah wanita yang berpendidikan rendah dan sederhana turut menerima manfaatnya. Dalam mengharungi kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar-bandar, golongan isteri tidak kira tahap mana pendidikannya turut membantu suami yang berpendapatan rendah atau gaji sekadar cukup makan untuk mencari rezeki dan membina ekonomi keluarga yang lebih kukuh.
Tentunya soal penjagaan anak merupakan satu isu yang cukup besar, yang sering diperlekehkan oleh majikan apabila pekerjanya memberi alasan datang lewat kerana terpaksa menguruskan hal-hal anak. Hendak membawa anak ke pejabat ‘pada waktu-waktu genting’ kerana pengasuh ada hal kecemasan, tentunya menimbulkan rasa tidak selesa diri sendiri, anak dan juga pekerja-pekerja sekeliling, yang akan menjeling-jeling sekiranya anak tersebut menangis atau nakal.
Untuk mencari pembantu rumah pula mendepani ragam pembantu rumah asing dan macam-macam hal, demand dan proses yang perlu dilalui untuk mengambil mereka bekerja, akan memberi satu lagi tekanan lain pula. Dalam pada itu, kes penderaan, kecederaan dan kematian bayi dan kanak-kanak di pusat penjagaan dan jiran yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga anak-anak turut amat merisaukan ibu bapa untuk melepaskan anak mereka dalam penjagaan orang lain ketika bekerja. Pasti kemudahan taska di tempat kerja terutamanya di sektor-sektor swasta banyak membantu dalam menangani masalah ini.
Dengan insentif yang diberikan oleh kerajaan menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak jika kemudahan ini diwujudkan di syarikat-syarikat swasta, sepatutnya tiada kekangan yang besar untuk menyediakannya. Jika syarikat-syarikat besar terutamanya boleh dan mampu berbelanja sakan untuk projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) setiap tahun, membantu masyarakat susah di luar sana, mengapa tidak memperuntukkan kos tertentu untuk membina kemudahan taska untuk kebajikan pekerja-pekerjanya sendiri.
Bina ruang untuk beriadah untuk pekerja-pekerjanya, ruang kafe yang besar dan ada pula syarikat besar yang boleh meletakkan pusat rawatan kecemasan di premisnya, mengapa tidak boleh membina ruang untuk taska. Kemudahan ini akan menyebabkan pekerja-pekerja berasa ‘tenang’ untuk bekerja kerana tidak perlu ‘terkejar-kejar’ menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan. Mereka boleh meluangkan masa dengan anak-anak yang berada di depan mata pada waktu rehat dan mungkin juga akan mengurangkan masa kepada pekerja-pekerja yang gemar berkunjung ke pusat-pusat beli belah pada waktu makan tengah hari terutamanya pada waktu rehat yang panjang, iaitu hari Jumaat. Dengan lebih terurus, mereka akan ada masa yang berkualiti untuk anak-anak, dan pada masa yang sama mereka akan lebih fokus pada kerja.
Jika majikan bimbang, pejabat akan `beroperasi’ seperti pusat jagaan anak-anak pula, peraturan-peraturan tertentu boleh dibuat bagi memastikan kemudahan itu tidak sama sekali menganggu perjalanan dan urusan kerja. Pun begitu, dalam menyediakan pusat taska di tempat kerja, soal keselamatan, tenaga penjaga, kemahiran, dan kepakaran perlu diberi penekanan, agar tidak diadakan sekadar ‘tangkap muat’.
Ini penting, agar taska di pejabat-pejabat ini tidak membawa masalah sama yang sering berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak lain atau pengasuh yang beroperasi di rumah yang akhirnya memberikan tekanan yang serupa kepada ibu yang bekerja.

Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan sebaran umum dan pembelajaran di ILP Labuan sahaja

Monday, October 1, 2012

Petikan Teks Ucapan Bajet 2013 - Latihan & Kemahiran

Oleh: YAB Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak - B. Harian Online, 28/92012

Bagi peruntukan pembangunan, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.


FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN

Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah 3.7 bilion ringgit akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.


Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun 2016.


Kerajaan juga memperuntukkan 440 juta ringgit kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir 40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan juga memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara.


Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran. Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional.


Nota: Artikel ini diedit bagi tujuan pendidikan dan maklumat untuk kakitangan/pelajar ILP Labuan sahaja













Wednesday, September 19, 2012

Bajet pantau kewangan peribadi

Oleh ROHAMI SHAFIE - Utusan Online 20.9.2012
SETIAP tahun pada September atau Oktober, ramai yang tertunggu-tunggu apakah intipati bajet tahunan negara. Semua golongan menaruh harapan yang tinggi agar mereka juga memperoleh manfaat daripada pengumuman Bajet 2013 nanti. Bajet secara amnya merupakan satu mekanisme untuk mengawal dan memantau kewangan. Bajet digunakan bagi memastikan kewangan seseorang sentiasa pada tahap mapan.
Mapan di sini bermaksud perbelanjaan tidak melebihi pendapatan. Apabila perbelanjaan melebihi pendapatan seseorang, maka individu tersebut akan mengalami kekurangan wang. Dalam bahasa ekonomi ia dikenali sebagai defisit. Baik individu mahupun negara, seboleh-bolehnya elakkan defisit kewangan. Defisit yang tinggi akan menyebabkan hutang meningkat. Sebab itulah, perkara paling penting dalam melaksanakan bajet yang telah disediakan adalah dengan memastikan kewangan individu tidak mengalami defisit.
Bajet sebaik-baiknya digunakan untuk memantau aliran tunai individu. Aliran tunai yang positif menandakan seseorang itu telah mengurus kewangan peribadi secara berhemah, aliran tunai yang negatif pula telah terperangkap dengan perbelanjaan yang keterlaluan mengatasi pendapatannya. Bagi yang mengalami aliran tunai yang negatif, tindakan pembetulan mestilah segera dibuat seperti mengurangkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya dan hanya menumpu pada perbelanjaan keperluan harian dan bukannya perbelanjaan barangan kehendak. Ramai yang tersungkur sebaik sahaja berakhirnya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Mereka ini terpaksa mengekang perbelanjaan harian hanya kerana terlibat dengan perbelanjaan besar semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kalau dikira dalam konteks pengurusan kewangan, mereka ini boleh dikatakan tidak mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah. Seseorang yang mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah tidak akan mengalami masalah kewangan pada setiap masa. Bajet cukup penting dalam mengawal kewangan seseorang. Apa yang penting ia dilaksanakan sebagaimana yang dibelanjawankan. Jangan sesekali berbelanja di luar daripada apa yang dibelanjawankan. Pembaziran antara perkara yang wajib dielakkan. Pada dasarnya kerajaan berusaha untuk mengurangkan kadar defisit pada tahap terendah iaitu pada kadar tiga peratus menjelang 2015. Kerajaan turut sentiasa menyasarkan agar peratusan hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak melebihi 55 peratus.Lebih tinggi peratusan kadar hutang berbanding KDNK, lebih tinggi kemungkinan sesebuah negara mengalami tekanan kewangan. Bagi individu, defisit yang tinggi akan menyebabkan individu tersebut terpaksa berhutang dengan pelbagai pihak. Jika berhutang dengan sanak saudara mahupun bank tidak mengapalah, yang menjadi masalahnya berhutang dengan ah long yang mana kadar faedah yang dikenakan amatlah tinggi.
Sekiranya terlibat dengan ah long, seseorang itu bukan sahaja akan dikejar oleh ah long tetapi juga berkemungkinan besar kehilangan orang tersayang dan rakan-rakan baik yang cuba melarikan diri daripadanya. Berbelanja sewenang-wenangnya mengikut nafsu akan menyusahkan ramai pihak.
Penangan berhutang akibat tidak mahir mengurus kewangan peribadi akhirnya bukan sahaja menyusahkan diri sendiri tetapi orang lain. Konsep asas dalam pengurusan kewangan peribadi adalah berbelanja mengikut kemampuan. Memang mudah untuk diucap tetapi tidak mudah untuk mengamalkannya.
Hutang rumah merupakan perbelanjaan terbesar seseorang. Justeru, seseorang wajib merancang sebelum membeli rumah dengan mengambil kira faktor kemampuan membayar balik pinjaman rumah selain memastikan faktor-faktor lain seperti lokasi rumah tersebut. Pembelian rumah buat pertama kali adalah untuk menetap di situ dan bukannya bertujuan untuk membuat pelaburan. Ketika harga rumah yang semakin meningkat tinggi, faktor kos tidak boleh dikesampingkan. Beli rumah yang selesa tetapi masih dalam lingkungan kemampuan kewangan. Pembelian kereta juga perlu diambil kira. Amalan menukar kereta boleh menyebabkan kewangan peribadi seseorang berada dalam keadaan tenat. Sedangkan kereta hanya digunakan untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju. Ambil kira juga bayaran ansuran bulanan kereta sahaja kerana kos memiliki kereta termasuklah kos petrol, belanja penyelenggaraan, cukai jalan, insurans malahan kos parkir juga perlu diambil kira. Kesemua ini perlu dimasukkan dalam bajet individu bagi mengelak individu tersebut terjerumus ke dalam lembah kemuflisan.
Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran staff dan pelajar ILP Labuan

Wednesday, September 12, 2012

Pengamalan dasar luar melalui RazakSat2

Oleh Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM - Utusan Online 13.9.2012
PENGAMALAN dasar luar Malaysia semenjak 55 tahun yang lepas amat bergantung kepada keadaan geopolitik semasa sama ada dalam negeri atau luar negara. Apa yang nyata adalah setiap dasar yang dibentuk paling penting mengambil kira hak Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka.

Asas arah tuju dasar luar negara juga amat diwarnai oleh kepimpinan tertinggi yakni siapa yang menjawat jawatan perdana menteri pada ketika itu. Perdana menteri pertama memimpin sebuah negara yang baru mengecapi erti merdeka dan pada masa yang sama berdepan dengan ancaman komunis, kepimpinan dasar luar banyak berkisar kepada masalah yang dihadapi ketika itu.
Kepimpinan perdana menteri seterusnya, kesemuanya mengamalkan pengamalan dasar luar yang agak berbeza mengikut peredaran masa dan kekuatan masing-masing. Dasar luar yang bebas dan tidak dicemari oleh pengaruh asing adalah kaedah terbaik untuk menentukan kepentingan negara sentiasa terjamin. Malaysia perlu mempunyai satu bentuk kekuatan sama ada dalam bidang ekonomi atau ketenteraan untuk menentukan semua pendirian negara dihormati oleh negara lain.
Contohnya, Washington berdaya mengamalkan dasar luar mengikut acuan mereka kerana kekuatan teknologi angkasa lepas yang dimiliki selain Britain dan Perancis ke atas Libya.Sebahagian besar bantuan tersebut banyak berkisar kepada teknologi angkasa lepas yang dimiliki oleh ketiga-tiga negara Barat tersebut. Modus operandi yang serupa juga sedang diamalkan untuk menggulingkan Syria. Malaysia tanpa banyak disedari oleh rakyat juga mempunyai kekuatan tersendiri dalam teknologi angkasa lepas tetapi tidaklah setara apa yang dimiliki oleh kuasa besar yang lain. Namun, kekuatan negara dalam bidang tersebut adalah terbaik bukan sahaja di kalangan negara ASEAN malah merangkumi negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Aset teknologi angkasa lepas paling berharga yang dimiliki oleh Malaysia pada ketika ini ialah satelit remote sensing yang dinamakan RazakSat yang di lancarkan pada 14 Julai 2009 mempunyai kemampuan membezakan objek di bumi sekecil 2.5 meter. Tetapi ciri paling unik satelit RazakSat adalah orbitnya direncanakan khas untuk kawasan khatulistiwa yang memberi maksud bahawa kawasan tersebut mampu dilawati oleh satelit RazakSat di antara 4 hingga 6 kali sehari. Keistimewaan kekerapan lawatan yang begitu tinggi untuk kawasan Khatulistiwa hanya dimiliki oleh satelit RazakSat kerana kebanyakan beribu-ribu satelit remote sensing sedia ada dikhaskan untuk pencerapan kawasan kutub utara atau selatan sahaja.
Kehebatan ciri yang dimiliki oleh satelit RazakSat sepatutnya digunakan secara optimum untuk memperkasakan dasar luar Malaysia. Lebih tepat lagi kedaulatan wilayah Malaysia di Terumbu Ubi, Mantanani, Siput, Peninjau dan Pulau Layang-Layang di gugusan Kepulauan Spratly Laut China Selatan mampu diperkuatkan lagi dengan bantuan satelit RazakSat. China yang menuntut sebahagian besar wilayah maritim Laut China Selatan termasuk kelima-lima pulau milik Malaysia secara senyap-senyap telah menggunakan satelit mereka sebagai sumber maklumat risikan wilayah yang dipertikaikan.
China mempunyai tiga satelit khas untuk memantau kawasan maritim tetapi hanya mempunyai kemampuan yang terhad. Dua minggu lepas Beijing telah mengumumkan akan melancarkan lapan satelit tambahan yang memberi kuasa rangkuman bukan sahaja keseluruhan Laut China Selatan tetapi juga Laut China Timur.
Jika di Laut China Selatan, Beijing mempunyai masalah tuntutan bertindih begitu juga dengan Laut China Timur masalah serupa juga wujud diantara China dan Jepun. Sebab itu China sanggup berbelanja besar melancarkan satelit baru asalkan tuntutan mereka dapat diperkuatkan lagi. Sudah tiba masanya Malaysia mempergunakan segala kekuatan yang dimiliki oleh satelit RazakSat bukan sahaja untuk mempertahankan kedaulatan wilayah Laut China Selatan milik negara tetapi juga mengambil kira kekuatan keseluruhan teknologi angkasa lepas yang dimiliki apabila merencanakan dasar luar Malaysia.
Jangka hayat satelit RazakSat dijangka akan tamat beberapa tahun lagi dan banyak pengajaran yang telah diperolehi dari pembangunan satelit tersebut. Sekali lagi Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB) telah diberi tanggung jawab untuk membangunkan satelit yang bakal dinamakan RazakSat2. Pembangunan RazakSat2 dijangka dilaksanakan seratus peratus oleh pakar jurutera dan saintis dalam negara kerana ATSB umpamanya telah pun memiliki kepakaran yang diperlukan.
Ciri-ciri yang bakal dimiliki oleh satelit RazakSat2 bukan sahaja perlu memenuhi keperluan saintifik tetapi boleh digunakan juga dalam pengamalan dasar luar kerana telah terbukti dasar luar yang disertai dengan kekuatan teknologi angkasa lepas besar kemungkinan akan berjaya dilaksanakan.