Wednesday, November 24, 2010

DPPT tambah tiga kursus

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) yang bakal memasuki fasa keempat tahun depan kini menawarkan tiga lagi kursus tambahan untuk rakyat negara ini menyambung pengajian ke Jepun.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kursus tersebut adalah pengurusan teknologi, bioteknologi dan teknologi maklumat.

Menurut beliau, bagi fasa keempat, DPPT di bawah seliaan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menyediakan peruntukan sebanyak RM899.2 juta dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) merupakan antara penyumbang dalam pembiayaan peruntukan itu.

“Penambahan itu menjadikan kursus yang ditawarkan kepada mereka yang layak untuk menyambung pengajian adalah lima kursus. Dua kursus sedia ada adalah kejuruteraan mekanikal serta kejuruteraan elektrik dan elektronik.

“Seramai 1,890 orang penuntut akan terlibat untuk pengajian bagi fasa ini dan 1,600 daripada mereka merupakan penuntut ijazah sarjana muda, manakala 240 orang ke peringkat ijazah sarjana dan 50 penuntut ijazah doktor falsafah (PhD).

“Namun, harus saya tegaskan di sini bahawa kita sama sekali tidak akan meminggirkan golongan sasaran utama iaitu pelajar bumiputera termasuk anak Orang Asli dan bumiputera Sabah serta Sarawak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berucap merasmikan Simposium Dasar Pandang Ke Timur: Pendidikan Transnasional Malaysia-Jepun Ke Arah Alaf Baru di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Hadir sama, Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie; Pengerusi YPM, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan dan Pengerusi Japan Universities Consortium of Transnational Education (JUCTE), Prof. Dr. Watanabe Toshio.

Sempena simposium itu, JUCTE turut mengumumkan bahawa Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) akan beroperasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) September tahun depan.

DPPT mula dilaksanakan pada 1992 atas ilham bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui kerjasama kerajaan Jepun dan Malaysia di bawah Dasar Pandang ke Timur.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, sejak diperkenalkan, DPPT telah berjaya melahirkan 1,300 graduan dalam bidang sains dan kejuruteraan.

‘‘Impak projek DPPT sememangnya cukup besar apabila ia menjadi saluran terbaik memindahkan kepakaran dan teknologi tinggi Jepun khususnya dalam bidang kejuruteraan ke negara ini.

‘‘Apa yang membanggakan, semua graduan projek ini menjadi rebutan syarikat besar dari dalam dan luar negara termasuk Jepun sendiri,’’ ujar beliau.

No comments:

Post a Comment