Diedit dari Utusan Malaysia Online (18.11.10)
KUALA LUMPUR 17 Nov. - Kerajaan digesa membangunkan landskap Wilayah Persekutuan Labuan menjadi sebagai sebuah 'Pulau Taman' selain mengekalkan kedudukan asalnya sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembangunan 'Pulau Taman' dilengkapi laluan basikal bukit dan penganjuran pertandingan basikal bukit; perlumbaan kapal layar; pertandingan memancing dan aktiviti selam skuba akan menambah daya tarikan Labuan.
Katanya, pendekatan sedemikian terbukti berjaya apabila Pulau Victoria di Vancouver, Kanada yang pada mulanya kurang menarik tetapi selepas dibangunkan menjadi pulau 'Taman Butchart', ia telah berjaya menarik kedatangan dua juta pelancong setiap tahun.
"Jika kita ingin pelancong datang ke Labuan, kita harus mempunyai sesuatu yang menarik untuk dipersembahkan kepada mereka, Labuan mempunyai keindahan alam tetapi ia tidak cukup untuk menarik pelancong, kita perlu menambah nilai ini bagi menyokong statusnya sebagai pulau bebas cukai.
"Ini kerana sehingga kini kedatangan pelancong ke Labuan sangat kecil, kita ada lapangan terbang antarabangsa yang besar dan mengamalkan dasar langit terbuka tetapi hanya Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia sahaja yang mendarat di sini," katanya dalam blognya, http://chedet.co.cc, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, cadangan itu sangat wajar dipertimbangkan dan sesuai dilaksanakan, kerana kos pembangunannya kecil tetapi menjanjikan pulangan lumayan untuk jangka masa panjang, sekali gus meletakkan Labuan destinasi pelancong utama khususnya bagi warga ASEAN.
Katanya, pembangunan pulau tersebut juga mampu memberi keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) memandangkan Labuan adalah kubu kuat parti tersebut selain peningkatan kehadiran pelancong akan turut membawa limpahan pendapatan kepada warga tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Perdana Menteri berkata, beliau berbangga dengan kemajuan yang dicapai Labuan berbanding ketika kali terakhir menjejakkan kaki ke pulau itu kira-kira 12 tahun lalu ketika merasmikan bangunan Pusat Kewangan Luar Pesisir.
"Saya cukup gembira dan bernostalgia apabila memandu di sekitar pulau Labuan dan menyaksikan laluan jalan kaki berturap di Perkampungan Air, Direct Reduction Iron Plant (loji besi briket panas), pangkalan bekalan minyak dan loji mega methanol milik Petronas tersergam megah.
"Saya juga berbangga melihat perkembangan rumah-rumah lama yang 12 tahun dulu hanya dibina dengan kayu lama dan zink tetapi kini berubah menjadi moden dengan reka bentuk menarik, jalan-jalan raya termasuk kawasan kampung juga berturap dengan baik dan banyak bangunan baru di mana-mana sahaja," jelasnya.
No comments:
Post a Comment