Wednesday, November 24, 2010

DPPT tambah tiga kursus

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) yang bakal memasuki fasa keempat tahun depan kini menawarkan tiga lagi kursus tambahan untuk rakyat negara ini menyambung pengajian ke Jepun.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kursus tersebut adalah pengurusan teknologi, bioteknologi dan teknologi maklumat.

Menurut beliau, bagi fasa keempat, DPPT di bawah seliaan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menyediakan peruntukan sebanyak RM899.2 juta dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) merupakan antara penyumbang dalam pembiayaan peruntukan itu.

“Penambahan itu menjadikan kursus yang ditawarkan kepada mereka yang layak untuk menyambung pengajian adalah lima kursus. Dua kursus sedia ada adalah kejuruteraan mekanikal serta kejuruteraan elektrik dan elektronik.

“Seramai 1,890 orang penuntut akan terlibat untuk pengajian bagi fasa ini dan 1,600 daripada mereka merupakan penuntut ijazah sarjana muda, manakala 240 orang ke peringkat ijazah sarjana dan 50 penuntut ijazah doktor falsafah (PhD).

“Namun, harus saya tegaskan di sini bahawa kita sama sekali tidak akan meminggirkan golongan sasaran utama iaitu pelajar bumiputera termasuk anak Orang Asli dan bumiputera Sabah serta Sarawak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berucap merasmikan Simposium Dasar Pandang Ke Timur: Pendidikan Transnasional Malaysia-Jepun Ke Arah Alaf Baru di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Hadir sama, Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie; Pengerusi YPM, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan dan Pengerusi Japan Universities Consortium of Transnational Education (JUCTE), Prof. Dr. Watanabe Toshio.

Sempena simposium itu, JUCTE turut mengumumkan bahawa Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) akan beroperasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) September tahun depan.

DPPT mula dilaksanakan pada 1992 atas ilham bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui kerjasama kerajaan Jepun dan Malaysia di bawah Dasar Pandang ke Timur.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, sejak diperkenalkan, DPPT telah berjaya melahirkan 1,300 graduan dalam bidang sains dan kejuruteraan.

‘‘Impak projek DPPT sememangnya cukup besar apabila ia menjadi saluran terbaik memindahkan kepakaran dan teknologi tinggi Jepun khususnya dalam bidang kejuruteraan ke negara ini.

‘‘Apa yang membanggakan, semua graduan projek ini menjadi rebutan syarikat besar dari dalam dan luar negara termasuk Jepun sendiri,’’ ujar beliau.

Wednesday, November 17, 2010

Sektor swasta, modal insan penentu kejayaan ETP

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID - Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

BAJET 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Oktober lalu menggariskan empat strategi utama untuk memacu ekonomi negara. Empat strategi terbabit ialah merancakkan pertumbuhan swasta; mempergiat pembangunan modal insan; menambah baik kualiti hidup; dan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

Strategi yang digariskan itu adalah bertujuan memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berlaku secara mapan dan konsisten, iaitu pada kadar enam peratus. Strategi merancakkan pertumbuhan swasta membuktikan bahawa penglibatan sektor swasta sangat penting dalam menjana dan memacu ekonomi negara.

Kerajaan telah menetapkan sasaran pelaburan swasta perlu berkembang pada kadar 12.2 peratus (RM115 bilion) setahun. Justeru, menurut laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP): Hala Tuju Untuk Malaysia yang dikeluarkan pada 25 Oktober lalu mengiktiraf peranan sektor swasta dalam memudah pertumbuhan ekonomi menerusi ETP.

Menurut laporan ETP itu, risiko paling nyata ialah jika pertumbuhan 12.2 peratus dalam pelaburan swasta setiap tahun gagal dicapai. Jika ini berlaku ia akan turut menjejaskan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

RMK-10 adalah penentu atau kayu pengukur bagi negara mencapai misi nasional, iaitu Wawasan 2020. Pertumbuhan enam peratus ekonomi negara dalam tempoh RMK-10 tidak akan tercapai sekiranya sektor swasta gagal memainkan peranannya sebagai enjin utama menjana dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sebelum berlakunya krisis ekonomi pada 1997/1998, sektor swasta dianggap sebagai "lokomotif " utama menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang 30 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hari ini, kerajaan mahu memastikan peranan tersebut dipikul semula oleh sektor swasta. Sektor swasta penting untuk menjayakan ETP dan RMK-10 yang berhasrat menjadi negara sebagai negara berpendapatan tinggi.

Penekanan kerajaan terhadap pelaksanaan 12 Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) dilihat mampu mendorong pelaburan sektor swasta yang menggalakkan. 12 bidang utama NKEA itu termasuklah: pertanian; perkhidmatan perniagaan; pendidikan; elektrik dan elektronik; perkhidmatan kewangan; penjagaan kesihatan; Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang; minyak, gas dan tenaga; minyak sawit; kandungan komunikasi dan infrastruktur; pelancongan; dan, pemborongan dan peruncitan.

Sektor perkhidmatan kewangan dilihat antara bidang teras NKEA kerana peranannya yang penting bagi memperkukuh dan memastikan kesemua aspek industri atau perusahaan dapat kekal bertenaga dan maju serta dapat menyokong keperluan perniagaan dan pengguna dengan cekap dan berkesan.

NKEA adalah sebahagian daripada ETP yang akan menjadi jentera pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan lebih 3.3 juta peluang pekerjaan baru menjelang 2020. Dijangkakan NKEA akan menjana pelaburan sebanyak RM1.3 trilion (AS$444 bilion) sepanjang tempoh RMK-10 . Daripada jumlah itu, 73 peratus pelaburan NKEA dijangka menerusi pelaburan langsung domestik dan selebihnya daripada pelaburan asing.

Dana sektor awam dijangka hanya menyumbang empat peratus untuk membantu menjayakan bidang NKEA terbabit. Kerajaan menyediakan beberapa mekanisme bagi membantu penglibatan aktif sektor swasta dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Misalnya, kerajaan mewujud dan melaksanakan perkongsian awam-swasta (PPP). PPP adalah pendekatan bagi menjayakan RMK-10.

Beberapa projek PPP telah pun di kenal pasti yang antaranya membabitkan projek pembinaan lebuh raya, projek pembangunan kesihatan, projek pembinaan pusat akademik perubatan, projek pembinaan loji jana kuasa kira padu gas 300 megawatt di Kimanis, Sabah, projek pembinaan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL dan projek pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buluh.

Selain itu, Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) diwujudkan di bawah RMK-10 yang berjumlah RM15 bilion akan dapat mengurangkan beban kerajaan dalam membiayai projek infrastruktur dan pembangunan ekonomi yang menelan kos yang besar. Untuk itu, sebuah dana khas diwujudkan di bawah Pasukan Petugas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah).

Ia bertujuan mempermudah PFI dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-10. Mana-mana projek swasta (projek PFI) yang tidak berdaya maju akan diubah menjadi lebih kompetitif dan berdaya maju dengan bantuan dana tersebut.

Langkah mewujudkan Pemudah adalah bertepatan dengan strategi keempat Bajet 2011, iaitu memantapkan sistem penyampaian awam sejajar dengan prinsip gagasan 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Salah satu indeks atau petunjuk utama sesebuah negara maju ialah pembangunan modal insan. Justeru, strategi mempergiat pembangunan modal insan di bawah Bajet 2011 amat penting untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Peruntukan besar sebanyak RM29.3 bilion kepada sektor pendidikan negara membuktikan bahawa kerajaan amat mengutamakan pembangunan modal insan. Peruntukan itu adalah peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding peruntukan pendidikan di bawah Bajet 2010 iaitu RM25.5 bilion.

Keperluan terhadap modal insan yang berkualiti tinggi adalah selari dengan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah. Untuk menjayakan MBE maka kita memerlukan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi serta kreatif dan inovatif. Pelabur hari ini bukan sahaja melihat kepada faktor kos yang dapat dijimatkan tetapi juga melihat keupayaan dan kemahiran pekerja memacu operasi perniagaan mereka.

Justeru, mereka memerlukan pekerja yang berilmu, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif. Kemahiran komunikasi yang tinggi juga merupakan nilai tambah yang perlu ada pada modal insan kita, terutamanya yang melibatkan bidang-bidang profesional. Kita masih kekurangan dalam aspek ini


Bangunkan Labuan jadi 'Pulau Taman' - Dr. M

Diedit dari Utusan Malaysia Online (18.11.10)

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Kerajaan digesa membangunkan landskap Wilayah Persekutuan Labuan menjadi sebagai sebuah 'Pulau Taman' selain mengekalkan kedudukan asalnya sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembangunan 'Pulau Taman' dilengkapi laluan basikal bukit dan penganjuran pertandingan basikal bukit; perlumbaan kapal layar; pertandingan memancing dan aktiviti selam skuba akan menambah daya tarikan Labuan.

Katanya, pendekatan sedemikian terbukti berjaya apabila Pulau Victoria di Vancouver, Kanada yang pada mulanya kurang menarik tetapi selepas dibangunkan menjadi pulau 'Taman Butchart', ia telah berjaya menarik kedatangan dua juta pelancong setiap tahun.

"Jika kita ingin pelancong datang ke Labuan, kita harus mempunyai sesuatu yang menarik untuk dipersembahkan kepada mereka, Labuan mempunyai keindahan alam tetapi ia tidak cukup untuk menarik pelancong, kita perlu menambah nilai ini bagi menyokong statusnya sebagai pulau bebas cukai.

"Ini kerana sehingga kini kedatangan pelancong ke Labuan sangat kecil, kita ada lapangan terbang antarabangsa yang besar dan mengamalkan dasar langit terbuka tetapi hanya Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia sahaja yang mendarat di sini," katanya dalam blognya, http://chedet.co.cc, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, cadangan itu sangat wajar dipertimbangkan dan sesuai dilaksanakan, kerana kos pembangunannya kecil tetapi menjanjikan pulangan lumayan untuk jangka masa panjang, sekali gus meletakkan Labuan destinasi pelancong utama khususnya bagi warga ASEAN.

Katanya, pembangunan pulau tersebut juga mampu memberi keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) memandangkan Labuan adalah kubu kuat parti tersebut selain peningkatan kehadiran pelancong akan turut membawa limpahan pendapatan kepada warga tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Perdana Menteri berkata, beliau berbangga dengan kemajuan yang dicapai Labuan berbanding ketika kali terakhir menjejakkan kaki ke pulau itu kira-kira 12 tahun lalu ketika merasmikan bangunan Pusat Kewangan Luar Pesisir.

"Saya cukup gembira dan bernostalgia apabila memandu di sekitar pulau Labuan dan menyaksikan laluan jalan kaki berturap di Perkampungan Air, Direct Reduction Iron Plant (loji besi briket panas), pangkalan bekalan minyak dan loji mega methanol milik Petronas tersergam megah.

"Saya juga berbangga melihat perkembangan rumah-rumah lama yang 12 tahun dulu hanya dibina dengan kayu lama dan zink tetapi kini berubah menjadi moden dengan reka bentuk menarik, jalan-jalan raya termasuk kawasan kampung juga berturap dengan baik dan banyak bangunan baru di mana-mana sahaja," jelasnya.

Thursday, November 4, 2010

Terap kemahiran hidup kepada anak-anak

Artikel oleh Suzalie Mohamad (Utusan Online - 5.11.2010)
Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM

Diedit bagi tujuan sebaran maklumat & pendidikan oleh Ismawi B. Ismail
Ketua Jabatan Mekanikal & Pengeluaran,
ILP Labuan.

SEANDAINYA wujud tiga keadaan di pejabat yang mana seorang pekerja itu memiliki kelulusan tinggi dan cemerlang, tetapi apabila dia bercakap atau mengeluarkan arahan, ia membuatkan orang lain sakit hati. Kedua, seorang pekerja berpendidikan dan kemahiran tinggi, dia hanya tahu melaksanakan tugasnya dengan baik dan sering mendapat pujian dan bonus daripada majikannya. Bagaimanapun, dia kurang kebolehan bersosial. Ketiga, seorang pekerja mempunyai pendidikan dan sikap yang amat baik. Dia memiliki kemahuan belajar dan mencuba yang begitu tinggi dan mesra dengan semua orang yang bekerja dengannya.

Di antara ketiga-tiga keadaan itu, yang mana satukah kita mahu wujudkan dalam pejabat atau masyarakat kita? Sudah tentu kita menginginkan keadaan ketiga iaitu seorang insan yang baik, berpandangan positif, mahu belajar, tidak sombong dan terbuka.

Kajian yang dibuat oleh sebuah universiti terkemuka dunia, Harvard Business School mendapati kepintaran ilmu dan kemahiran hanya menyumbang kepada 10 hingga 25 peratus kejayaan sebuah institusi perniagaan. Ini bermaksud sebanyak 80 peratus kejayaan syarikat atau institusi bergantung kepada sikap pekerja yang menganggotainya.Apa yang membezakan diri kita dengan orang lain adalah sikap.

Perbezaan ketara orang-orang yang berjaya bukan sepenuhnya datang daripada pendidikan tinggi yang dimilikinya, tetapi sikap yang ada pada dirinya. Sikap penentu segala-galanya kerana di dalam sikap yang mulia itu, wujud keyakinan dan kemahuan yang amat tinggi. Sikap inilah yang perlu dibentuk, bukannya kelulusan akademik semata-mata. Sekiranya hanya kelulusan akademik dan kemahiran diberi perhatian sepenuhnya dalam membentuk generasi baru, suatu hari nanti banyak penyakit sosial yang kronik akan timbul.

Maka akan lahirlah generasi pekerja yang hanya fizikalnya hadir di pejabat tetapi tidak hati nuraninya. Ini kerana hidupnya hanya semata-mata untuk keadaan dan suasana pekerjaan yang dipimpin oleh majikan atau orang-orang yang tidak memiliki sikap yang mulia.

Tidak dinafikan pendidikan itu penting kerana menerusi pendidikan, lahir kemahiran. Mauduk pendidikan subjektif sifatnya, manakala memperoleh ilmu itu sifatnya berterusan. Ini kerana proses menimba ilmu boleh berlaku melalui pembacaan, pemerhatian, perasaan, pemikiran dan sebagainya.

Bagaimanapun, penekanan terhadap pendidikan seperti di sekolah hari ini yang begitu kaku akan menyebabkan generasi masa depan hilang kemahiran hidup yang diperlukan. Kehidupan bertunjangkan ‘robot’ yang tidak ada perasaan menyebabkan perkara yang senang disusahkan dan perkara yang susah bertambah sukar sehingga timbul tekanan psikologi dan hidup.

Hakikatnya, ramai yang menjadi mangsa tekanan hidup akibat kemodenan dan kekayaan yang menghimpit kehidupan. Corak kehidupan sebegini sudah menampakkan kelibatnya di negara-negara Asia seperti Jepun, Singapura dan China. Apakah kita mahu rakyat Malaysia berhadapan dengan corak hidup sebegini? Inilah akibatnya jika umat manusia diukur atau dibentuk berlandaskan pencapaian merit akademik semata-mata sehingga menyebabkan mereka bergantung pada satu kemahiran dan kebolehan sahaja.

Media arus perdana juga ada peranan yang perlu dimainkan. Setiap kali keputusan peperiksaan utama negara seperti SPM dan STPM, pihak media membuat liputan meluas mengenai pencapaian akademik yang cemerlang. Ini menyebabkan masyarakat terpengaruh dengan budaya menekan anak-anak untuk mendapat keputusan A dalam setiap pelajaran sehingga meminggirkan fakta bahawa aspek kemahiran hidup juga penting.

Kemahiran hidup seperti kemampuan bersosial dengan sopan dan penuh tatasusila, memiliki disiplin kendiri dan sikap yang baik dipinggirkan sehingga anak-anak hanya pandai dalam kaedah atas kertas semata-mata. Kemahiran hidup sangat penting kerana di dalamnya ada elemen tambah nilai yang boleh digunakan dan bermanfaat untuk mengimbangi kehidupan biasa seorang insan dalam hidup bermasyarakat. Maka, pendidikan nasional wajar mengimbangi pendidikan berorientasikan peperiksaan dan pemarkahan dengan pendidikan berorientasikan kebolehan dan kemahiran individu.

Kerangka pendidikan dan pengajaran ini perlu bermula sewaktu sekolah rendah lagi kerana pada masa inilah, anak-anak begitu aktif dan suka mencuba perkara baru. Pembelajaran anak-anak di sekolah rendah perlu diselitkan dengan kaedah dan bahan pengajaran yang boleh membuat mereka gembira. Lawatan sambil belajar adalah satu pendekatan yang sangat baik dengan syarat adanya tempat-tempat yang sesuai untuk proses pembentukan pembelajaran ini.

Sudah tentu aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menyelitkan latihan amali sukar dibuat. Ia memerlukan penglibatan sepenuhnya oleh guru. Maka guru harus menggunakan kreativiti mereka untuk mengadakan aktiviti-aktiviti sebegini. Pihak sekolah dan kerajaan perlu memberi dorongan yang kuat kepada guru bukan setakat motivasi diri dan pelbagai kursus peningkatan diri, tetapi juga dana atau peruntukan bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti-aktiviti kelas yang mendatangkan manfaat kepada anak-anak.

Sekiranya, elaun seperti elaun keraian, pengubahsuaian bilik pejabat, elaun kritikal dan sebagainya yang menelan belanja besar boleh diperuntukkan kepada kakitangan kerajaan yang lain, mengapa tidak diberikan peruntukan kepada guru-guru yang bergelumang hidup dengan susah senang mengajar anak-anak kita, pelapis masa hadapan?

Ibu bapa juga wajar memahami bahawa selain pihak sekolah menyediakan prasarana untuk anak-anak menimba ilmu yang jelas condong ke arah pencapaian akademik, ibu bapa perlu mendedahkan sebanyak mungkin aktiviti-aktiviti amali yang dapat membantu anak-anak membina kemahiran hidup.

Kemahiran hidup merupakan aspek penting bagi mengimbangi kehidupan pelajar. Melalui pembinaan aspek ini sahajalah maka terbentuknya keyakinan diri, kesungguhan, fokus, budi pekerti, hormat, dan kegembiraan. Dengan pendedahan kepada asas kemahiran hidup di peringkat awal pembesaran, anak-anak akan cerdas dan seronok menimba ilmu, bukan setakat pada apa yang ada dalam buku teks atau kelas semata-mata, malah mereka akan mampu menggunakan kebolehan berfikir, memerhati dan merasa apabila melakukan aktiviti luar darjah.

Dengan ini, bakat mereka akan terserlah mengikut keunikan diri masing-masing. Semoga apabila mereka dewasa, mereka tidak menyesal dengan apa yang mereka telah lalui dan peroleh di sekolah.

Tuesday, November 2, 2010

Ahli politik, penjawat awam penting untuk capai Wawasan Negara

Utusan Online - 3.11.2010

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Hubungan antara penjawat awam dan ahli politik dalam urus tadbir demokratik adalah penting dalam menggalakkan satu persefahaman dan kerjasama yang lebih besar untuk menerajui pencapaian wawasan negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kedua-dua kumpulan perlu sebagai cara rakan tulen bagi menjadikan sektor awam lebih cekap dan berkesan untuk mencapai hasratnya.

"Seruan untuk pertimbangan khas bagi peranan dan fungsi kepimpinan dalam sektor awam. Sudah tiba masanya untuk meletakkan penjelasan terhadap setiap peranan (antara ahli politik dan fungsi kepimpinan dalam sektor awam)," katanya pada ucaptama Simposium Pembangunan Kepimpinan Membantu Hala Tuju Akan Datang, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Richard Riot Jaem.

Anifah berkata, bagaimanapun penjelasan kedua-duanya bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan di mana ahli politik menjadi lebih profesional dalam pentadbiran dan penjawat awam menjadi lebih mengetahui mengenai politik.

Di Malaysia dan banyak negara katanya, kegagalan pelaksanaan merupakan masalah politik yang jelas yang dihadapi kerajaan.

Beliau berkata, ramai yang memikirkan bahawa penyelesaian bagi sesebuah kerajaan tidak baik ialah dengan menyerahkan aktivitinya kepada sektor swasta yang akan melaksanakannya lebih cemerlang tetapi ini tidak perlu kerana kerajaan mempunyai peranan lebih besar untuk dimainkan.

Anifah berkata, dalam menyahut keperluan untuk rakyat berubah, ia juga mengenai masa untuk kerajaan mempertimbangkan perubahan agar perkhidmatan awam kekal relevan dan memudahkan pertumbuhan ekonomi dan keseluruhan pembangunan negara.

"Salah satu cara untuk melengkapkan diri kita untuk masa hadapan yang tidak menentu dan dalam mengendalikan respons yang kompleks dan meningkat ialah dengan mengadakan modal insan yang betul," kata beliau.

Simposium tiga hari itu dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Sekretariat Komanwel (ComSec) dihadiri kira-kira 30 peserta dari seluruh dunia. - BERNAMA

Monday, November 1, 2010

Elak budaya robot - Najib

Utusan Online - 2.11.2010

PUTRAJAYA 1 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kakitangan awam menjauhi 'budaya automasi' atau bersikap seperti robot sebaliknya berfikiran kritis dan konstruktif semasa bekerja.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sejajar dengan usaha transformasi negara melalui produktiviti kerja, setiap kakitangan awam perlu mencari penyelesaian secara kreatif dan inovatif.

Justeru, kata beliau, semua ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan perlu secara berterusan membudayakan inovasi di dalam persekitaran kerja dan berusaha melakukan yang terbaik.

''Saya mahu melihat keberkesanan satu mekanisme yang boleh menggalakkan setiap warga kementerian berkongsi idea-idea kreatif dan bernas bagi memudahkan tugasan seharian supaya lebih efisien dan efektif.

''Keadaan ini seharusnya memberikan impak yang positif kepada perkhidmatan kerajaan sekali gus membawa kepada kepuasan rakyat," katanya ketika berucap semasa sambutan Hari Inovasi Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Najib berkata, proses membudayakan inovasi bukan hanya memfokus kepada ruang yang sempit melibatkan penghasilan kerja semata-mata sebaliknya perlu dilihat daripada pelbagai aspek kerja seorang penjawat awam.

Sehubungan itu, beliau yakin dengan membudayakan inovasi, kementerian tersebut dapat meningkatkan lagi daya saing dan nilai tambah terhadap penghasilannya.