Tuesday, August 24, 2010

Berbelanja Secara Berhemah di musim perayaan

Hemah berbelanja elak dibelenggu hutang selepas Aidilfitri

AIDILFITRI bakal tiba dan seperti biasa ia umpama penggera yang mendorong naluri sesiapa saja berbelanja di luar kebiasaan. Ia seakan senario yang melonjakkan rasa untuk tampil bergaya serba baru dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.

Bukan perkara luar biasa apabila berbicara mengenai perbelanjaan melebihi kemampuan setiap kali tiba Aidilfitri.

Hasil kajian Pusat Kecemerlangan Kajian Penggunaan Lestari, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), mendapati purata perbelanjaan satu keluarga ketika membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri ialah RM3,200, jauh lebih tinggi berbanding hanya RM2,000 pada bulan lain.

Kebanyakan responden ditemui selepas musim perayaan tahun lalu, membelanjakan sehingga RM17,500 iaitu RM5,000 lebih tinggi daripada perbelanjaan bulan sebelumnya. Ia sekali gus memberi gambaran betapa rakusnya kita berbelanja ketika perayaan.

Untuk apa semua wang itu dibelanjakan? Adakah kerana memang ia menjadi satu keperluan yang tidak boleh dielak dan kenapa ia menjadi sebegitu hanya ketika Aidilfitri? Jawapannya, pastilah kerana ia kehendak dan sikap manusia itu sendiri yang lumrahnya suka menunjuk-nunjuk.

Melihat kepada graf perubahan kaedah berbelanja musim perayaan dan bulan lain, jelas menunjukkan perbezaan. Perbelanjaan dapur dan pakaian melonjak secara drastik menjelang Aidilfitri iaitu 30 hingga 75 peratus. Pembelian perabot turut melonjak 81 peratus. Pembelian hadiah pula melonjak 92 peratus.

Bukan semuanya melonjak kerana graf sama juga menunjukkan penurunan membabitkan tiga perkara simpanan, perbelanjaan pendidikan dan insurans. Ia menunjukkan orang kita lebih mementingkan hari raya disambut meriah. Memang pelik di mana mereka mendapat wang tambahan untuk lebih berbelanja ketika raya. Hasil kajian itu menunjukkan 93 peratus responden menggunakan wang gaji dengan 55 peratus membelanjakan wang bonus. Tidak kurang 41 peratus lagi sanggup mengeluarkan wang simpanan.

Malah ada yang menggunakan kad kredit dengan rakus iaitu 20 peratus mengaku menggunakan kad kredit bagi menampung perbelanjaan hari raya. Lima peratus pula meminjam dari koperasi selain menggadai barang berharga.

Penyelaras program kajian itu, Prof Madya Dr Mumtazah Othman, berkata lebih 90 peratus responden membuat persiapan kewangan khas bagi perayaan yang selalunya mula disimpan sejak tiga bulan sebelum musim tiba. Dari aspek fizikal seperti mengecat rumah, menukar sofa dan sebagainya, persiapan selalunya dibuat lebih awal.

Kita perlu melihat, tidak semua perbelanjaan ketika hari raya menjurus kepada pembelian barangan atau pakaian semata-mata. Paling ramai mengakui apa yang paling penting ketika perayaan ialah balik kampung, menziarahi sanak saudara, membeli kuih-muih dan menyediakan duit raya, katanya.

Beliau melihat senario berbelanja melebihi had dan kemampuan sebagai yang sudah menjadi rutin masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun dan ia tidak pernah berubah meskipun dihimpit masalah ekonomi dan kenaikan harga barang. Justeru, melihat kepada data dikumpul jabatannya, beliau yakin coraknya tetap sama tahun ini.

Jika diteliti semua data tadi, jelas sekali corak perbelanjaan orang kita ketika hari raya pastinya boleh membawa kesan negatif selepas perayaan. Sebagai contoh, jika perbelanjaan pendidikan dan simpanan diabaikan, sudah tentu akan ada keluarga berdepan masalah jika secara tiba-tiba dibebani satu kecemasan secara tiba-tiba.

Namun, seperti biasa, biar nasihat demi nasihat diberi dan walaupun selalu orang berkata ukur baju di badan sendiri supaya tidak berbelanja melebihi hadnya, ia seakan mencurah air ke daun keladi.

No comments:

Post a Comment