Thursday, December 23, 2010

Peranan pekerja laksanakan amanah.

Utusan Online - 24/12/2010

BARU-BARU ini, timbul satu kenyataan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang menyatakan bahawa seramai 6,133 penjawat awam yang bermasalah dalam tahun 2009 berbanding seramai 5,344 pada tahun 2008. Peningkatan peratusan sebanyak 14.76 peratus memberi gambaran bahawa tahap integriti dan disiplin pekerja semakin menurun dan merosot.

Adakah kemerosotan ini berpunca daripada diri pekerja itu atau sebaliknya? Sekiranya statistik ini menunjukkan peningkatan lagi pada tahun hadapan, pasti timbul persoalan di manakah peranan pekerja dalam menggalas amanah yang diberikan kepada mereka?

Kita maklum bahawa, Islam sangat menggesa umatnya bekerja. Bekerja mestilah dilakukan dengan niat semata-mata kerana Allah SWT untuk mendapat kebahagiaan hidup berupa rezeki di dunia, di samping tidak melupakan kehidupan di hari akhirat.

Amalan melaksanakan kerja sebagai ibadah perlu dilaksanakan dengan nilai amanah, ketekunan dan kegigihan. Malah nilai-nilai ini sememangnya tidak asing bagi seorang pekerja Muslim. Ini kerana ia telah dilatih dalam kehidupan seharian, khususnya melalui ibadah yang dilaksanakan, seperti solat. Cuba fikirkan jika nilai ini terhakis daripada diri seorang pekerja. Apakah yang akan berlaku jika pekerja kita telah mula menerima budaya seperti tidak berdisiplin, tiada integriti, menyeleweng, rasuah dan sebagainya?

Oleh itu, dalam Islam hendaklah menjadikan kerja sebagai ibadah bagi keberkatan rezeki yang diperoleh, lebih-lebih lagi sebagai persediaan menghadapi kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Firman Allah dalam Surah al-Qasas ayat 77; "Dan tuntutlah harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagian (keperluan dan bekalan) di dunia. Berbuat baiklah kepada hamba-hamba Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu (dengan pemberian yang melimpah-limpah). Janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakkan."

Begitu juga al-Quran menjelaskan bahawa solat berperanan mencegah orang yang melaksanakannya daripada melakukan dosa dan kemungkaran. Isyarat tentang ketekunan dan kecemerlangan yang menjadi penanda aras bagi pelaksanaan sesuatu tugas oleh seseorang Muslim begitu jelas dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW (maksudnya), "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti." Riwayat al-Baihaqi daripada 'Aisyah r.a.

Pemupukan nilai amanah dalam diri seharusnya bermula dalam diri sendiri. Jika ini berlaku barulah amanah terhadap orang lain akan dapat dilaksanakan dengan baik. Sebagai contoh, sebagai pekerja kita menggalas amanah untuk melakukan yang terbaik kepada organisasi yang kita naungi.

Dalam masa yang sama, seorang pekerja atau kakitangan yang beramanah perlu sentiasa berusaha memanfaatkan masa bekerja untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan. Ia akan mengatur perancangan dan persediaan tugasan dengan baik agar tiada waktu yang berlalu dengan sia-sia atau menjauhi sikap menunda-nunda kerja atas alasan peribadi untuk mengelakkan tugasan yang diamanahkan tidak dapat diselesaikan dengan baik dan menurut tempoh yang telah ditentukan.

Begitu juga seorang pekerja berperanan untuk menggalas amanah bagi melaksanakan tugas dengan penuh minat, ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi. Kita diseru agar mengutamakan kepentingan majikan serta organisasi berbanding kepentingan diri, sentiasa berusaha memastikan majikan dan organisasi tempat kita bekerja, mencapai matlamat yang disasarkan dengan jayanya. Seorang pekerja itu tidak boleh berasa selesa dengan pangkat dan kedudukan yang mereka peroleh. Mereka perlu berusaha agar mendapat kedudukan yang lebih baik daripada apa yang dilakukan pada masa ini.

Harus ditekankan di sini bahawa seorang pekerja perlu memainkan peranan yang aktif dan tidak boleh berfikiran asalkan siap kerja untuk hari ini sudah memadai. Mereka perlu memandang jauh ke depan dalam memikirkan apakah nilai tambah yang perlu dilakukan untuk memantapkan kedudukan organisasi pada masa hadapan. Budaya bermalas-malasan serta berfikiran negatif perlu dikikis dalam diri setiap pekerja. Ini kerana dengan bersikap sedemikian seseorang itu akan sentiasa terkebawah dan membantutkan perjalanan organisasi berkenaan.

Begitu juga dengan majikan, sebagai majikan maka kita memiliki amanah untuk memelihara kebajikan pekerja termasuk membayar gaji atau upah bersesuaian dengan kebolehan serta kecekapan mereka, memuliakan dan menghormati mereka, tidak sama sekali menindas serta memerah keringat mereka secara tidak adil dan sentiasa memberikan dorongan serta motivasi supaya mereka mencintai pekerjaan dan bersemangat melaksanakan tugas.

Selain itu, pembentukan persekitaran kerja yang selamat dan sihat perlu diutamakan. Kerana itu, ianya memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak, terutama para majikan yang mempunyai peranan dan amanah yang sangat besar terhadap aspek keselamatan pekerja dan persekitarannya.

Memandangkan tahun Masihi 2010 hanya tinggal lebih kurang seminggu lagi untuk melabuh tirainya, mungkin ada di antara pekerja yang berazam dalam membuat perancangan membuka buku baharu pada tahun hadapan untuk meningkatkan lagi mutu kerja mereka.

Sungguhpun demikian, dalam proses membuka lembaran baharu dan menutup buku lama ini, janganlah kita menutup terus agenda-agenda yang terdapat sepanjang tahun ini. Yang mana perkara baik dan azam yang belum selesai, kita panjangkan kepada buku tahun hadapan menjadi yang lebih baik lagi. Manakala salah laku yang tidak baik, maka kita hentikan setakat itu sahaja dan sentiasa berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan atau perbuatan yang sama.

Dalam membuka lembaran baharu ini, sebagai pekerja Muslim, kita diingatkan supaya berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, terutama dalam melahirkan umat Islam yang beramanah. Ini kerana kesan menghayati dua sumber ini berupaya menghasilkan insan yang benar-benar bertanggungjawab dalam melaksanakan apa jua tugasan yang diberikan.

No comments:

Post a Comment