Thursday, October 18, 2012

Pembantu rumah asing lari, majikan yang banyak tanggung akibatnya.

  Oleh DR. JESSICA ONG HAI LIAW - Utusan online 16/10/2012  LARI lagi, itulah perkataan yang sering diungkapkan oleh majikan di Malaysia yang sudah bosan dan lali dengan perkara itu. Lari sehelai sepinggang pun menyebabkan majikan rugi dengan wang pendahuluan dan apatah lagi ada pembantu rumah asing turut membawa lari barang yang bernilai ribuan ringgit.
Manakan tidak majikan menjadi fobia, jika tiada jaminan oleh agen dan jika ada jaminan sekalipun bagaimana mahu memastikan mereka tidak lari. Jika dikunci pintu rumah dikatakan majikan kejam. Apabila diberi kunci rumah, lari pula. Entah mana silapnya, majikan sering dipersalahkan jika pembantu rumah mereka lari.
Ada cakap-cakap yang mengatakan jika mereka lari, apabila memohon bekerja kali kedua maka gaji mereka akan lebih tinggi sebab sudah dikira majikan kedua.
Memang benar pembantu rumah perlu diberi layanan baik tetapi bagaimana jika majikan yang baik dipijak kepala dan pembantu rumah hendak samakan tarafnya dengan majikan manakala kalau ditegur dan tegas sikit dikatakan majikan garang.
Tuduhan ke atas majikan sahaja sememangnya tidak adil. Majikan memberi gaji sehingga RM700 sebulan dengan menanggung tempat tinggal dan segala keperluan tetapi masih dikatakan kurang baik.
Mudahnya pembantu rumah asing lari, walaupun pasport dan permit dipegang majikan tetapi mereka tetap berani lari . Alasan hendak mencari kebebasan.
Kesibukan kita pada hari ini memang memerlukan pembantu rumah jika suami isteri bekerja. Tahun 2012, pembantu rumah asing Indonesia sukar dicari, dari Kemboja dibekukan dan yang mudah dicari kini ialah pembantu rumah dari Filipina. Pembantu rumah dari Filipina memang mahal tetapi kurang kes lari manakala dari negara Indonesia memang statistik kes larinya paling tinggi.
Segelintir pembantu rumah asing cenderung untuk mencari teman dan ada pula yang ingin memiliki telefon bimbit sendiri. Mereka mahu ada peraturan sendiri di rumah. Walaupun majikan mementingkan kebersihan menyuruh mereka memotong rambut pendek, mereka membantah dan mendakwa mereka mengalami penderaan emosi. Bukankah niat sebenar mereka untuk mencari rezeki di sini dan kenapa mereka tidak pernah bersyukur apabila diberi segalanya sehingga ada yang makan semeja dengan majikan. Apabila ditunaikan segala permintaan maka akhirnya mereka lupa diri dan mula dipengaruhi kawan-kawan dan terjebak dengan perkara-perkara negatif.
Majikan mengeluh kerana sibuk dengan kerja di pejabat mengharapkan pembantu rumah dapat meringankan tugas di rumah tetapi akhirnya mengundang banyak masalah seperti lari. Duit pendahuluan hangus, kena repot polis dan prosedur memohon pembantu rumah lagi.
Sesetengah pembantu rumah asing pula menyatakan mereka mendapat majikan yang garang dan tidak pernah bertegur sapa dengan muka masam mencuka. Majikan bukannya tegas sepanjang masa namun mereka perlu meletakkan jurang supaya pembantu rumah menghormati mereka. Jika mereka mengalami masalah, maka majikan akan prihatin tetapi janganlah pula pembantu rumah berbohong sehingga berani menjunjung al-Quran tetapi akhirnya semua terbongkar dan hanya dusta belaka.
Kisah pembantu rumah asing ada facebook, kisah lari kerana cinta dan kebebasan, lari kerana tidak mahu pulang setelah kontrak tamat dan banyak lagi alasan sudah terlalu biasa kita dengar. Ada juga beberapa majikan memberi peringatan supaya jangan membenarkan pembantu rumah pulang jika ingin menyambung kontrak lagi kerana selepas pulang ke kampung mereka akan berubah kerana terpengaruh.
Selepas pulang untuk tahun ketiga mereka akan mula demand, maklumlah dah ada pengalaman. Jika demand gaji, kita faham tetapi ada yang demand hendak buat dua kerja dan duduk di luar. Kalau benar mahu mencari rezeki yang halal maka buatlah kerja dengan sebaiknya dan bersyukur dengan nikmati yang diberi. Janganlah lari daripada tanggungjawab dan berbuat dosa pula.

Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran di ILP Labuan sahaja

Wednesday, October 10, 2012

Majikan jangan memperlekeh isu jaga anak

BUKAN satu perkara luar biasa di negara ini apabila wanita berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik, alih-alih terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga anak-anak di rumah. Bukan saranan baharu kita dengar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mengharapkan lebih 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan wanita yang bergelar ibu menyertai pasaran kerja.
Keciciran kaum wanita berpendidikan tinggi ini daripada pasaran pekerjaan sememangnya amat dirasai. Kerajaan telah berbelanja besar untuk pendidikan sehingga 68 peratus pelajar di universiti ialah wanita, tapi hanya 48 peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini sudah tentunya memberikan kerugian besar kepada negara.
Kajian (LPPKN) mendapati masalah penjagaan anak-anak adalah punca utama wanita di negara ini menamatkan kerjaya mereka lebih awal. Ini berlaku terutamanya di kalangan wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 71 peratus yang mana di peringkat umur sebegini adalah kemuncak kerjaya bagi wanita dan pada masa sama anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu.
Kemudahan taska akan membuka ruang kepada wanita yang berpendidikan tinggi untuk terus berkerjaya, malah wanita yang berpendidikan rendah dan sederhana turut menerima manfaatnya. Dalam mengharungi kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar-bandar, golongan isteri tidak kira tahap mana pendidikannya turut membantu suami yang berpendapatan rendah atau gaji sekadar cukup makan untuk mencari rezeki dan membina ekonomi keluarga yang lebih kukuh.
Tentunya soal penjagaan anak merupakan satu isu yang cukup besar, yang sering diperlekehkan oleh majikan apabila pekerjanya memberi alasan datang lewat kerana terpaksa menguruskan hal-hal anak. Hendak membawa anak ke pejabat ‘pada waktu-waktu genting’ kerana pengasuh ada hal kecemasan, tentunya menimbulkan rasa tidak selesa diri sendiri, anak dan juga pekerja-pekerja sekeliling, yang akan menjeling-jeling sekiranya anak tersebut menangis atau nakal.
Untuk mencari pembantu rumah pula mendepani ragam pembantu rumah asing dan macam-macam hal, demand dan proses yang perlu dilalui untuk mengambil mereka bekerja, akan memberi satu lagi tekanan lain pula. Dalam pada itu, kes penderaan, kecederaan dan kematian bayi dan kanak-kanak di pusat penjagaan dan jiran yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga anak-anak turut amat merisaukan ibu bapa untuk melepaskan anak mereka dalam penjagaan orang lain ketika bekerja. Pasti kemudahan taska di tempat kerja terutamanya di sektor-sektor swasta banyak membantu dalam menangani masalah ini.
Dengan insentif yang diberikan oleh kerajaan menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak jika kemudahan ini diwujudkan di syarikat-syarikat swasta, sepatutnya tiada kekangan yang besar untuk menyediakannya. Jika syarikat-syarikat besar terutamanya boleh dan mampu berbelanja sakan untuk projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) setiap tahun, membantu masyarakat susah di luar sana, mengapa tidak memperuntukkan kos tertentu untuk membina kemudahan taska untuk kebajikan pekerja-pekerjanya sendiri.
Bina ruang untuk beriadah untuk pekerja-pekerjanya, ruang kafe yang besar dan ada pula syarikat besar yang boleh meletakkan pusat rawatan kecemasan di premisnya, mengapa tidak boleh membina ruang untuk taska. Kemudahan ini akan menyebabkan pekerja-pekerja berasa ‘tenang’ untuk bekerja kerana tidak perlu ‘terkejar-kejar’ menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan. Mereka boleh meluangkan masa dengan anak-anak yang berada di depan mata pada waktu rehat dan mungkin juga akan mengurangkan masa kepada pekerja-pekerja yang gemar berkunjung ke pusat-pusat beli belah pada waktu makan tengah hari terutamanya pada waktu rehat yang panjang, iaitu hari Jumaat. Dengan lebih terurus, mereka akan ada masa yang berkualiti untuk anak-anak, dan pada masa yang sama mereka akan lebih fokus pada kerja.
Jika majikan bimbang, pejabat akan `beroperasi’ seperti pusat jagaan anak-anak pula, peraturan-peraturan tertentu boleh dibuat bagi memastikan kemudahan itu tidak sama sekali menganggu perjalanan dan urusan kerja. Pun begitu, dalam menyediakan pusat taska di tempat kerja, soal keselamatan, tenaga penjaga, kemahiran, dan kepakaran perlu diberi penekanan, agar tidak diadakan sekadar ‘tangkap muat’.
Ini penting, agar taska di pejabat-pejabat ini tidak membawa masalah sama yang sering berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak lain atau pengasuh yang beroperasi di rumah yang akhirnya memberikan tekanan yang serupa kepada ibu yang bekerja.

Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan sebaran umum dan pembelajaran di ILP Labuan sahaja

Monday, October 1, 2012

Petikan Teks Ucapan Bajet 2013 - Latihan & Kemahiran

Oleh: YAB Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak - B. Harian Online, 28/92012

Bagi peruntukan pembangunan, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.


FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN

Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah 3.7 bilion ringgit akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.


Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun 2016.


Kerajaan juga memperuntukkan 440 juta ringgit kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir 40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan juga memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara.


Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran. Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional.


Nota: Artikel ini diedit bagi tujuan pendidikan dan maklumat untuk kakitangan/pelajar ILP Labuan sahaja