Sunday, March 11, 2012

Angkat imej perkhidmatan awam


SBPA memang sempat bermula. Perjalanan pelaksanaannya amat pantas. Akhir Januari lalu, kumpulan yang memilih SBPA telah pun dibayar gaji baru. Ketika Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membuat bantahan, sebahagian peruntukan kewangan telah pun berlegar kepada para penerimanya. Apabila SBPA dibatalkan, tentunya timbul persoalan perlukah ia dikembalikan. Penerima premier berjanji untuk memulangkan hak sementara itu. Khabarnya mereka sendiri terkejut melihat perubahan gaji yang amat ketara jumlahnya itu dan tidak keberatan mengembalikan kepada kerajaan lantaran memahami kedudukan kewangan negara.
Keterujaan lebih 1.4 juta kakitangan awam berkisar kepada soal imbuhan. SBPA disanggah kerana kenaikan gaji yang amat tidak setara sehingga mewujudkan senario dua darjat antara kumpulan sokongan dengan pengurusan terutamanya Jawatan Utama Sektor Awam dan Turus.

Tun Ahmad Sarji menekankan tentang kualiti penjawat awam yang menjadi penentu mutu perkhidmatan kepada rakyat dan negara. Beliau bercakap soal ketegasan dan rasa hormat terhadap perkhidmatan awam yang perlu dipelihara. Sebolehnya jangan ada ruang untuk kegagalan, pada masa yang sama laluan terhadap penambahbaikan mesti sentiasa terbuka.
Perkhidmatan awam bukan semata-mata gaji dan imbuhan. Komitmen, cekap, ikhlas, jujur umpama warna pelangi yang saling melengkapi. Hilang satu warna bukan pelangi namanya. Jaluran pelangi tidak akan sempurna jika satu warna hilang atau tercicir. Begitu juga dalam perkhidmatan awam, apabila ciri-ciri yang menjadi darah daging penjawat awam tercicir maka tanggungjawab tidak akan dapat disempurnakan. Sebab itu apabila bercakap tentang perkhidmatan awam, bukan hanya soal gaji. Bukan berapa peratusan pelarasan, bukan juga siapa dan apa yang mereka peroleh semata-mata. Hakikatnya perkhidmatan awam yang ramai anggotanya amat eksklusif sehinggakan martabatnya perlu dipelihara. Jika ada rungutan atau aduan tentang kecacatan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam maka martabatnya jatuh.

Dalam erti kata lain perkhidmatan awam mesti bernafas seiring dengan arus kemajuan dan pembangunan. Kepesatan negara menuntut pemain-pemain di dalam perkhidmatan awam bergerak pantas, bersifat responsif, peka kepada tuntutan semasa, kreatif, inovatif dan pelbagai lagi. Pembaharuan demi pembaharuan menjadikan sektor awam hidup tanpa ada tarikh luputnya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menekankan tentang peri penting penjawat awam beralih dari tradisi birokrasi. Memperkatakan tentang sektor awam maka istilah paling popular atau sinonim adalah birokrasi dan hierarki yang merimaskan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi ada melahirkan rasa pelik tentang birokrasi keterlaluan - sekeping surat pekeliling akan turun naik dari ketua jabatan ke pengarah, ketua pengarah, ketua setiausaha yang kemudiannya turun semula mengikut carta aliran sebelum boleh dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan.

Prosedur ketat dan lapisan hierarki yang keterlaluan melambatkan proses penyampaian maklumat sehingga tindakan segera tidak dapat dilaksanakan tentunya mematikan keberkesanan penyampaian awam.

Fleksibel

Untuk membolehkan malar segarnya sektor awam sebagaimana pihak korporat dan swasta maka tentunya segala amalan ketat mesti diubah menjadi lebih fleksibel supaya dapat memenuhi tuntutan yang sentiasa berubah terutamanya dalam keadaan di luar jangka. Contoh paling mudah kesesakan jalan raya luar biasa di bandar raya Kuala Lumpur kelmarin. Kejadian itu cukup untuk semua pihak mengukur sejauh mana cekap, responsif dan fleksibelnya perkhidmatan awam di negara ini yang mana kakitangannya baru saja menerima berita gembira 13 peratus pelarasan gaji. Sejauh mana kreatif serta inovatifnya jabatan terlibat dalam menangani kesesakan yang menimbulkan kemarahan orang ramai sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti kecemasan. Perkhidmatan awam bukan sekadar melaksanakan kerja-kerja di pejabat. Biar pun perkhidmatan di kaunter awam diakui semakin meningkat namun dalam menangani keadaan di luar jangka yang melibatkan sektor awam, kelemahan masih ketara.
Perubahan sektor awam supaya lebih kreatif, responsif dan pelbagai lagi itu bertujuan mewujudkan sebuah jentera pentadbiran yang lebih kemas dengan saiz anggota yang sesuai. Jangan pula umpama tikus membaiki labu, apabila perubahan yang dibuat hanya mengisi ruang-ruang yang sebenarnya tidak diperlukan dan akhirnya menambah birokrasi dan hierarki. Dalam sektor awam menuju fleksibiliti, mereka kembali kepada tradisi yang akan membunuh kecekapan sektor awam itu sendiri. Seperkara lagi yang sering menimbulkan rajuk kakitangan awam apabila jawatan baru diwujudkan, yang mengisinya adalah orang luar. Kewujudan kategori premier dalam SBPA amat jelas menjurus ke situ apabila jawatan itu turut dibuka kepada orang luar seolah-olah menafikan kebolehan penjawat awam itu sendiri.
Ingatlah kepada piagam pelanggan yang menghiasi dinding-dinding di jabatan awam. Setiap sen yang diperoleh baik menerusi Sistem Saraan Baru, Sistem Saraan Malaysia mahu pun SBPA yang hanya sebulan usianya perlu berlandaskan mutu perkhidmatan kakitangan awam dalam menyampaikan perkhidmatan masing-masing.
Pembatalan SBPA perlu disusuli dengan penambahbaikan mindset penjawat awam sejajar dengan peranan sebenar sektor awam yang hakikatnya sangat penting jika mahu dibandingkan dengan sektor-sektor lain yang agak terhad fungsinya.
Paling penting setiap perubahan yang hendak diperkenalkan mesti benar-benar difahami dan menjalani proses perbincangan berterusan. Sebelum sesuatu dasar dapat dilaksanakan terutama jika melibatkan keseluruhan penjawat awam maka beri penerangan dan buka ruang untuk maklum balas. Jangan nanti terjadi seperti mana pelaksanaan SBPA yang prosesnya berlangsung secara senyap dan sulit tetapi pantas sehingga akhirnya apabila tembelang pecah baunya tidak dapat ditahan. Tentunya ada yang tidak betul dalam perjalanan SBPA sehinggakan bantahan terhadap pelaksanaannya tidak dapat ditahan membawa kepada pembatalan Khamis lalu.

* Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran dan pengetahuan warga ILP Labuan.