TERDAPAT rakan-rakan penulis yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka apabila kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif bagi menarik cerdik pandai Malaysia pulang ke tanah air. Antaranya seorang rakan penulis yang bekerja sebagai akauntan di sebuah bank yang terkemuka di negara kita.
Beliau berasakan kerajaan terlalu memberi perhatian kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara sedangkan terdapat begitu ramai tenaga mahir tempatan bekerja di negara kita.
Bagi menarik minat rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, kerajaan hanya mengenakan cukai pendapatan 15 peratus untuk tempoh lima tahun sedangkan tenaga mahir tempatan dikehendaki membayar 26 peratus daripada pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut beliau, ramai rakan-rakannya sudah ber ura-ura untuk berhijrah ke luar negara termasuklah ketuanya seyang hanya menunggu masa untuk bekerja di Australia. Melihat fenomena ini, dikhuatiri hasrat kerajaan mengumpul sejumlah tenaga mahir rakyat Malaysia untuk bekerja di negara sendiri akan terbantut.
Banyak isu yang perlu dikaji bagi membolehkan Malaysia dipenuhi oleh tenaga mahir. Bagi negara-negara maju, peratusan pekerja mahir berbanding keseluruhan pekerja adalah dalam lingkungan 80 peratus. Jumlah ini amatlah tinggi berbanding negara kita yang mana peratusan pekerja mahir amatlah kecil sekali.
Talent Corporation sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan menarik pekerja mahir Malaysia yang bekerja di luar negara agar pulang bekerja di Malaysia seharusnya menyenaraikan apakah yang dikatakan sebagai pekerja mahir.
Bagi penulis tidak semua yang bekerja di luar negara berkemahiran tinggi. Kecualilah kemahiran dan kepakaran mereka tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pekerja mahir di Malaysia.
Ciri-ciri apakah yang akan digunakan oleh Talent Corporation agar dapat membawa pulang tenaga mahir yang benar-benar hebat dari luar negara?Jika tidak, lebih baik dana yang disediakan digunakan untuk memberi latihan kepada para pekerja mahir yang bekerja di Malaysia.
Sektor manakah yang sememangnya memerlukan pekerja berkemahiran tinggi? Ini juga perlu dikaji secara teliti agar sektor yang benar-benar memerlukan pekerja mahir mendapat bantuan yang sewajarnya selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Justeru, masalah brain drain ini memerlukan mekanisme terbaik agar hasrat negara meramaikan tenaga mahir yang bekerja di negara sendiri tercapai. Janganlah sampai terlalu memberi perhatian tenaga mahir yang bekerja di luar negara sehinggakan menyebabkan tenaga mahir sedia ada dalam negara dipinggirkan dan mereka yang berasakan diri terpinggir dan tidak dihargai merajuk membawa diri untuk bekerja di luar negara.
Artikel ini telah diedit bagi tujuan bacaan umum staff ILP Labuan.