PUTRAJAYA: Rakyat negara ini perlu berubah segera menjadi bangsa pencipta serta penambah nilai dan berhenti menggunakan inovasi ciptaan orang lain terutama bagi sesuatu yang mampu dihasilkan sendiri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya rakyat negara ini keluar dari kepompong zon selesa sebagai bangsa pengguna.Justeru, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan membuat penandaan aras dengan Jepun kerana negara itu terbukti hebat dalam aspek penciptaan baru membabitkan ilmu sains dan matematik.
“Daripada kaedah penandaan aras ini, kerajaan mendapati rakyat negara itu berfikir dalam bahasa ibunda untuk mencipta pelbagai teknologi inovasi baru,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mengambil serius usaha menterjemah bahan pembelajaran dan pengajaran dalam usaha memantapkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) menjelang pelaksanaannya pada 2012.
"Rakyat Malaysia kini rata-ratanya mampu bertutur dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris, namun kita juga harus menerima realiti bahawa masih ada lagi antara kita ini yang tidak mempunyai keupayaan sama," katanya. Penterjemahan buku sains dan matematik penting pada ketika dunia sedang menjulang ilmu sains dan matematik untuk setiap inovasi penyelesaian masalah kehidupan selaras dengan cabaran keenam Wawasan 2020 untuk mewujudkan masyarakat saintifik, progresif, inovatif dan mampu memandang jauh ke depan.
Artikel ini telah diedit bagi tujuan rujukan dan pengetahuan masyarakat & warga ILP Labuan