Minda Pengarang Berita Harian - 24.3.2011
PENJAWAT awam adalah nadi kepada pentadbiran sesebuah kerajaan. Kakitangan awam pada setiap peringkat adalah pelaksana kepada pelbagai dasar yang dirangka kerajaan dan kepada mereka terletak keupayaan, keberkesanan dan kecekapan sesebuah sistem pemerintahan. Kejayaan atau kegagalan juga terletak kepada sejauh mana peringkat tertinggi penjawat awam memutuskan sesuatu dasar dan dapat pula dilaksanakan dengan jayanya pada peringkat pertengahan dan bawahan.Penjawat awam membentuk satu kumpulan tenaga kerja yang besar dan di Malaysia saja, ia meliputi kira-kira 1.3 juta kakitangan. Oleh itu, bagi memastikan penjawat awam sentiasa cekap, pelbagai latihan dan kursus diberikan dari semasa ke semasa. Pada masa sama, kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan, ganjaran dan insentif tertentu kepada penjawat awam bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin. Antaranya ganjaran persaraan, skim perubatan dan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pinjaman perumahan serta pelbagai elaun dan insentif lain.
Ini semua bagi merangsang semangat, keupayaan dan kebijaksanaan penjawat awam dalam membantu kerajaan mengurus dan mentadbir negara. Justeru, kita melihat pengumuman kerajaan untuk menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari tahun lalu adalah wajar dan tepat pada masa. Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus.
Kita juga percaya ketika penangguhan itu dibuat, ramai juga yang kecewa kerana tidak dapat menikmati wang persaraan mereka sepenuhnya berikutan keputusan itu. Apapun kita yakin keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti kedudukan kewangan negara dan pada masa sama kerajaan turut mengambil kira komitmen penjawat awam yang berjaya membantu memulihkan negara daripada kesan krisis ekonomi dunia. Kita percaya kerajaan akan mengumumkan banyak lagi berita gembira buat penjawat awam bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin, begitu juga dengan keluarga mereka yang turut memberi sumbangan secara tidak langsung terhadap kejayaan negara.
Berikutan itu, kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil skim KWSP yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma. Apapun, kita amat berharap penjawat awam sentiasa berusaha meningkatkan komitmen mereka untuk membantu kerajaan ketika senang mahupun susah.
Kita tidak mahu penjawat awam hanya dilihat pandai ‘meminta-minta’ seperti kenaikan gaji atau bonus dengan mengemukakan pelbagai alasan tetapi gagal menunjukkan pencapaian membanggakan. Kita juga tidak mahu penjawat awam terus kekal dengan cara kerja dan pemikiran lama. Kita mahu penjawat sanggup berubah sejajar Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang mahu meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan. Kita percaya jika mereka menunjukkan prestasi memberangsangkan sudah pasti akan ada ganjarannya.
Kita yakin kerajaan sedia mendengar masalah dihadapi penjawat awam dan sentiasa mencari jalan memperbaikinya terutama melaksana kaedah terbaik menilai prestasi mereka.
Artikel ini diedit bagi tujuan pembelajaran dan rujukan kakitangan ILP Labuan sahaja