Thursday, January 13, 2011

Harga produk, perkhidmatan pengaruhi pendapatan rakyat

B. Harian Online - 14.1.2011
Oleh Tan Sri Adam Kadir

HAKIKAT rakyat berpendapatan tinggi adalah hal yang baik. Semua ingin pendapatan tinggi demi keselesaan hidup.

Bagaimanapun, mempunyai pendapatan tinggi bukanlah senang dari segi hakikat dan pengumpulannya. Pendapatan tinggi juga harus diukur pada kuasa beli. Jika pendapatan tinggi diatasi oleh kos hidup dalam erti kata rata-rata barang keperluan harian seperti makan minum, pakaian dan tempat berteduh, pengangkutan dan perubatan menjadi mahal, maka kenaikan pendapatan tidak begitu bererti.

Ini antara keperluan asas dalam kehidupan. Sebaliknya barang mewah, seperti rumah dan kereta mewah, jam tangan dan sebagainya, boleh dielak atau ditangguhkan.
Tiga negara berpendapatan tinggi menurut perkapita pendapatan kasar domestik atau dalam negara (GDP) ialah Singapura, Norway dan Amerika Syarikat (AS). Perkapita masing-masing AS$40,000 setahun atau RM125,000 setahun.

Di antara tiga negara itu, Singapura dan AS boleh berpuas hati kerana rata-rata harga produknya tidak meningkat sehingga menggugat peningkatan pendapatan rakyatnya, berbanding apa yang dialami rakyat Norway. Negara Scandinavia ini, terutama ibu kotanya, Oslo, adalah tempat termahal di dunia.

Rakyatnya hanya menikmati kelebihan pendapatan apabila mengembara di luar negara. Disebabkan dasar cukai pendapatan negara, pada umumnya rakyat hanya menikmati setengah Krone bagi setiap 1 Krone yang didapati ( 1 Krone ialah 60 sen). Setengah Krone lagi untuk cukai pendapatan.

Keadaan ini berlaku kerana rakyat Norway yang berpendapatan tinggi diharuskan menyumbang kepada tabungan pencen warga tua. Ini bererti pencen dinikmati pesara adalah tinggi, tidak jauh beza dengan gaji diperoleh sebelum mereka bersara.
Sejak 1970-an, Norway mendapat durian runtuh hasil minyak Laut Utara (North Sea) di utara Lautan Atlantik. Dengan hemah kepemimpinan negara yang prihatin, Kabinet dan Parlimen – dengan restu Rajanya– membuat keputusan tegas mengagihkan kekayaan negara itu secara adil sehingga boleh dikecapi mereka di strata paling rendah. Keputusan itu dijadikan peruntukan Perlembagaan yang ti-dak boleh diganggu-gugat sebarang pertukaran kerajaan.

Singapura bukanlah kota murah, tetapi pendapatan rakyatnya membawa pulangan nilai kerana kos hidupnya tidak mengatasi peningkatan pendapatan.

Negara paling bermanafaat ialah AS. Walaupun tidak pada keseluruhan, dalam banyak hal berkaitan makanan, perumahan, kenderaan dan tenaga elektrik, ia lebih murah berbanding Indonesia, Singapura, Thailand, Malaysia dan Filipina.

Negara kuasa besar itu, walaupun dibenci kerana dasar intervensinya di Iraq, Iran, Venezuela, dan beberapa negara di Afrika, Eropah Timur, Caribbean, Asia dan Arab, dasar dan amalan domestiknya adalah baik secara relatif.

AS dinyatakan sebagai perbandingan. Satu dolar AS boleh membeli lebih banyak produk daripada seringgit di Malaysia. Jika minyak berharga RM10 segelen di Malaysia, di AS segelen kurang 3 dolar.

Disebabkan rakyatnya berpendapatan tinggi, sedangkan kos rendah secara relatif, maka wang kocek yang berbaki boleh dibelanjakan kepada produk yang lebih luas. Justeru, banjaran perniagaan produk (perkhidmatan juga) lebih luas kerana peniaga terpengaruh dengan permintaan pembeli.

Lihat saja produk AS di pasar raya dan restoran makanan segera yang bercambah di Malaysia seperti McDonald, KFC dan Starbuck. Semuanya adalah unjuran pasaran domestik di AS sendiri. Jika pasaran domestik di sana tidak mampu menampung produk itu, tidak mungkin ia boleh berkembang ke seluruh dunia.

Memperkatakan pendapatan tinggi tidak menjadi genap jika tidak diperkatakan nilai mata wang. Sepatutnya pendapatan perkapita Malaysia yang diukur menurut nilai dolar AS adalah lebih tinggi daripada apa yang ditahapkan. Meskipun bunyinya mudah, nilai mata wang dunia yang diukur dengan harga Big Mac dan hamburger McDonald, seperti dipromosikan majalah mingguan Economist terbitan London, adalah sangat relevan.

Apa yang berlaku sejak 10 tahun dulu, taraan mata wang dunia yang pelbagai nilainya berbanding nilai dolar AS akhirnya bergerak ke arah nilai perbezaan harga burger itu dalam nilai dolar AS. Big Mac di Malaysia berharga RM6.70 sedangkan di AS harganya US$3.75. Harganya di AS itu sama dengan RM12 di Malaysia kini, pada kadar RM3.10 untuk AS$1.

Berdasarkan harga Big Mac itu, nilai ringgit sepatutnya lebih kurang RM1.08 dan bukan RM3.10 untuk AS$1. Oleh itu jika pendapatan perkapita kita RM40,000.00 setahun, ia bererti AS$22,200.00. Justeru untuk diklasifikasikan sebagai rakyat berpendapatan tinggi dengan perkapita AS$30,000.00 setahun bukanlah jangkauan jauh.

Yang penting ialah kenaikan pendapatan tidak diatasi kos produk dan perkhidmatan selain dibaham cukai pendapatan, demi menguat permintaan bagi melebarkan perniagaan produk dan perkhidmatan yang terus meluas.

Artikel ini diedit bagi tujuan sebaran umum dan pembelajaran ILP Labuan

Sunday, January 9, 2011

Kecekapan pendidik bentuk generasi masa depan

Utusan Online - 10.1.2011

ROSMAH Mansor menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan K-12 di Riyadh, Arab Saudi, semalam.


RIYADH 9 Jan. – Antara cabaran paling besar yang dihadapi guru dan pendidik masa kini ialah sama ada mereka memiliki kecekapan yang secukupnya dalam mempersiapkan dan membentuk generasi akan datang, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, profesion sebagai pendidik pada era globalisasi berdepan dengan cabaran yang lebih besar berbanding pada era sebelum ini.

“Berlalu sudah zaman di mana pelajar menjadi pendengar setia, tanpa banyak benda lain yang boleh menarik tumpuan mereka daripada memberi perhatian kepada guru dan buku.

“Hari ini, dengan revolusi yang dibawa oleh ICT (teknologi komunikasi maklumat), pengajaran dan pembelajaran tidak lagi terkepung di dalam bilik darjah semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya bertajuk ‘Kompetensi Guru Dalam Membentuk Generasi Akang Datang’ pada Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan K-12 di sini hari ini.

Dalam ucaptama 30 minit itu, Rosmah yang juga pengerusi jawatankuasa kerja dasar Permata Negara berkata, kecekapan pada abad ke-21 menuntut guru memiliki kecekapan di luar batas bidang kandungan atau pengetahuan serta kemahiran mudah untuk membolehkan mereka memenuhi tuntutan kontemporari dan masa depan yang kompleks.

“Kecekapan ini termasuk berhubung pemikiran kritis dan penyelesaian masalah kreativiti dan inovasi, ketangkasan dan kebolehsesuaian, kepintaran dan keusahawanan, semangat ingin tahu dan imaginasi untuk meningkatkan keupayaan dalam urusan pembelajaran sepanjang hayat,” kata Rosmah.

Di samping itu, kata beliau, guru juga perlu memiliki pengetahuan dan kepakaran untuk membentuk pengalaman pembelajaran bersifat produktif serta mampu mengenal pasti gaya pemikiran dan pembelajaran pelajar.

Beliau berkata, oleh kerana dalam bidang pendidikan tidak wujud pendekatan yang mampu memenuhi keperluan semua kelompok pelajar, maka seseorang guru yang cekap perlu memahami dan mampu memenuhi keperluan pelbagai gaya pembelajaran pelajar.

Sesetengah pelajar mampu memahami pelajaran lebih cepat daripada pelajar lain, manakala pelajar istimewa pula mampu menyempurnakan silibus dalam masa separuh daripada tempoh biasa yang diperlukan.

“Oleh itu, guru perlu memiliki kepekaan tinggi tentang kadar penyerapan ilmu yang berbeza antara pelajar dan perlu memiliki kemampuan untuk mengendalikan kelas secara interaktif, menarik dan berkesan.

“Ini melibatkan penggunaan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran, termasuk peralatan teknologi komunikasi maklumat,” katanya.

Rosmah berkata, generasi hari esok perlu sedar tentang tentang isu kemasyarakatan yang bersifat global, faham tentang integrasi ekonomi, menghargai hubung kait dan keperluan pergantungan antara manusia, menghormati dan memelihara kepelbagaian budaya serta memahami tentang kesan tindakan manusia terhadap alam sekitar.

“Persoalannya ialah sudahkah kita memupuk pengetahuan yang diperlukan itu dalam diri anak-anak kita untuk membolehkan mereka menjadi pemimpin dan warga yang baik serta bertanggungjawab untuk membentuk masa depan dunia?

“Adakah kita mendidik mereka supaya berusaha ke arah mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan teknologi serta memupuk dan membentuk masyarakat yang harmoni, yang mengambil kira kebajikan anggotanya?” tanya beliau.

Pendekatan pendidikan ini, kata beliau, memerlukan kefahaman lebih mendalam tentang masalah global dan mengutamakan cara beretika untuk memajukan, mengguna pakai dan mengamalkan teknologi serta komited terhadap tadbir urus yang betul dan amalan terbaik secara global, kata beliau.

“Untuk membentuk hari esok yang lebih baik, kita perlu memulakan langkah hari ini juga dan kita perlu memastikan anak-anak kita dipersiapkan sepenuhnya untuk menghadapi sebarang cabaran yang mungkin mereka hadapi.

“Oleh kerana para guru mempunyai peranan amat penting dalam aspek ini, kita perlu memantapkan kecekapan mereka agar mereka mampu memberi yang terbaik dalam apa jua perkara yang mereka lakukan,” katanya.

Persidangan itu dianjurkan Kementerian Pelajaran Arab Saudi di bawah naungan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah Bin Abdul Aziz, yang bertujuan mengeratkan gandingan antara kerajaan, pertubuhan awam dan sektor swasta untuk menyokong TQM dalam Pendidikan K-12. – BERNAMA

Thursday, January 6, 2011

Masih ramai lulusan universiti bergaji kecil

Utusan Online - 6.1.2011
oleh Rejal Arbee- Felo Kanan UKM

AKHIR-AKHIR ini kita begitu ghairah hendak melonjakkan negara dari kedudukannya sekarang sebagai negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Maka pelbagai usaha dijalankan kerajaan untuk mencapai matlamat ini.

Dalam pada itu apakah realitinya kalau dilihat daripada keadaan yang wujud sekarang? Benar kerajaan berazam melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) untuk mengubah nasib golongan berpendapatan rendah, iaitu kurang daripada RM1,500 sebulan yang dikatakan mewakili lebih 46 peratus daripada tenaga kerja negara untuk menerima pendapatan tinggi menjelang 2020. Antara mereka yang berpendapatan rendah ini termasuk juga lulusan universiti.
Mungkin mereka yang bernasib baik akan mendapat pekerjaan dengan syarikat besar, syarikat berkaitan kerajaan atau dengan kerajaan. Mereka akan menerima ganjaran setimpal dengan kelulusan. Tetapi dengan pendapatan melebihi RM2,000 sebulan pun mereka akan hanya dapat menampung kehidupan seharian dengan membayar sewa bilik, belanja pengangkutan untuk pergi balik bekerja dan belanja makanan.
Apa pun tidak juga ada maknanya berpendapatan tinggi tetapi masih tidak mampu memiliki rumah sendiri. Kalau hendak membeli kereta pun terpaksa berhutang hingga tujuh tahun untuk melangsaikannya.

Untuk menampung keadaan sekarang pinjaman kepada pembeli rumah dilonggarkan dengan tempoh bayaran balik melebihi 30 tahun, iaitu kalau sudah bersara pun rumah masih tergadai dengan bank hinggakan bank sudah pun mengadakan peraturan bayaran balik pinjaman rumah boleh diambil alih oleh anak.

Inilah keadaan yang dihadapi rakyat. Apa yang perlu ialah menentukan rakyat biasa mampu membeli rumah mereka sendiri tanpa perlu berhutang hingga sudah bersara masih belum dapat melangsaikan piutang dengan bank.

Maka itu apakah seorang lulusan universiti yang sudah bekerja lima tahun misalnya sudah mampu untuk membeli rumahnya sendiri? Kalau dilihat keadaan sekarang, ini tidak mungkin. Harga rumah berterusan melambung tanpa ada hadnya. Rumah teres di sesetengah tempat pun kini sudah ada yang mencecah jutaan ringgit.
Kerajaan wajar memastikan rakyat dapat memenuhi tiga keperluan utama dalam kehidupan mereka, iaitu mampu menyara diri sendiri dan anak isteri, mampu memiliki rumah sendiri dan mampu pula berulang alik ke tempat kerja dengan mudah atau pun mampu memiliki kereta sendiri.

Maknanya kerajaan harus menentukan adanya pelbagai skim menyediakan rumah mampu dibeli pekerja demikian ini.

Inilah keperluan minimum setiap pekerja. Apakah menjelang 2020 nanti kita akan dapat menjamin bahawa majoriti pekerja kita boleh memenuhi kehendak ini?

Kalau dilihat keadaan yang wujud sekarang kita sememangnya menghadapi suatu keadaan yang sungguh mencabar untuk mencapai impian ini walaupun dengan adanya pelbagai inisiatif strategik untuk menjayakan MBE yang diumumkan kerajaan hampir setahun lalu.

Buat masa ini seorang lulusan universiti pun menghadapi pelbagai cabaran mendapatkan pekerjaan hinggakan ada di antara mereka berterusan dieksploitasi oleh banyak majikan syarikat kecil yang mengambil mereka bekerja tanpa diberikan surat pelantikan.

Syarikat seperti agensi pengiklanan, syarikat pembikinan filem atau syarikat yang menguruskan acara peristiwa banyak mengambil lulusan universiti hanya secara lisan. Mereka tahu bahawa lulusan itu akan menerima saja pekerjaan walaupun secara lisan asalkan dapat menerima gaji yang boleh menyara kehidupan mereka di kota.

Maka dengan itu pekerja ini tidak akan tersenarai sebagai pekerja dan tidak mempunyai apa-apa pun hak sebagai pekerja. Jadi mereka bekerja mengikut suka hati pemilik syarikat itu tanpa mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tidak berhak mendapat perbelanjaan rawatan kiranya jatuh sakit, tidak mempunyai sebarang cuti sakit dan kalau tidak bekerja pada hari-hari sakit gaji bulanan akan dipotong mengikut jumlah hari yang dia tidak datang bekerja.

Demikian pula waktu bekerja juga panjang hingga ada yang perlu bekerja hingga larut malam jika dikehendaki menyiapkan sesuatu projek yang diterima majikan tanpa diberikan bayaran lebih masa.

Mereka juga boleh diberhentikan dengan mudah hanya dengan lisan tanpa sebarang alasan munasabah.

Inilah yang dialami seorang gadis muda lulusan bidang penyiaran dari UiTM baru-baru ini yang dipecat majikan sebuah syarikat pembikinan filem. Walaupun dia telah mewakili syarikatnya naik ke pentas menerima hadiah pada majlis Anugerah Skrin TV3 baru-baru ini tetapi dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang bukti bahawa dia adalah pekerja syarikat produksi berkenaan.

Kisahnya dimuatkan dalam blog ‘Sifu.Net’ yang kebetulan dikendalikan rakan majikan gadis malang itu. Blog itu menyatakan pemilik syarikat itu mewakilkan gadis berkenaan naik ke pentas menerima hadiah kerana majikannya tidak dapat hadir. Gadis itu disuruh mengenakan pakaian yang cantik.

Ditakdirkan drama syarikat itu menang, lalu gadis berpakaian cantik dan seksi itu pun naik ke pentas untuk menerima trofi seperti juga beberapa penerima lain berpakaian seksi sehingga mereka ditegur Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, kerana berpakaian sedemikian.

Blog itu menambah: “Ternyata pakaian yang dipakainya tidak sesuai untuk menghadiri majlis anugerah berprestij seperti Anugerah Skrin yang disiarkan secara langsung dan turut dihadiri orang kenamaan.

“Difahamkan, dia dipecat selepas insiden itu kerana majikannya malu mempunyai pekerja sepertinya sebab dia hadir ke majlis itu mewakili syarikat.”
Gadis ini menjadi mangsa dipecat serta-merta secara lisan tanpa diberi notis atau surat, malah tidak pun dinyatakan sebab dipecat.

Kiranya soal pokok mengenai hak sah seseorang pekerja pun kita tidak dapat memantau dan menentukan majikan tidak akan mengeksploit mereka bagaimana kita hendak melonjakkan negara ke tahap yang diidamkan itu?

Apakah Kementerian Sumber Manusia tidak boleh menyiasat wujudnya syarikat yang mengeksploitasi rakyat sedemikian?

Artikel ini telah diedit bagi tujuan sebaran umum dan pendidikan.