BUKAN satu perkara luar biasa di negara ini apabila wanita
berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik, alih-alih
terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga
anak-anak di rumah. Bukan saranan baharu kita dengar apabila Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mengharapkan lebih
1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing
dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan wanita yang bergelar ibu
menyertai pasaran kerja.
Keciciran kaum wanita berpendidikan tinggi ini daripada pasaran pekerjaan sememangnya amat dirasai. Kerajaan telah berbelanja besar untuk pendidikan
sehingga 68 peratus pelajar di universiti ialah wanita, tapi hanya 48
peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini sudah tentunya
memberikan kerugian besar kepada negara.
Kajian (LPPKN)
mendapati masalah penjagaan anak-anak adalah punca utama wanita di
negara ini menamatkan kerjaya mereka lebih awal. Ini berlaku terutamanya di kalangan wanita berusia lingkungan 35
hingga 39 tahun iaitu sebanyak 71 peratus yang mana di peringkat umur
sebegini adalah kemuncak kerjaya bagi wanita dan pada masa sama
anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu.
Kemudahan taska akan membuka ruang kepada wanita
yang berpendidikan tinggi untuk terus berkerjaya, malah wanita yang
berpendidikan rendah dan sederhana turut menerima manfaatnya. Dalam mengharungi kos sara hidup yang tinggi terutamanya di
bandar-bandar, golongan isteri tidak kira tahap mana pendidikannya turut
membantu suami yang berpendapatan rendah atau gaji sekadar cukup makan
untuk mencari rezeki dan membina ekonomi keluarga yang lebih kukuh.
Tentunya soal penjagaan anak merupakan satu isu yang
cukup besar, yang sering diperlekehkan oleh
majikan apabila pekerjanya memberi alasan datang lewat kerana terpaksa
menguruskan hal-hal anak. Hendak membawa anak ke pejabat pada waktu-waktu genting kerana
pengasuh ada hal kecemasan, tentunya menimbulkan rasa tidak selesa diri
sendiri, anak dan juga pekerja-pekerja sekeliling, yang akan
menjeling-jeling sekiranya anak tersebut menangis atau nakal.
Untuk mencari pembantu rumah pula mendepani ragam pembantu rumah asing dan macam-macam hal, demand dan proses yang
perlu dilalui untuk mengambil mereka bekerja, akan memberi satu lagi
tekanan lain pula. Dalam pada itu, kes penderaan, kecederaan dan kematian bayi dan
kanak-kanak di pusat penjagaan dan jiran yang diberikan tanggungjawab
untuk menjaga anak-anak turut amat merisaukan ibu bapa untuk melepaskan
anak mereka dalam penjagaan orang lain ketika bekerja. Pasti kemudahan taska di tempat kerja terutamanya di sektor-sektor swasta banyak membantu dalam menangani masalah ini.
Dengan insentif yang diberikan oleh kerajaan menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari
dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak jika kemudahan ini diwujudkan
di syarikat-syarikat swasta, sepatutnya tiada kekangan yang besar untuk
menyediakannya. Jika syarikat-syarikat besar terutamanya boleh dan mampu berbelanja
sakan untuk projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) setiap tahun,
membantu masyarakat susah di luar sana, mengapa tidak memperuntukkan kos
tertentu untuk membina kemudahan taska untuk kebajikan
pekerja-pekerjanya sendiri.
Bina ruang untuk beriadah untuk pekerja-pekerjanya,
ruang kafe yang besar dan ada pula syarikat besar yang boleh meletakkan
pusat rawatan kecemasan di premisnya, mengapa tidak boleh membina ruang
untuk taska. Kemudahan ini akan menyebabkan pekerja-pekerja
berasa tenang untuk bekerja kerana tidak perlu terkejar-kejar
menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan. Mereka boleh meluangkan masa dengan anak-anak yang
berada di depan mata pada waktu rehat dan mungkin juga akan mengurangkan
masa kepada pekerja-pekerja yang gemar berkunjung ke pusat-pusat beli
belah pada waktu makan tengah hari terutamanya pada waktu rehat yang
panjang, iaitu hari Jumaat. Dengan lebih terurus, mereka akan ada masa yang berkualiti
untuk anak-anak, dan pada masa yang sama mereka akan lebih fokus pada
kerja.
Jika majikan bimbang, pejabat akan `beroperasi seperti pusat jagaan
anak-anak pula, peraturan-peraturan tertentu boleh dibuat bagi
memastikan kemudahan itu tidak sama sekali menganggu perjalanan dan
urusan kerja. Pun begitu, dalam menyediakan pusat taska di tempat kerja, soal
keselamatan, tenaga penjaga, kemahiran, dan kepakaran perlu diberi
penekanan, agar tidak diadakan sekadar tangkap muat.
Ini penting, agar taska di pejabat-pejabat ini tidak membawa masalah
sama yang sering berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak lain atau
pengasuh yang beroperasi di rumah yang akhirnya memberikan tekanan yang
serupa kepada ibu yang bekerja.
Wednesday, October 10, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment