Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Thursday, January 6, 2011

Masih ramai lulusan universiti bergaji kecil

Utusan Online - 6.1.2011
oleh Rejal Arbee- Felo Kanan UKM

AKHIR-AKHIR ini kita begitu ghairah hendak melonjakkan negara dari kedudukannya sekarang sebagai negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Maka pelbagai usaha dijalankan kerajaan untuk mencapai matlamat ini.

Dalam pada itu apakah realitinya kalau dilihat daripada keadaan yang wujud sekarang? Benar kerajaan berazam melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) untuk mengubah nasib golongan berpendapatan rendah, iaitu kurang daripada RM1,500 sebulan yang dikatakan mewakili lebih 46 peratus daripada tenaga kerja negara untuk menerima pendapatan tinggi menjelang 2020. Antara mereka yang berpendapatan rendah ini termasuk juga lulusan universiti.
Mungkin mereka yang bernasib baik akan mendapat pekerjaan dengan syarikat besar, syarikat berkaitan kerajaan atau dengan kerajaan. Mereka akan menerima ganjaran setimpal dengan kelulusan. Tetapi dengan pendapatan melebihi RM2,000 sebulan pun mereka akan hanya dapat menampung kehidupan seharian dengan membayar sewa bilik, belanja pengangkutan untuk pergi balik bekerja dan belanja makanan.
Apa pun tidak juga ada maknanya berpendapatan tinggi tetapi masih tidak mampu memiliki rumah sendiri. Kalau hendak membeli kereta pun terpaksa berhutang hingga tujuh tahun untuk melangsaikannya.

Untuk menampung keadaan sekarang pinjaman kepada pembeli rumah dilonggarkan dengan tempoh bayaran balik melebihi 30 tahun, iaitu kalau sudah bersara pun rumah masih tergadai dengan bank hinggakan bank sudah pun mengadakan peraturan bayaran balik pinjaman rumah boleh diambil alih oleh anak.

Inilah keadaan yang dihadapi rakyat. Apa yang perlu ialah menentukan rakyat biasa mampu membeli rumah mereka sendiri tanpa perlu berhutang hingga sudah bersara masih belum dapat melangsaikan piutang dengan bank.

Maka itu apakah seorang lulusan universiti yang sudah bekerja lima tahun misalnya sudah mampu untuk membeli rumahnya sendiri? Kalau dilihat keadaan sekarang, ini tidak mungkin. Harga rumah berterusan melambung tanpa ada hadnya. Rumah teres di sesetengah tempat pun kini sudah ada yang mencecah jutaan ringgit.
Kerajaan wajar memastikan rakyat dapat memenuhi tiga keperluan utama dalam kehidupan mereka, iaitu mampu menyara diri sendiri dan anak isteri, mampu memiliki rumah sendiri dan mampu pula berulang alik ke tempat kerja dengan mudah atau pun mampu memiliki kereta sendiri.

Maknanya kerajaan harus menentukan adanya pelbagai skim menyediakan rumah mampu dibeli pekerja demikian ini.

Inilah keperluan minimum setiap pekerja. Apakah menjelang 2020 nanti kita akan dapat menjamin bahawa majoriti pekerja kita boleh memenuhi kehendak ini?

Kalau dilihat keadaan yang wujud sekarang kita sememangnya menghadapi suatu keadaan yang sungguh mencabar untuk mencapai impian ini walaupun dengan adanya pelbagai inisiatif strategik untuk menjayakan MBE yang diumumkan kerajaan hampir setahun lalu.

Buat masa ini seorang lulusan universiti pun menghadapi pelbagai cabaran mendapatkan pekerjaan hinggakan ada di antara mereka berterusan dieksploitasi oleh banyak majikan syarikat kecil yang mengambil mereka bekerja tanpa diberikan surat pelantikan.

Syarikat seperti agensi pengiklanan, syarikat pembikinan filem atau syarikat yang menguruskan acara peristiwa banyak mengambil lulusan universiti hanya secara lisan. Mereka tahu bahawa lulusan itu akan menerima saja pekerjaan walaupun secara lisan asalkan dapat menerima gaji yang boleh menyara kehidupan mereka di kota.

Maka dengan itu pekerja ini tidak akan tersenarai sebagai pekerja dan tidak mempunyai apa-apa pun hak sebagai pekerja. Jadi mereka bekerja mengikut suka hati pemilik syarikat itu tanpa mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tidak berhak mendapat perbelanjaan rawatan kiranya jatuh sakit, tidak mempunyai sebarang cuti sakit dan kalau tidak bekerja pada hari-hari sakit gaji bulanan akan dipotong mengikut jumlah hari yang dia tidak datang bekerja.

Demikian pula waktu bekerja juga panjang hingga ada yang perlu bekerja hingga larut malam jika dikehendaki menyiapkan sesuatu projek yang diterima majikan tanpa diberikan bayaran lebih masa.

Mereka juga boleh diberhentikan dengan mudah hanya dengan lisan tanpa sebarang alasan munasabah.

Inilah yang dialami seorang gadis muda lulusan bidang penyiaran dari UiTM baru-baru ini yang dipecat majikan sebuah syarikat pembikinan filem. Walaupun dia telah mewakili syarikatnya naik ke pentas menerima hadiah pada majlis Anugerah Skrin TV3 baru-baru ini tetapi dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang bukti bahawa dia adalah pekerja syarikat produksi berkenaan.

Kisahnya dimuatkan dalam blog ‘Sifu.Net’ yang kebetulan dikendalikan rakan majikan gadis malang itu. Blog itu menyatakan pemilik syarikat itu mewakilkan gadis berkenaan naik ke pentas menerima hadiah kerana majikannya tidak dapat hadir. Gadis itu disuruh mengenakan pakaian yang cantik.

Ditakdirkan drama syarikat itu menang, lalu gadis berpakaian cantik dan seksi itu pun naik ke pentas untuk menerima trofi seperti juga beberapa penerima lain berpakaian seksi sehingga mereka ditegur Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, kerana berpakaian sedemikian.

Blog itu menambah: “Ternyata pakaian yang dipakainya tidak sesuai untuk menghadiri majlis anugerah berprestij seperti Anugerah Skrin yang disiarkan secara langsung dan turut dihadiri orang kenamaan.

“Difahamkan, dia dipecat selepas insiden itu kerana majikannya malu mempunyai pekerja sepertinya sebab dia hadir ke majlis itu mewakili syarikat.”
Gadis ini menjadi mangsa dipecat serta-merta secara lisan tanpa diberi notis atau surat, malah tidak pun dinyatakan sebab dipecat.

Kiranya soal pokok mengenai hak sah seseorang pekerja pun kita tidak dapat memantau dan menentukan majikan tidak akan mengeksploit mereka bagaimana kita hendak melonjakkan negara ke tahap yang diidamkan itu?

Apakah Kementerian Sumber Manusia tidak boleh menyiasat wujudnya syarikat yang mengeksploitasi rakyat sedemikian?

Artikel ini telah diedit bagi tujuan sebaran umum dan pendidikan.

Wednesday, October 13, 2010

Memperkasakan pendidikan vokasional

Oleh MOHD. RIZAL AZMAN RIFIN

ISU pendidikan sejak kebelakangan ini sering menjadi paparan media dan antara yang terbaru diperkatakan ialah soal transformasi dalam pendidikan vokasional.

Atas hakikat penting mengarusperdanakan pendidikan vokasional, maka kena pada masanyalah satu transformasi jitu mesti diambil bagi mengangkat martabat pendidikan vokasional sebagai aliran pendidikan yang menjadi pilihan pelajar.

Kemajuan pesat dalam sektor industri yang sedang rancak berjalan sekarang sudah pasti akan mengalami gangguan sekiranya tenaga mahir tidak dapat disediakan. Justeru, langkah transformasi itu mesti digerakkan dengan lebih tersusun dan memerlukan perancangan yang rapi.

Soal mengapakah penyertaan pelajar masih rendah dalam bidang vokasional itu dapat diatasi sekiranya segala informasi selengkapnya dapat diberikan lebih awal kepada para pelajar. Selain itu, pihak Kementerian Pelajaran melalui sekolah seharusnya membetulkan persepsi negatif terhadap pelajar bidang vokasional.

Kerana selama ini, umum menganggap para pelajar vokasional itu tergolong dalam kalangan yang lemah. Jika halangan persepsi sebegini dapat di atasi, tidak mustahil, pendidikan vokasional menjadi rebutan pelajar sebagaimana yang telah berjaya dilaksanakan di negara-negara Eropah. Di sana, penyertaan pelajar dalam bidang vokasional sudah mencapai 50 peratus.

Dengan ura-ura untuk menjadikan bidang vokasional sebagai mata pelajaran di sekolah rendah lagi, diharapkan ia akan menjadi faktor pemangkin kepada tumbuhnya minat mendapat generasi muda kepada pendidikan vokasional itu.

Tetapi, satu hal seharusnya difikirkan oleh kerajaan ialah transformasi pendidikan aliran vokasional biarlah dilaksanakan dalam kerangka yang menepati kehendak pasaran kerja di bidang industri. Oleh itu, subbidang mata pelajaran hendaklah menjuruskan kepada keperluan semasa dan anggaran masa depan.

Dalam merencanakan perkara ini, peranan sektor swasta (industri) seharusnya dibawa bersama dalam transformasi tersebut. Contoh peranan yang boleh dimainkan oleh sektor industri dalam merancakkan pendidikan vokasional ialah menjemput tenaga pakar industri sebagai tenaga pengajar jemputan di sekolah-sekolah vokasional. Dengan kaedah seperti itu, pendedahan awal dan maklumat secara langsung dapat disalurkan kepada pelajar.

Selain itu, para lepasan pendidikan vokasional juga hendaklah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan cadangan menaikkan taraf politeknik sebagai universiti baru-baru ini, maka dirasakan ruang boleh disediakan untuk pelajar aliran vokasional itu menyambung pendidikan mereka.

Jadi, kita berharap kesungguhan kerajaan dalam menyemarakkan pendidikan vokasional akan memberi ruang dan peluang yang lebih besar kepada para pelajar.

Rancangan penstrukturan semula sistem pendidikan vokasional pasti ditunggu-tunggu oleh semua pihak kerana semua ingin melihat bidang ini menjadi teras utama dalam sistem pendidikan negara.

Kita juga berharap kerajaan melalui Bajet 2011 akan menyalurkan peruntukan yang lebih besar agar segala perancangan dan agenda mengarusperdanakan pendidikan vokasional tidak terbantut.

Tuesday, September 8, 2009

PULANGLAH - SELAMAT HARI RAYA-

Ibu? bergenang airmataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan
Tidak pun kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa

Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu telah terkorban
Tak dapat ku balasi
Akan semua ini
Semoga Tuhan membekati kehidupanmu ibu?

Ibu? kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letak syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang kau berikan

Ibu? kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letaknya syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasihanilah, Tuhan?
Ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana

Wednesday, August 5, 2009

PERUTUSAN PENGERUSI KKS 2009

Assalamualaikum & Salam Sejahtera Kepada Semua Ahli KKS,


Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli KKS sehingga terbinanya Blog KKS ILP Labuan. Sesungguhnya melaluinya blog ini , saya yakin dan percaya KKS kita mungkin boleh mengorak langkah lebih maju ke hadapan. Melalui ruangan ini juga mungkin ada sesetengah daripada ahli KKS boleh menyampaikan maklumat, cadangan, komen atau perkara yang boleh memberi faedah kepada kita semua.

Blog ini adalah julung kali diadakan dan mungkin dari masa ke semasa dengan adanya sokongan dan sumbangan idea dari ahli semua, segala aktiviti yang dilakukan boleh dimuatkan di sini supaya boleh dilayari oleh semua ahli KKS. Sebenarnya banyak aktiviti-aktiviti sukan, kebajikan dan jamuan perpisahan yang dijalankan boleh dimuatkan di sini untuk dikongsi semua warga ILP Labuan khususnya dan seluruh JTM amnya.

Akhirnya saya menyeru kepada semua warga ILP Labuan agar memberi sumbangan idea dan buah fikiran supaya KKS kita boleh lebih maju dan memberi munafaat kepada semua warga ILP Labuan. Sesungguhnya usaha murni, sokongan, dorongan dan kesepakatan boleh mewujudkan sesuatu organisasi yang mantap dan berdaya maju.

Sekian, terima kasih.

Che Jaffar Bin Mohamad,
Pengerusi,
Kelab Kebajikan & Sukan,
Institut Latihan Perindustrian Labuan 2009

Wednesday, July 22, 2009

Thursday, July 16, 2009

SELAMAT DATANG KE BLOG KKS ILP LABUAN

Semua ahli adalah dijemput untuk memberikan sumbangan penulisan di dalam blog ini