Monday, August 13, 2012

Apabila pendidikan jadi komoditi perdagangan

Oleh Dzulkifli Abd Razak - Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary dan bekas Naib Canselor USM (2000-2011) - B. Harian Online - 14.8.2012

Kebelakangan ini kita sering terbaca bagaimana sukarnya untuk mengendalikan sesebuah universiti, khususnya yang bukan ditaja Kementerian Pengajian Tinggi. Soal utama sudah tentu bersangkutan dengan hal kewangan kerana secara lazimnya sesebuah universiti itu adalah satu pelaburan yang besar dan hanya mendatangkan ‘pulangan’ dalam masa yang agak lama.

Berbeza dengan perniagaan lain, umpamanya dari aspek pembuatan, pendidikan (walau ingin dianggap sebagai perniagaan) tidak dapat disamakan daripada kefahaman untung rugi bagi sesebuah perniagaan.
Bayangkan saja selain daripada pelaburan untuk membangunkan hal-ehwal akademik, universiti terpaksa juga melabur mengenai pembangunan hal-ehwal pelajar termasuk prasarana seperti tempat rehat mereka, jika tidak asrama, tempat beriadah dan bersukan, mahupun segala peralatan yang sesuai kerana ini semua termasuk dalam pengertian pendidikan sebenarnya.

Sekiranya aspek penyelidikan diambil kira untuk sebuah universiti yang dianggap baik, ini akan menelan kos tambahan yang banyak. Hatta tanpa keupayaan menanggung pembiayaan secara berterusan kekangan kewangan sudah tentu menjadi penghalang besar bukan saja untuk mencemerlangkan sesebuah institusi itu tetapi baik setakat untuk bernafas lega sekali pun.

Oleh sebab itu jugalah di merata dunia kini, termasuk negara ekonomi kaya sekalipun, yuran pengajian anak tempatan ditingkatkan berlipat kali ganda. Contoh yang jelas ialah apa yang berlaku di Britain sejak kebelakangan ini apabila yuran dinaikkan hampir tiga kali ganda mencecah £9,000.

Bezanya di Malaysia adalah rata-rata yuran pengajian dikawal oleh kerajaan menerusi kementerian dan tidak boleh ditingkatkan sewenang-wenangnya. Di Malaysia, yuran pengajian secara umumnya tidak dapat dijadikan sumber utama pendapatan untuk tujuan menampung pembangunan universiti keseluruhannya.
Perkara ini menjadi lebih rumit lagi sekiranya diambil kira aspek autonomi yang memberi kebebasan kepada universiti untuk memimpin, mengurus dan mentadbir mengikut matlamat dan falsafah masing-masing.

Universiti swasta, misalnya boleh menentukan kadar yuran sendiri kerana daya pasaran mampu mendukungnya atau mengadakan pelbagai program berbentuk komersial bagi tujuan menampung pembiayaan universiti berkenaan. Itu belum lagi mengambil kira perubahan mendadak yang berlaku kepada pengajian tinggi di seluruh dunia, termasuk penggunaan teknologi canggih untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Malah kepelbagaian kini dikatakan sebagai tonggak penting mendapatkan pengalaman untuk pengajian tinggi. Ia bermaksud keupayaan menampung pembiayaan seumpama ini juga diperlukan sekiranya universiti berkenaan mahu menarik minat pelajar mendaftar untuk mengikuti programnya.

Pendek kata, pembiayaan akan jadi lebih meruncing, terutama apabila program pertukaran itu membabitkan negara maju dengan kos sara hidup yang lebih tinggi. Memandangkan semua ini ramai pakar pendidikan mengatakan bahawa untuk menguruskan sesebuah universiti bukan semudah dijangka. Malah ada yang menganggap bahawa universiti adalah satu-satunya organisasi sukar untuk diurus.

Urus tadbir korporat atau perniagaan yang sering dikenakan kepada universiti rata-rata tidak sesuai jika diambil kira pandangan alam sesebuah universiti sebagai satu institusi yang mementingkan kemakmuran negara dan masyarakat mendahului kepentingan lain.Dalam hal ini, universiti mempunyai aspirasi tinggi sebagai institusi yang pasrah mencari kebenaran bersumberkan ilmu pengetahuan, sambil warganya berazam mempertahankan kebenaran sepenuh jiwa raga sebagai ilmuwan.

Pertimbangan seumpama inilah yang membuatkan universiti itu begitu sukar diurus tanpa berkompromi dengan soal pokok yang mutlak bagi perkembangan ilmu. Ini menjadi semakin rumit jika kefahaman pendidikan diselewengkan pula oleh pihak lain sebagai satu komoditi yang boleh diperdagangkan untuk menampung perjalanan universiti berkenaan, sekali gus menggadaikan apa itu ‘kebenaran’ serta nilai yang berkaitan dengannya.

Umumnya universiti yang cenderung kepada mencari keuntungan mendahului soal kebenaran sudah hilang sifat dan fungsinya sebagai sebuah universiti yang hakiki.

Thursday, June 21, 2012

Ketepi sempadan kerja

Pendekatan batas bidang kuasa jejas aspirasi rakyat: PM - Berita Harian Online 22.6.2012

PUTRAJAYA: Pecahkan tembok antara kementerian serta agensi serta jangan terlalu taksub menjaga sempadan kerja masing-masing, kata Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Perdana Menteri, pendekatan membataskan bidang kuasa tidak boleh diguna pakai kerana rakyat mahukan penyelesaian inovatif dan kreatif.
“Aspirasi rakyat tidak dapat dipenuhi jika kementerian dan agensi kerajaan bersikap terlalu ‘teritorial’ (taksub menjaga sempadan) selain cenderung melindungi ‘turf’ (laman) sendiri. Kita menjaga bidang kuasa masing-masing tetapi tidak memikirkan jika merentasi sempadan, kita bukan saja boleh mencetuskan keputusan, malah hasil juga jauh lebih tinggi. “Sebab itulah kita melancarkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan, di mana kita cuba pecahkan tembok antara kementerian dan agensi. Banyak kejayaan dicapai dengan aplikasi kreatif dan inovatif dalam setiap penyelesaian. “Apa pun dasar atau peraturan kita buat, tidak boleh satu rumusan untuk semua masalah, sebaliknya mesti ada pengecualian kepada realiti,” katanya semalam.
Perdana Menteri juga menekankan mengenai keperluan memahami kumpulan sasar dan jangan hanya melihat sesuatu kes sebagai gambar atau angka kerana di sebaliknya ada individu yang perlu dibantu. “Atas kertas, kita lihat orang ini ada anak bekerja, ada pendapatan, ada rumah dan tidak perlu bantuan tetapi hakikat anaknya kini cuba mengusirnya dari rumah tidak diketahui jika tidak turun padang. Orang seperti ini harus kita pertimbangkan untuk bantuan kerana dia terdesak berikutan perbuatan anak sendiri. Pegawai kebajikan mesti faham aspek ini,” katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memerlukan model ekonomi mapan untuk terus berkembang dengan hasil negara meningkat, sekali gus menambah sumber kewangan yang boleh diagih pada sektor sosial. Katanya, semua kementerian dan agensi kerajaan perlu pendekatan lebih kreatif dan inovatif untuk mencari sumber tambahan daripada pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta bagi melaksanakan lebih banyak program kebajikan rakyat.

Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran dan pemantapan kerja kakitangan ILP Labuan.

Monday, May 28, 2012

Belajarlah dari sejarah demi masa depan

Utusan Online - 27.5.2012

   SEJARAH bukan benda mati. Malah sejarah tidak pernah mati. Tapi sejarah adalah cermin untuk menoleh masa lampau bagi menyuluh masa depan. Sebab itulah orang tua-tua selalu berpesan, belajarlah dari sejarah.
Kalau yang buruk janganlah diulangi, yang baik teruslah ditambah baiknya.
Kalau menoleh sejarah awal industri filem di Singapura, Melayu hanya di depan kamera dan sedikit sahaja di belakang kamera. Orang Melayu dipancar kemilau bintang, tapi kemilau itu tak lama. Sedikit demi sedikit ia malap dan terus padam. Yang mengaut untung dari kemilau orang Melayu di Singapura dulu adalah kapitalis Cina dari Hong Kong iaitu Run Run Shaw dan adiknya. Kemudian mereka membuka industri filem Melayu berpusat di Jalan Ampas, Singapura.Shaw membawa pengarah filem dari India untuk mengarah filem Melayu. Mereka mengambil pelakon bangsawan dan cerita bangsawan untuk mengalih minat orang Melayu kepada filem, yang amat asing ketika itu. Filem ternyata berjaya dan membunuh teater tradisi bangsawan.
   Kini Shaw sudah tiada. Tapi harta yang ditinggalkan sebahagiannya disumbangkan dari penerbitan filem di Singapura kepada cucu cicitnya. Mereka hidup mewah kerana kekayaan Shaw tak habis makan tujuh keturunan. Tapi bagaimana pula orang Melayu yang dulunya penuh kemilau di depan kamera? Mereka menyumbang kekayaan kepada kapitalis Cina ini akhirnya hidup dihimpit kesusahan.
Orang Melayu dipergunakan secara terhormat. Mereka didodoikan dengan populariti yang sementara. Tapi kapitalis Cina mengaut keuntungan sepanjang zaman. Sekarang ini kalau kita hendak menonton filem-filem Jalan Ampas, kena bayar berjuta-juta ringgit kepada pemilik hak ciptanya. Padahal itu filem kita.
Siti selalu membayangkan, kalaulah ketika itu orang Melayu tidak mahu berkerja dengan kapitalis Hong Kong itu, apakah mereka boleh terus mengaut kekayaan dari negara ini?
   Apabila membaca penderitaan beberapa bintang popular zaman Jalan Ampas pada usia tuanya, kita kena mengambil iktibar daripada sejarah ini.
Bukan menyalahkan generasi pertama seniman filem kita itu. Tapi renungilah sejarah dan usah mengulangi sejarah itu pada masa ini. Kalau di Singapura dulu, orang Cina buat filem Melayu dan bawa balik kekayaan ke negara mereka. Sekarang janganlah biarkan orang lain kaut kekayaan hasil filem Melayu. Tak usahlah tolong membodohkan Melayu dalam filem Melayu. Kemudian hasilnya memberi untung kepada orang lain, bukan orang Melayu. Siti fikir adalah tidak bermoral mereka yang bersekongkol memberi wajah buruk dan hodoh kepada orang Melayu. Siti fahamlah, kita semua ini kena berkerja untuk menyara keluarga. Tapi taklah sampai sanggup memburuk dan menghodohkan bangsa sendiri. Hasilnya pula tak sebanyak mana.
Kalau orang Melayu hodoh perangainya dalam filem Melayu, bukan tauke filem yang salah.
   Orang Melayu yang terlibat dalam filem Melayu itu yang salah. Mereka langsung tidak ada patriotik padahal kuasa di tangan mereka. Kalau mereka tidak mahu berlakon atau mengarah filem yang membodohkan Melayu, tauke tidak boleh buat apa-apa. Ini mereka yang lebih-lebih membodohkan Melayu dengan upah yang tidak sepadan. Orang Melayu yang terlibat dalam filem begini segeralah insaf. Memanglah sekarang ini boleh hidup kaya raya, dapat bonus kereta mewah dan banglo mewah. Tapi itu sahajakah matlamat mereka? Fikirlah sama tentang bangsa Melayu ini.

Nota: Artikel ini telah diedit untuk tujuan pembelajaran dan sebaran umum di ILP Labuan sahaja.

Friday, May 18, 2012

Kedudukan bahasa Melayu di sektor awam.

Oleh Azman Anuar - Utusan Online 18.5.12

SEKARANG, walaupun ramai orang besar kata mereka sentiasa mendaulatkan bahasa Melayu tetapi hakikatnya tidaklah sedemikian. Dalam bab memartabatkan bahasa rasmi negara ini, ia masih meragukan.
Bukan sahaja ‘pembesar-pembesar’ dalam dunia korporat Melayu tidak mengutamakan pengiklanan dalam bahasa Melayu di media dan akhbar tempatan, malah program-program anjuran jabatan kerajaan pun ada dibuat dalam bahasa Inggeris.
Ada yang tanpa rasa malu mengetengahkan bahasa Inggeris pada program atau tayangan video/slide.
Sepatutnya sebagai jabatan kerajaan, mereka mengutamakan bahasa Melayu. Kalau pun program bersama bukan Melayu, semua pihak wajib tahu berbahasa Melayu.
Kalau pegawai tertinggi kerajaan tidak menghormati dan memartabatkan bahasa Melayu, janganlah kita terlampau mengharapkan syarikat bukan Melayu akan mematuhinya.
Saban tahun kita asyik membicarakan tentang bahasa kebangsaan yang semakin hilang tempatnya.
Jangan kita salahkan orang bawahan jika orang atasan terutama pemimpin kerajaan sendiri ‘malas’ untuk mengangkat bahasa ibundanya sendiri.Sebab itu masyarakat Cina dan India mempertahankan bermati-matian sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil daripada ditutup. Mereka tidak mahu perkembangan bahasa dan tulisan ibunda masing-masing terhapus sebagaimana sedang dialami oleh tulisan jawi yang menjadi warisan orang Melayu.
Kita asyik menafikan bahasa Melayu tidak diabaikan dalam segala urusan terutama sektor awam tetapi hakikatnya tanpa disedari bahasa itu menjadi ‘eksklusif’ hinggakan malu untuk dipertuturkan. Kadangkala dalam majlis rasmi kerajaan dan mesyuarat pun bahasa Inggeris yang dikumandangkan.
Bukan tetamu yang hadir tidak tahu bahasa Melayu, tetapi mulut mudah memantulkan bicara dalam bahasa Inggeris. Mengapa jadi begini? Mungkin kita harus terima hakikat, generasi berpendidikan aliran Inggeris masih ada dalam tampuk pimpinan kerajaan dan swasta. Jadi mereka masih kurang peka dan ‘terbiasa.’
Saf-saf kepimpinan ini akan bersara dalam beberapa tahun mendatang. Tempat mereka akan diambil pula oleh generasi aliran bahasa Melayu sepenuhnya. Entahlah, apakah saf kepimpinan aliran bahasa Melayu ini boleh diharapkan atau tidak untuk mengembalikan martabat penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan kerajaan.

Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran di ILP Labuan

Sunday, March 11, 2012

Angkat imej perkhidmatan awam


SBPA memang sempat bermula. Perjalanan pelaksanaannya amat pantas. Akhir Januari lalu, kumpulan yang memilih SBPA telah pun dibayar gaji baru. Ketika Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membuat bantahan, sebahagian peruntukan kewangan telah pun berlegar kepada para penerimanya. Apabila SBPA dibatalkan, tentunya timbul persoalan perlukah ia dikembalikan. Penerima premier berjanji untuk memulangkan hak sementara itu. Khabarnya mereka sendiri terkejut melihat perubahan gaji yang amat ketara jumlahnya itu dan tidak keberatan mengembalikan kepada kerajaan lantaran memahami kedudukan kewangan negara.
Keterujaan lebih 1.4 juta kakitangan awam berkisar kepada soal imbuhan. SBPA disanggah kerana kenaikan gaji yang amat tidak setara sehingga mewujudkan senario dua darjat antara kumpulan sokongan dengan pengurusan terutamanya Jawatan Utama Sektor Awam dan Turus.

Tun Ahmad Sarji menekankan tentang kualiti penjawat awam yang menjadi penentu mutu perkhidmatan kepada rakyat dan negara. Beliau bercakap soal ketegasan dan rasa hormat terhadap perkhidmatan awam yang perlu dipelihara. Sebolehnya jangan ada ruang untuk kegagalan, pada masa yang sama laluan terhadap penambahbaikan mesti sentiasa terbuka.
Perkhidmatan awam bukan semata-mata gaji dan imbuhan. Komitmen, cekap, ikhlas, jujur umpama warna pelangi yang saling melengkapi. Hilang satu warna bukan pelangi namanya. Jaluran pelangi tidak akan sempurna jika satu warna hilang atau tercicir. Begitu juga dalam perkhidmatan awam, apabila ciri-ciri yang menjadi darah daging penjawat awam tercicir maka tanggungjawab tidak akan dapat disempurnakan. Sebab itu apabila bercakap tentang perkhidmatan awam, bukan hanya soal gaji. Bukan berapa peratusan pelarasan, bukan juga siapa dan apa yang mereka peroleh semata-mata. Hakikatnya perkhidmatan awam yang ramai anggotanya amat eksklusif sehinggakan martabatnya perlu dipelihara. Jika ada rungutan atau aduan tentang kecacatan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam maka martabatnya jatuh.

Dalam erti kata lain perkhidmatan awam mesti bernafas seiring dengan arus kemajuan dan pembangunan. Kepesatan negara menuntut pemain-pemain di dalam perkhidmatan awam bergerak pantas, bersifat responsif, peka kepada tuntutan semasa, kreatif, inovatif dan pelbagai lagi. Pembaharuan demi pembaharuan menjadikan sektor awam hidup tanpa ada tarikh luputnya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menekankan tentang peri penting penjawat awam beralih dari tradisi birokrasi. Memperkatakan tentang sektor awam maka istilah paling popular atau sinonim adalah birokrasi dan hierarki yang merimaskan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi ada melahirkan rasa pelik tentang birokrasi keterlaluan - sekeping surat pekeliling akan turun naik dari ketua jabatan ke pengarah, ketua pengarah, ketua setiausaha yang kemudiannya turun semula mengikut carta aliran sebelum boleh dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan.

Prosedur ketat dan lapisan hierarki yang keterlaluan melambatkan proses penyampaian maklumat sehingga tindakan segera tidak dapat dilaksanakan tentunya mematikan keberkesanan penyampaian awam.

Fleksibel

Untuk membolehkan malar segarnya sektor awam sebagaimana pihak korporat dan swasta maka tentunya segala amalan ketat mesti diubah menjadi lebih fleksibel supaya dapat memenuhi tuntutan yang sentiasa berubah terutamanya dalam keadaan di luar jangka. Contoh paling mudah kesesakan jalan raya luar biasa di bandar raya Kuala Lumpur kelmarin. Kejadian itu cukup untuk semua pihak mengukur sejauh mana cekap, responsif dan fleksibelnya perkhidmatan awam di negara ini yang mana kakitangannya baru saja menerima berita gembira 13 peratus pelarasan gaji. Sejauh mana kreatif serta inovatifnya jabatan terlibat dalam menangani kesesakan yang menimbulkan kemarahan orang ramai sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti kecemasan. Perkhidmatan awam bukan sekadar melaksanakan kerja-kerja di pejabat. Biar pun perkhidmatan di kaunter awam diakui semakin meningkat namun dalam menangani keadaan di luar jangka yang melibatkan sektor awam, kelemahan masih ketara.
Perubahan sektor awam supaya lebih kreatif, responsif dan pelbagai lagi itu bertujuan mewujudkan sebuah jentera pentadbiran yang lebih kemas dengan saiz anggota yang sesuai. Jangan pula umpama tikus membaiki labu, apabila perubahan yang dibuat hanya mengisi ruang-ruang yang sebenarnya tidak diperlukan dan akhirnya menambah birokrasi dan hierarki. Dalam sektor awam menuju fleksibiliti, mereka kembali kepada tradisi yang akan membunuh kecekapan sektor awam itu sendiri. Seperkara lagi yang sering menimbulkan rajuk kakitangan awam apabila jawatan baru diwujudkan, yang mengisinya adalah orang luar. Kewujudan kategori premier dalam SBPA amat jelas menjurus ke situ apabila jawatan itu turut dibuka kepada orang luar seolah-olah menafikan kebolehan penjawat awam itu sendiri.
Ingatlah kepada piagam pelanggan yang menghiasi dinding-dinding di jabatan awam. Setiap sen yang diperoleh baik menerusi Sistem Saraan Baru, Sistem Saraan Malaysia mahu pun SBPA yang hanya sebulan usianya perlu berlandaskan mutu perkhidmatan kakitangan awam dalam menyampaikan perkhidmatan masing-masing.
Pembatalan SBPA perlu disusuli dengan penambahbaikan mindset penjawat awam sejajar dengan peranan sebenar sektor awam yang hakikatnya sangat penting jika mahu dibandingkan dengan sektor-sektor lain yang agak terhad fungsinya.
Paling penting setiap perubahan yang hendak diperkenalkan mesti benar-benar difahami dan menjalani proses perbincangan berterusan. Sebelum sesuatu dasar dapat dilaksanakan terutama jika melibatkan keseluruhan penjawat awam maka beri penerangan dan buka ruang untuk maklum balas. Jangan nanti terjadi seperti mana pelaksanaan SBPA yang prosesnya berlangsung secara senyap dan sulit tetapi pantas sehingga akhirnya apabila tembelang pecah baunya tidak dapat ditahan. Tentunya ada yang tidak betul dalam perjalanan SBPA sehinggakan bantahan terhadap pelaksanaannya tidak dapat ditahan membawa kepada pembatalan Khamis lalu.

* Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran dan pengetahuan warga ILP Labuan.

Tuesday, February 7, 2012

Persediaan hadapi masyarakat tua

Jaga kesihatan sejak muda agar nikmati kehidupan usia persaraan
Berita Harian - 8.2.2012

HARI ini jangka hayat seseorang lelaki Malaysia ialah 72 tahun atau mungkin lebih, manakala wanita pula lebih kurang 77 tahun atau lebih. Ini adalah satu pencapaian membanggakan berbanding 55 tahun lalu ketika zaman kemerdekaan yang mana purata jangka hayat lelaki hanya lebih kurang 56 tahun dan wanita 58 tahun.
Purata jangka hayat yang lebih panjang adalah antara petanda kemajuan negara, hasil daripada rawatan penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan lebih baik serta taraf hidup lebih tinggi. Di negara membangun seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, lebih ramai penduduk mencapai usia lanjut sedangkan bilangan bayi dilahirkan semakin berkurangan. Akibatnya, ada lebih ramai golongan tua dalam kalangan masyarakat atau apa yang dikenali sebagai masyarakat tua.
Fenomena masyarakat tua juga berlaku di negara sedang membangun seperti China, India dan Indonesia yang diramalkan akan memiliki jumlah penduduk tua terbesar di dunia. Laporan Banci Malaysia 2010 meramalkan bahawa kita mungkin menjadi masyarakat tua pada 2024, jika trend populasi semasa ini berterusan.

Sambil kita menikmati hasil kejayaan, kita tidak boleh mengabaikan kesan-kesan di sebaliknya. Usia lanjut biasanya sinonim dengan keuzuran seperti penyakit dan kurang upaya. Kebanyakan penyakit kronik dan keadaan degeneratif seperti penyakit kardiovaskular, serebrovaskular dan kanser mencapai tahap kemuncak dalam kalangan orang tua, terutama jika risikonya tidak dicegah pada usia muda.

Kebanyakan daripada kita boleh berharap menikmati kehidupan pasca persaraan bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun. Namun pada kebiasaannya ini adalah tempoh pergolakan apabila kita cuba sesuaikan diri dengan hakikat kehilangan kedudukan atau peranan disandang sepanjang sebahagian besar zaman dewasa dulu.

Sebahagian besarnya zaman tua adalah tempoh ketidaktentuan yang dipenuhi pelbagai cabaran. Bagaimanapun, di sebalik cabaran itu, timbul beberapa peluang yang boleh dimanifestasikan pada fasa usia ini – ia adalah lembaran baru apabila kerjaya baru boleh diceburi, minat baru diterokai dan peluang yang tercicir sebelum ini boleh direbut semula.
Pun begitu, semua ini hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat kita mempunyai ‘jangka kesihatan’ yang lebih baik, di samping panjang umur. Kita tidak mahukan masyarakat tua dihimpit pelbagai masalah penyakit dan kurang upaya, sebaliknya kita mahukan sebuah masyarakat sihat, produktif dan aktif. Malah ini antara daya usaha utama Kementerian Kesihatan, iaitu ‘Kesihatan Sepanjang Hayat’.

Dr Philip Poi, seorang pakar geriatrik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya mengkategorikan masyarakat tua dalam dua kumpulan, iaitu tua yang muda dan tua yang tua. Generasi tua yang muda adalah mereka yang terus aktif dalam kalangan masyarakat dan di rumah. Generasi tua yang tua adalah mereka yang tidak dapat memberikan sumbangan lagi kepada masyarakat kerana keadaan yang semakin uzur atau keadaan mental yang merosot.

Jika sebahagian besar penduduk negara terdiri daripada tua yang tua, mereka bergantung kuat kepada tenaga kerja yang muda untuk sokongan dengan itu meningkatkan lagi beban terhadap sumber tenaga pekerja yang sememangnya terbatas sekarang.

Sistem rawatan penjagaan kesihatan mungkin tidak dapat menangani beban yang kian meningkat. Walaupun matlamat kita adalah untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang mampu ditanggung setiap warga negara, impak peningkatan bilangan pesara dalam kalangan penduduk negara yang bergantung pada sistem ini amat besar.

Keperluan rawatan kesihatan mereka lebih bertambah pada peringkat usia ini, kemungkinannya mereka mengalami pelbagai penyakit kronik dan degeneratif seperti yang disebutkan. Mereka perlukan ubat-ubatan, rawatan terapi dan sokongan untuk jangka masa panjang bagi kebanyakan penyakit ini.

Bagaimanapun, usia tua bukanlah malap semata-mata. Gambarannya mungkin jauh berbeza jika penduduk tua ini termasuk dalam kategori tua yang muda; minda dan tubuh badan seperti generasi muda – mereka mengamalkan gaya hidup sihat, amalan pemakanan yang baik dan menjaga kesihatan fizikal dan sentiasa mengekalkan kecerdasan mental.

Keadaan ini membolehkan mereka kekal aktif dan terus menyumbang kepada tenaga kerja serta masyarakat. Pengalaman mereka yang luas dan kebijaksanaan mereka boleh dikongsi bersama dengan generasi muda, menjadikan mereka aset berharga kepada masyarakat secara amnya.

Jelas sekali kunci utama memupuk populasi semakin tua yang sentiasa gembira, produktif dan seimbang adalah dengan menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Kesihatan yang baik bermula pada peringkat awal kehidupan seseorang supaya dia dapat mencegah timbulnya masalah obes, penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, atau mengurangkan risiko komplikasi termasuk kematian.

Tanggungjawab ini bukan semata-mata terletak pada sistem rawatan penjagaan kesihatan, malah tugas setiap individu. Mulakannya sejak awal usia 20-an, supaya anda boleh menikmati kehidupan sepenuhnya apabila menjangkau usia persaraan.

Sektor pekerjaan juga boleh memainkan peranan penting sebagai persiapan kepada tenaga kerja untuk menghadapi kehidupan pasca-persaraan mereka dengan menawarkan jawatan secara separuh masa atau sukarela dan menyediakan program latihan untuk membekalkan kemahiran baru.

Dalam tempoh 12 tahun lagi kita akan memasuki 2024. Dengan perancangan yang baik dan teliti, kita boleh bersedia menghadapi peningkatan masyarakat semakin tua yang sihat, produktif, dihargai dan dihormati.

Penulis ialah Menteri Kesihatan

** Artikel ini telah diedit bagi tujuan sebaran umum dan pembelajaran di ILP Labuan.

Sunday, August 21, 2011

Graduan Melayu, bumiputera terima gaji permulaan terkecil

Utusan Online - 19.8.2011

SHAH ALAM 19 Ogos - Para graduan Melayu dan bumiputera merupakan golongan terbesar yang menerima gaji permulaan terkecil sebaik sahaja memasuki pasaran kerja iaitu antara RM501 sehingga RM2,000 ke atas berbanding kumpulan etnik lain.

Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mat Noor Nawi berkata, berdasarkan statistik 2009, sebanyak 24 peratus daripada golongan itu menerima gaji antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001-RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (24 peratus) dan hanya 19 peratus menerima gaji RM2,000 ke atas.

Berbeza dengan 70 peratus graduan berketurunan Cina yang mendapat gaji permulaan antara RM1,501 hingga RM2,00 ke atas; RM1,001-RM1,500 (21 peratus) dan lapan peratus daripada mereka menerima antara RM501 hingga RM1,000.

Bagi graduan berketurunan India pula katanya, sebanyak 14 peratus menerima gaji permulaan antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001 hingga RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (28 peratus) dan sebanyak 27 peratus daripada mereka menerima gaji melebihi RM2,000.

Sementara penyertaan bumiputera sebagai (ahli) lembaga pengarah di syarikat-syarikat besar adalah tinggi tetapi BUKAN sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Mat Noor memetik pelbagai dari kajian dan laporan bebas oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi Bloomberg, Bursa Malaysia dan penyiasatan pendapatan isi rumah 2009.

Bagi kategori pendapatan purata bulanan isi rumah mengikut aktiviti dan kumpulan etnik, masyarakat Melayu dan bumiputera yang bekerja sebagai majikan hanya memperoleh RM7,078 berbanding RM7,271 (India) dan RM8,559 yang diperolehi para majikan berketurunan Cina.

Untuk kategori pekerja sektor awam pula, kumpulan bumiputera memperoleh pendapatan bulanan purata sebanyak RM4,925; RM5,109 (India) dan RM6,288 bagi masyarakat Cina.

Bagi yang bekerja sendiri, masyarakat bumiputera memperoleh RM2,487 diikuti India menerima RM3,717 dan Cina sebanyak RM4,561.