Monday, May 28, 2012
Belajarlah dari sejarah demi masa depan
SEJARAH bukan benda mati. Malah sejarah tidak pernah mati. Tapi sejarah adalah cermin untuk menoleh masa lampau bagi menyuluh masa depan. Sebab itulah orang tua-tua selalu berpesan, belajarlah dari sejarah.
Kalau yang buruk janganlah diulangi, yang baik teruslah ditambah baiknya.
Kalau menoleh sejarah awal industri filem di Singapura, Melayu hanya di depan kamera dan sedikit sahaja di belakang kamera. Orang Melayu dipancar kemilau bintang, tapi kemilau itu tak lama. Sedikit demi sedikit ia malap dan terus padam. Yang mengaut untung dari kemilau orang Melayu di Singapura dulu adalah kapitalis Cina dari Hong Kong iaitu Run Run Shaw dan adiknya. Kemudian mereka membuka industri filem Melayu berpusat di Jalan Ampas, Singapura.Shaw membawa pengarah filem dari India untuk mengarah filem Melayu. Mereka mengambil pelakon bangsawan dan cerita bangsawan untuk mengalih minat orang Melayu kepada filem, yang amat asing ketika itu. Filem ternyata berjaya dan membunuh teater tradisi bangsawan.
Kini Shaw sudah tiada. Tapi harta yang ditinggalkan sebahagiannya disumbangkan dari penerbitan filem di Singapura kepada cucu cicitnya. Mereka hidup mewah kerana kekayaan Shaw tak habis makan tujuh keturunan. Tapi bagaimana pula orang Melayu yang dulunya penuh kemilau di depan kamera? Mereka menyumbang kekayaan kepada kapitalis Cina ini akhirnya hidup dihimpit kesusahan.
Orang Melayu dipergunakan secara terhormat. Mereka didodoikan dengan populariti yang sementara. Tapi kapitalis Cina mengaut keuntungan sepanjang zaman. Sekarang ini kalau kita hendak menonton filem-filem Jalan Ampas, kena bayar berjuta-juta ringgit kepada pemilik hak ciptanya. Padahal itu filem kita.
Siti selalu membayangkan, kalaulah ketika itu orang Melayu tidak mahu berkerja dengan kapitalis Hong Kong itu, apakah mereka boleh terus mengaut kekayaan dari negara ini?
Apabila membaca penderitaan beberapa bintang popular zaman Jalan Ampas pada usia tuanya, kita kena mengambil iktibar daripada sejarah ini.
Bukan menyalahkan generasi pertama seniman filem kita itu. Tapi renungilah sejarah dan usah mengulangi sejarah itu pada masa ini. Kalau di Singapura dulu, orang Cina buat filem Melayu dan bawa balik kekayaan ke negara mereka. Sekarang janganlah biarkan orang lain kaut kekayaan hasil filem Melayu. Tak usahlah tolong membodohkan Melayu dalam filem Melayu. Kemudian hasilnya memberi untung kepada orang lain, bukan orang Melayu. Siti fikir adalah tidak bermoral mereka yang bersekongkol memberi wajah buruk dan hodoh kepada orang Melayu. Siti fahamlah, kita semua ini kena berkerja untuk menyara keluarga. Tapi taklah sampai sanggup memburuk dan menghodohkan bangsa sendiri. Hasilnya pula tak sebanyak mana.
Kalau orang Melayu hodoh perangainya dalam filem Melayu, bukan tauke filem yang salah.
Orang Melayu yang terlibat dalam filem Melayu itu yang salah. Mereka langsung tidak ada patriotik padahal kuasa di tangan mereka. Kalau mereka tidak mahu berlakon atau mengarah filem yang membodohkan Melayu, tauke tidak boleh buat apa-apa. Ini mereka yang lebih-lebih membodohkan Melayu dengan upah yang tidak sepadan. Orang Melayu yang terlibat dalam filem begini segeralah insaf. Memanglah sekarang ini boleh hidup kaya raya, dapat bonus kereta mewah dan banglo mewah. Tapi itu sahajakah matlamat mereka? Fikirlah sama tentang bangsa Melayu ini.
Nota: Artikel ini telah diedit untuk tujuan pembelajaran dan sebaran umum di ILP Labuan sahaja.
Friday, May 18, 2012
Kedudukan bahasa Melayu di sektor awam.
Oleh Azman Anuar - Utusan Online 18.5.12
SEKARANG, walaupun ramai orang besar kata mereka sentiasa mendaulatkan bahasa Melayu tetapi hakikatnya tidaklah sedemikian. Dalam bab memartabatkan bahasa rasmi negara ini, ia masih meragukan.Bukan sahaja ‘pembesar-pembesar’ dalam dunia korporat Melayu tidak mengutamakan pengiklanan dalam bahasa Melayu di media dan akhbar tempatan, malah program-program anjuran jabatan kerajaan pun ada dibuat dalam bahasa Inggeris.
Ada yang tanpa rasa malu mengetengahkan bahasa Inggeris pada program atau tayangan video/slide.
Sepatutnya sebagai jabatan kerajaan, mereka mengutamakan bahasa Melayu. Kalau pun program bersama bukan Melayu, semua pihak wajib tahu berbahasa Melayu.
Kalau pegawai tertinggi kerajaan tidak menghormati dan memartabatkan bahasa Melayu, janganlah kita terlampau mengharapkan syarikat bukan Melayu akan mematuhinya.
Saban tahun kita asyik membicarakan tentang bahasa kebangsaan yang semakin hilang tempatnya.
Jangan kita salahkan orang bawahan jika orang atasan terutama pemimpin kerajaan sendiri ‘malas’ untuk mengangkat bahasa ibundanya sendiri.Sebab itu masyarakat Cina dan India mempertahankan bermati-matian sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil daripada ditutup. Mereka tidak mahu perkembangan bahasa dan tulisan ibunda masing-masing terhapus sebagaimana sedang dialami oleh tulisan jawi yang menjadi warisan orang Melayu.
Kita asyik menafikan bahasa Melayu tidak diabaikan dalam segala urusan terutama sektor awam tetapi hakikatnya tanpa disedari bahasa itu menjadi ‘eksklusif’ hinggakan malu untuk dipertuturkan. Kadangkala dalam majlis rasmi kerajaan dan mesyuarat pun bahasa Inggeris yang dikumandangkan.
Bukan tetamu yang hadir tidak tahu bahasa Melayu, tetapi mulut mudah memantulkan bicara dalam bahasa Inggeris. Mengapa jadi begini? Mungkin kita harus terima hakikat, generasi berpendidikan aliran Inggeris masih ada dalam tampuk pimpinan kerajaan dan swasta. Jadi mereka masih kurang peka dan ‘terbiasa.’
Saf-saf kepimpinan ini akan bersara dalam beberapa tahun mendatang. Tempat mereka akan diambil pula oleh generasi aliran bahasa Melayu sepenuhnya. Entahlah, apakah saf kepimpinan aliran bahasa Melayu ini boleh diharapkan atau tidak untuk mengembalikan martabat penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan kerajaan.
Nota: Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran di ILP Labuan
Sunday, March 11, 2012
Angkat imej perkhidmatan awam
noraini.razak@utusan.com.my
Dalam erti kata lain perkhidmatan awam mesti bernafas seiring dengan arus kemajuan dan pembangunan. Kepesatan negara menuntut pemain-pemain di dalam perkhidmatan awam bergerak pantas, bersifat responsif, peka kepada tuntutan semasa, kreatif, inovatif dan pelbagai lagi. Pembaharuan demi pembaharuan menjadikan sektor awam hidup tanpa ada tarikh luputnya.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi ada melahirkan rasa pelik tentang birokrasi keterlaluan - sekeping surat pekeliling akan turun naik dari ketua jabatan ke pengarah, ketua pengarah, ketua setiausaha yang kemudiannya turun semula mengikut carta aliran sebelum boleh dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan.
Prosedur ketat dan lapisan hierarki yang keterlaluan melambatkan proses penyampaian maklumat sehingga tindakan segera tidak dapat dilaksanakan tentunya mematikan keberkesanan penyampaian awam.
Fleksibel
Untuk membolehkan malar segarnya sektor awam sebagaimana pihak korporat dan swasta maka tentunya segala amalan ketat mesti diubah menjadi lebih fleksibel supaya dapat memenuhi tuntutan yang sentiasa berubah terutamanya dalam keadaan di luar jangka. Contoh paling mudah kesesakan jalan raya luar biasa di bandar raya Kuala Lumpur kelmarin. Kejadian itu cukup untuk semua pihak mengukur sejauh mana cekap, responsif dan fleksibelnya perkhidmatan awam di negara ini yang mana kakitangannya baru saja menerima berita gembira 13 peratus pelarasan gaji. Sejauh mana kreatif serta inovatifnya jabatan terlibat dalam menangani kesesakan yang menimbulkan kemarahan orang ramai sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti kecemasan. Perkhidmatan awam bukan sekadar melaksanakan kerja-kerja di pejabat. Biar pun perkhidmatan di kaunter awam diakui semakin meningkat namun dalam menangani keadaan di luar jangka yang melibatkan sektor awam, kelemahan masih ketara.
* Artikel ini telah diedit bagi tujuan pembelajaran dan pengetahuan warga ILP Labuan.
Tuesday, February 7, 2012
Persediaan hadapi masyarakat tua
Berita Harian - 8.2.2012
HARI ini jangka hayat seseorang lelaki Malaysia ialah 72 tahun atau mungkin lebih, manakala wanita pula lebih kurang 77 tahun atau lebih. Ini adalah satu pencapaian membanggakan berbanding 55 tahun lalu ketika zaman kemerdekaan yang mana purata jangka hayat lelaki hanya lebih kurang 56 tahun dan wanita 58 tahun.
Sambil kita menikmati hasil kejayaan, kita tidak boleh mengabaikan kesan-kesan di sebaliknya. Usia lanjut biasanya sinonim dengan keuzuran seperti penyakit dan kurang upaya. Kebanyakan penyakit kronik dan keadaan degeneratif seperti penyakit kardiovaskular, serebrovaskular dan kanser mencapai tahap kemuncak dalam kalangan orang tua, terutama jika risikonya tidak dicegah pada usia muda.
Kebanyakan daripada kita boleh berharap menikmati kehidupan pasca persaraan bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun. Namun pada kebiasaannya ini adalah tempoh pergolakan apabila kita cuba sesuaikan diri dengan hakikat kehilangan kedudukan atau peranan disandang sepanjang sebahagian besar zaman dewasa dulu.
Sebahagian besarnya zaman tua adalah tempoh ketidaktentuan yang dipenuhi pelbagai cabaran. Bagaimanapun, di sebalik cabaran itu, timbul beberapa peluang yang boleh dimanifestasikan pada fasa usia ini – ia adalah lembaran baru apabila kerjaya baru boleh diceburi, minat baru diterokai dan peluang yang tercicir sebelum ini boleh direbut semula.
Pun begitu, semua ini hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat kita mempunyai ‘jangka kesihatan’ yang lebih baik, di samping panjang umur. Kita tidak mahukan masyarakat tua dihimpit pelbagai masalah penyakit dan kurang upaya, sebaliknya kita mahukan sebuah masyarakat sihat, produktif dan aktif. Malah ini antara daya usaha utama Kementerian Kesihatan, iaitu ‘Kesihatan Sepanjang Hayat’.
Dr Philip Poi, seorang pakar geriatrik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya mengkategorikan masyarakat tua dalam dua kumpulan, iaitu tua yang muda dan tua yang tua. Generasi tua yang muda adalah mereka yang terus aktif dalam kalangan masyarakat dan di rumah. Generasi tua yang tua adalah mereka yang tidak dapat memberikan sumbangan lagi kepada masyarakat kerana keadaan yang semakin uzur atau keadaan mental yang merosot.
Jika sebahagian besar penduduk negara terdiri daripada tua yang tua, mereka bergantung kuat kepada tenaga kerja yang muda untuk sokongan dengan itu meningkatkan lagi beban terhadap sumber tenaga pekerja yang sememangnya terbatas sekarang.
Sistem rawatan penjagaan kesihatan mungkin tidak dapat menangani beban yang kian meningkat. Walaupun matlamat kita adalah untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang mampu ditanggung setiap warga negara, impak peningkatan bilangan pesara dalam kalangan penduduk negara yang bergantung pada sistem ini amat besar.
Keperluan rawatan kesihatan mereka lebih bertambah pada peringkat usia ini, kemungkinannya mereka mengalami pelbagai penyakit kronik dan degeneratif seperti yang disebutkan. Mereka perlukan ubat-ubatan, rawatan terapi dan sokongan untuk jangka masa panjang bagi kebanyakan penyakit ini.
Bagaimanapun, usia tua bukanlah malap semata-mata. Gambarannya mungkin jauh berbeza jika penduduk tua ini termasuk dalam kategori tua yang muda; minda dan tubuh badan seperti generasi muda – mereka mengamalkan gaya hidup sihat, amalan pemakanan yang baik dan menjaga kesihatan fizikal dan sentiasa mengekalkan kecerdasan mental.
Keadaan ini membolehkan mereka kekal aktif dan terus menyumbang kepada tenaga kerja serta masyarakat. Pengalaman mereka yang luas dan kebijaksanaan mereka boleh dikongsi bersama dengan generasi muda, menjadikan mereka aset berharga kepada masyarakat secara amnya.
Jelas sekali kunci utama memupuk populasi semakin tua yang sentiasa gembira, produktif dan seimbang adalah dengan menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Kesihatan yang baik bermula pada peringkat awal kehidupan seseorang supaya dia dapat mencegah timbulnya masalah obes, penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, atau mengurangkan risiko komplikasi termasuk kematian.
Tanggungjawab ini bukan semata-mata terletak pada sistem rawatan penjagaan kesihatan, malah tugas setiap individu. Mulakannya sejak awal usia 20-an, supaya anda boleh menikmati kehidupan sepenuhnya apabila menjangkau usia persaraan.
Sektor pekerjaan juga boleh memainkan peranan penting sebagai persiapan kepada tenaga kerja untuk menghadapi kehidupan pasca-persaraan mereka dengan menawarkan jawatan secara separuh masa atau sukarela dan menyediakan program latihan untuk membekalkan kemahiran baru.
Dalam tempoh 12 tahun lagi kita akan memasuki 2024. Dengan perancangan yang baik dan teliti, kita boleh bersedia menghadapi peningkatan masyarakat semakin tua yang sihat, produktif, dihargai dan dihormati.
Penulis ialah Menteri Kesihatan
** Artikel ini telah diedit bagi tujuan sebaran umum dan pembelajaran di ILP Labuan.
Sunday, August 21, 2011
Graduan Melayu, bumiputera terima gaji permulaan terkecil
Utusan Online - 19.8.2011
SHAH ALAM 19 Ogos - Para graduan Melayu dan bumiputera merupakan golongan terbesar yang menerima gaji permulaan terkecil sebaik sahaja memasuki pasaran kerja iaitu antara RM501 sehingga RM2,000 ke atas berbanding kumpulan etnik lain.
Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mat Noor Nawi berkata, berdasarkan statistik 2009, sebanyak 24 peratus daripada golongan itu menerima gaji antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001-RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (24 peratus) dan hanya 19 peratus menerima gaji RM2,000 ke atas.
Berbeza dengan 70 peratus graduan berketurunan Cina yang mendapat gaji permulaan antara RM1,501 hingga RM2,00 ke atas; RM1,001-RM1,500 (21 peratus) dan lapan peratus daripada mereka menerima antara RM501 hingga RM1,000.
Bagi graduan berketurunan India pula katanya, sebanyak 14 peratus menerima gaji permulaan antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001 hingga RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (28 peratus) dan sebanyak 27 peratus daripada mereka menerima gaji melebihi RM2,000.
Sementara penyertaan bumiputera sebagai (ahli) lembaga pengarah di syarikat-syarikat besar adalah tinggi tetapi BUKAN sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Mat Noor memetik pelbagai dari kajian dan laporan bebas oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi Bloomberg, Bursa Malaysia dan penyiasatan pendapatan isi rumah 2009.
Bagi kategori pendapatan purata bulanan isi rumah mengikut aktiviti dan kumpulan etnik, masyarakat Melayu dan bumiputera yang bekerja sebagai majikan hanya memperoleh RM7,078 berbanding RM7,271 (India) dan RM8,559 yang diperolehi para majikan berketurunan Cina.
Untuk kategori pekerja sektor awam pula, kumpulan bumiputera memperoleh pendapatan bulanan purata sebanyak RM4,925; RM5,109 (India) dan RM6,288 bagi masyarakat Cina.
Bagi yang bekerja sendiri, masyarakat bumiputera memperoleh RM2,487 diikuti India menerima RM3,717 dan Cina sebanyak RM4,561.
Wednesday, June 15, 2011
Skim gaji lebih munasabah ke arah negara berpendapatan tinggi
Utusan Malaysia - 16.6.2011
PENGUMUMAN Perdana Menteri mengenai pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja berpendapatan rendah sebelum akhir tahun ini, umpama bulan jatuh ke riba bagi golongan itu.
Bukan rahsia lagi yang isu gaji minimum ini telah diperjuangkan oleh kesatuan sekerja awam dan swasta di negara ini sejak sekian lama umpama pungguk merindukan bulan.
Beberapa siri rundingan, dialog dan pertemuan telah diatur di antara pihak kesatuan, wakil kerajaan dan majikan termasuk swasta untuk mencari titik persefahaman namun kerap kali tidak mencapai kata putus.
Antara alasan yang pernah diberikan majikan khususnya pihak industri yang banyak menggaji pekerja asing untuk menolaknya; sebaik sahaja dilaksanakan, tidak akan ada pengecualian maksudnya ia meliputi semua termasuk warga asing.
Tetapi wajarkah alasan itu menjadi kekangan untuk melaksanakan skim gaji 'yang munasabah dan berpatutan' untuk pekerja di negara ini?
Perlukah kita mengorbankan kebajikan pekerja tempatan semata-mata kerana enggan membayar jumlah gaji yang sepadan kepada pekerja asing?
Difahamkan ada kalangan pekerja yang pendapatan asasnya RM600 sebulan. Malah ada pengawal keselamatan yang dibayar serendah RM500 sebulan.
Bayangkan apa yang dapat dibeli dengan wang sebanyak itu, lagi-lagi jika tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur?
Dengan gaji sekecil itu, golongan pekerja ini terpaksa berkira-kira untuk membayar sewa rumah, duit minyak baik kereta atau motor, tol dan belanja dapur yang tentu sahaja besar bagi yang berkeluarga.
Itu belum dikira belanja sekolah anak, yuran termasuk duit beli ubat apabila sakit pening.
Cadangan gaji minimum sekitar RM900 sebulan yang diperjuangkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), rasanya cukup munasabah dan tidak membebankan kerajaan.
Walaupun kadarnya hanya akan diputuskan selepas Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuhkan, kita menaruh kepercayaan ia suatu jumlah yang melegakan.
Perkembangan terbaru ini mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar mendengar keluhan rakyat bahkan membuktikan gagasan 'Rakyat Didahulukan' bukan sekadar slogan.
Ribuan maklum balas berhubung syor gaji minimum yang diterima Perdana Menteri dalam blog beliau www.1malaysia.com juga jelas tidak dibakulsampahkan.
Dalam perjalanan Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, nasib golongan pekerja ini nampaknya tidak diabaikan sebaliknya mereka dibawa sama untuk mencapai matlamat tersebut.
Kita percaya dengan pelaksanaan gaji minimum itu kelak, golongan pekerja yang mendapat manfaat daripadanya akan membalas budi dengan meningkatkan produktiviti masing-masing.
Kita mengandaikan dengan peningkatan pendapatan itu, mereka tidak perlu lagi bersusah payah membuat kerja sambilan sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pekerjaan hakiki.
Dengan itu, barulah gagasan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' menjadi slogan yang lengkap!
Artikel ini telah diedit bagi tujuan pendidikan dan makluman warga ILP Labuan sahaja
Tuesday, May 10, 2011
Jaga tenaga mahir tempatan
TERDAPAT rakan-rakan penulis yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka apabila kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif bagi menarik cerdik pandai Malaysia pulang ke tanah air. Antaranya seorang rakan penulis yang bekerja sebagai akauntan di sebuah bank yang terkemuka di negara kita.
Beliau berasakan kerajaan terlalu memberi perhatian kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara sedangkan terdapat begitu ramai tenaga mahir tempatan bekerja di negara kita.
Bagi menarik minat rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, kerajaan hanya mengenakan cukai pendapatan 15 peratus untuk tempoh lima tahun sedangkan tenaga mahir tempatan dikehendaki membayar 26 peratus daripada pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut beliau, ramai rakan-rakannya sudah ber ura-ura untuk berhijrah ke luar negara termasuklah ketuanya seyang hanya menunggu masa untuk bekerja di Australia. Melihat fenomena ini, dikhuatiri hasrat kerajaan mengumpul sejumlah tenaga mahir rakyat Malaysia untuk bekerja di negara sendiri akan terbantut.
Banyak isu yang perlu dikaji bagi membolehkan Malaysia dipenuhi oleh tenaga mahir. Bagi negara-negara maju, peratusan pekerja mahir berbanding keseluruhan pekerja adalah dalam lingkungan 80 peratus. Jumlah ini amatlah tinggi berbanding negara kita yang mana peratusan pekerja mahir amatlah kecil sekali.
Talent Corporation sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan menarik pekerja mahir Malaysia yang bekerja di luar negara agar pulang bekerja di Malaysia seharusnya menyenaraikan apakah yang dikatakan sebagai pekerja mahir.
Bagi penulis tidak semua yang bekerja di luar negara berkemahiran tinggi. Kecualilah kemahiran dan kepakaran mereka tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pekerja mahir di Malaysia.
Ciri-ciri apakah yang akan digunakan oleh Talent Corporation agar dapat membawa pulang tenaga mahir yang benar-benar hebat dari luar negara?Jika tidak, lebih baik dana yang disediakan digunakan untuk memberi latihan kepada para pekerja mahir yang bekerja di Malaysia.
Sektor manakah yang sememangnya memerlukan pekerja berkemahiran tinggi? Ini juga perlu dikaji secara teliti agar sektor yang benar-benar memerlukan pekerja mahir mendapat bantuan yang sewajarnya selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Justeru, masalah brain drain ini memerlukan mekanisme terbaik agar hasrat negara meramaikan tenaga mahir yang bekerja di negara sendiri tercapai. Janganlah sampai terlalu memberi perhatian tenaga mahir yang bekerja di luar negara sehinggakan menyebabkan tenaga mahir sedia ada dalam negara dipinggirkan dan mereka yang berasakan diri terpinggir dan tidak dihargai merajuk membawa diri untuk bekerja di luar negara.
Artikel ini telah diedit bagi tujuan bacaan umum staff ILP Labuan.